Kejayaan CABARAN 40 jam

Lebih membanggakan apabila rekod yang tercatat adalah lebih dua jam daripada catatan sasaran iaitu 38 jam.

gk 01.1 Kejayaan CABARAN 40 jam


PADA Ogos lalu, seramai 203 orang di California, Amerika Syarikat tersenyum bangga apabila berjaya mencipta rekod dunia permainan komputer paling lama iaitu selama 36 jam.

Namun, tidak lama selepas itu, mereka mungkin berduka apabila rekod mereka dileburkan di bumi Malaysia. Malaysia Boleh!

Kira-kira dua minggu lalu, seramai 274 peminat permainan komputer (game) di Cyberjaya berjaya mencipta rekod dunia baru bermain game paling lama iaitu 40 jam tanpa henti. Rekod itu dicipta oleh warga muda Malaysia berusia 20-an. Turut menyertainya adalah beberapa peserta dari Yemen, China, Brunei dan Korea Selatan.

Rekod baru Guinness World of Records bagi kategori rangkaian kawasan setempat (LAN) itu tercipta dalam acara Cyberfusion 2009 yang berlangsung di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Cabaran mencipta rekod dunia bermula tepat pukul 12 tengah malam iaitu permulaan tarikh 11 April dan berakhir dengan cemerlang pada pukul 4 petang, 12 April.

Lebih membanggakan apabila rekod yang tercatat adalah lebih dua jam daripada catatan sasaran iaitu 38 jam. Meskipun berasa mengantuk, para pemain setuju untuk berjuang bagi menggenapkan rekod kepada 40 jam.

Disahkan oleh Adjudikator The Guinness World of Records, Talal Omar, sejarah itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.

gk 01.2 Kejayaan CABARAN 40 jam


Cyberfusion 2009 merupakan sebahagian daripada program One Nation Cyberjaya. Ia dianjurkan secara bersama oleh Cyberview Sdn. Bhd., Advance Micro Device (AMD) dan MMU dengan misi memasukkan Cyberjaya dalam peta lokasi permainan komputer terkemuka dunia.

Kosmo! berkesempatan meninjau suasana semasa rekod tersebut dicipta.

Bertempat di dewan utama MMU, hampir 300 pemain permainan komputer tegar memenuhi satu ruang penciptaan rekod dengan meja disusun membentuk beberapa barisan.

Bukan sahaja peserta lelaki, malah terdapat juga peserta perempuan. Para peserta dengan aneka latar belakang dan kaum berkampung di bawah satu bumbung di atas satu misi dan minat.

Ada yang asyik bermain permainan komputer dan ada juga yang nampak menahan keletihan sambil bersandar pada bantal yang dibawa bersama. Ada juga yang memeluk soft toy dan memakai kain pelikat persis di rumah.

Beberapa orang pemantau menjaga setiap barisan untuk mengawasi perbuatan para peserta. Dalam cabaran itu, para peserta hanya boleh bermain game atau melayari web sekali sekala. Mereka dilarang sama sekali melakukan streaming seperti membuka laman Youtube atau memuat turun torrent.

gk 01.3 Kejayaan CABARAN 40 jam

WALAUPUN mengantuk dan keletihan, seorang peserta tetap meneruskan permainan.



“Berdasarkan peraturan Guinness World of Records, walaupun dikehendaki bermain tanpa henti, namun para peserta masih diberikan masa rehat lima minit bagi setiap jam yang dapat dihabiskan. Para peserta tidak boleh berehat serentak sekali gus dalam waktu yang sama. Apa yang mustahak adalah pada setiap masa sepanjang 40 jam itu, permainan game mesti dimainkan secara berterusan oleh sekurang-kurangnya 100 orang,” kata seorang pemantau, Jevan Dhillon.

Setiap peserta yang ingin keluar berehat seperti untuk ke tandas dan lain-lain perlu mendaftarkan diri bagi memastikan masa yang diberikan dipatuhi. Sekiranya, mereka melebihi tempoh masa rehat yang dibolehkan walaupun seminit, mereka akan terkeluar daripada cabaran tersebut.

Pada awalnya, peserta cabaran ini adalah seramai 291 orang. Namun, dalam tempoh 40 jam itu, sebanyak 17 daripada peserta terkeluar daripada cabaran termasuk menarik diri kerana keletihan.

“Pihak penganjur hanya menyediakan monitor. PC dan kelengkapan game disediakan oleh peserta sendiri. Mereka juga boleh memuat turun game lain daripada server yang disediakan penganjur,” kata Dhillon.

Seorang peserta yang berjaya menyempurnakan cabaran, Mohd. Al-Khalifa Mohd. Afnan, 23, berkongsi pengalamannya menyertai acara berkenaan.

“Selama 40 jam bersengkang mata, adakalanya saya terlelap juga, tetapi bahu saya akan segera ditepuk oleh para pemantau yang sentiasa mengawasi. Sebagai seorang Islam, saya perlu bijak menyusun strategi untuk menggunakan masa rehat yang diberikan bagi menunaikan solat. Kemudahan surau turut disediakan.

gk 01.4 Kejayaan CABARAN 40 jam

PERMAINAN ini turut disertai oleh peserta perempuan.



“Adakalanya, saya bermain secara berterusan selama 10 jam bagi mengumpul masa rehat 50 minit. Tetapi saya tidak akan gunakan masa itu untuk tidur. Saya tidak berani untuk tidur kerana takut terlajak daripada waktu rehat yang diperoleh,” katanya yang merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM). Al-Khalifa mengetahui mengenai acara itu menerusi laman lowyat.net.

“Saya terpaksa bermain permainan yang memerlukan tangan lebih banyak menekan papan kekunci atau butang untuk memastikan diri sentiasa cergas,” katanya sambil memberitahu setiap kali tiba waktu makan, pihak penganjur memberikan makanan dan minuman dari meja ke meja.

Menceritakan detik 15 minit sebelum mencecah sasaran awal 38 jam, Al-Khalifa memberitahu:

“Pengacara majlis mengumumkan bahawa ada 15 minit lagi untuk kami mencipta rekod dunia terbaru dan dia bertanya, boleh tak kalau kami terus bermain sehingga 40 jam? Walaupun amat letih dan mengantuk, kami bersetuju dan tetap bersemangat untuk terus bermain sehingga 40 jam.

“Sebaik sahaja cabaran berjaya diselesaikan, masing-masing mengucapkan tahniah sesama sendiri,” katanya.

gk 01.5 Kejayaan CABARAN 40 jam


Seorang lagi peserta, Loh Eng Kee, 18, mengakui bahawa pengalaman itu amat menyeronokkan kerana dapat bersama-sama dengan para peserta berkongsi minat yang sama.

“Kami bercakap tentang perkara yang sama, kami mudah mesra. Semuanya kaki game.

“Memang saya rindukan katil di rumah, tetapi pengalaman ini bukan selalu dapat diperoleh,” katanya yang merupakan pelajar di Universiti Limkokwing.

Seorang peserta dari MMU, Muhammad Firdaus Mazelan berkata, tiga perasaan bercampur baur dalam dirinya sebaik sahaja berjaya menamatkan cabaran.

“Terlalu mengantuk, letih dan bangga,” katanya yang menghabiskan masa cabaran dengan bermain permainan kegemarannya seperti Defence of the Ancient, Counter Strike dan Left 4 Dead.

Seorang peserta lain, Sophian Shahirul, 27, pula berkata, cabaran ini mungkin lebih bermakna kerana hari bermulanya cabaran iaitu 11 April merupakan ulang tahun kelahirannya. Dia juga tidak menolak jika dikatakan rekod dunia yang berjaya dicipta bersama rakan-rakannya itu ibarat hadiah hari jadinya.

“Rasanya, saya memang tidak banyak berfikir pasal hari jadi kerana asyik menumpukan perhatian pada game dan hasrat untuk mencipta rekod dunia,” katanya. Dia juga pernah mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan permainan komputer.

Sebagai seorang yang gila game, Sophian berkata, dia sememangnya menjangka rekod dunia tersebut boleh dihasilkannya.

“Secara peribadi, saya merasakan, saya mampu melakukan lebih lama daripada itu.

“Keletihan atau mengantuk bukanlah masalah utama saya. Masalah utama saya adalah sukar menahan sejuk. Suhu dalam dewan ini agak sejuk,” katanya.

Sebagai penghargaan, setiap peserta menerima sijil penyertaan dan membahagikan hadiah peralatan komputer yang keseluruhannya bernilai RM100,000.

Selain acara memecah rekod dunia itu, terdapat juga pelbagai pertandingan dan pameran gerai melibatkan syarikat-syarikat penyedia game bagi menyemarakkan Cyberfusion 2009.

Pengarah Urusan Cyberview, Datuk Redza Rafiq dalam satu kenyataan menyifatkan objektif penganjuran Cyberfusion 2009 adalah selari dengan teras komuniti Cyberjaya.

“Kami menganjurkan Cyberfusion 2009 untuk memberi faedah kepada pelajar dan industri serta bagi memenuhi teras komuniti di sini iaitu menjadikan Cyberjaya tempat untuk bekerja, bermain dan belajar.

“Matlamat jangka panjang kami adalah untuk mewujudkan peluang yang boleh terus diteroka dan membantu pertumbuhan industri digital serta multimedia kreatif Malaysia,” kata Redza.

Turut menyaksikan rekod itu disempurnakan ialah Ketua Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali; Presiden MMU, Prof. Dr. Zaharin Yusuf dan Naib Presiden Advanced Micro Devices (AMD) Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman.




118 total views, no views today

IBUBAPA – itulah permulaan kita…..

Pagi nie saya pergi kerja seperti biasa….cuma keadaan trafik sepanjang perjalanan kali ini amat berbeza…tidak kelihatan kereta,bas sekolah yang sering mengerumuni lalu lintas….memang lapang betul…mungkin disebabkan esok adalah cuti umum ( HARI PEKERJA ) maka ramai yang mengambil kesempatan untuk bercuti….

Dan kepada yang bercuti…enjoylah….kepada yang berkesempatan kunjungi ibubapa anda…..:)

p/s : Paling tidak pun setiap kali lepas solat ….doakanlah mereka :

” Ya ALLAH….Ampunkanlah dosa kedua ibubapaku….Sayangi dan Rahmatilah mereka sebagaimana mereka menjagaku dari kecil hingga dewasa ” …..atau apa sahaja doa yang menyatakan kebaikan dunia dan akhirat kepada mereka….apa yang penting ianya mesti dari lubuk hati kita….Jadilah anak yang sentiasa mendoakan kedua ibubapa kita…..AMIN…..

153 total views, no views today

NOVEL telefon bimbit

Anda kini boleh membaca novel yang tebalnya sehingga kira-kira 480 muka surat menerusi skrin telefon bimbit.

in 01.1 NOVEL telefon bimbit

MASA yang banyak digunakan bersama telefon bimbit kini dapat diisi dengan membaca novel.


ANDA kini bukan sahaja boleh berbual, mengirim pesanan ringkas atau melayari Internet menerusi telefon bimbit. Bahkan, anda juga kini boleh membaca novel melaluinya. Apabila teknologi semakin mengembangkan horizonnya, lantas memudahkan hidup manusia.

Tidak terhad kepada itu, pembaca turut berpeluang mewujudkan komuniti maya bagi membolehkan mereka bertukar pandangan menerusi forum. Pembaca juga boleh memberikan rating terhadap buku yang dibaca dan lebih penting melihat sendiri katalog buku terbaru di pasaran yang boleh dibeli terus menerusi telefon bimbit.

Di Malaysia, sistem tersebut sudah boleh kita kecapi hari ini. Terima kasih kepada syarikat pembekal rasmi kandungan mudah alih, Metadome Sdn. Bhd. yang berkolaborasi dengan syarikat penerbitan, PTS Sdn. Bhd. untuk merealisasikan novel dalam telefon bimbit.

Memiliki keupayaan teknologi menukar buku fizikal ke dalam bentuk digital, Metadome dan syarikat buku berbahasa Melayu itu telah membolehkan pengguna mendapatkan bahan bacaan dalam bentuk maya yang dipanggil MBOOK. Ini bermakna, anda tidak perlu lagi memegang senaskhah novel, sebaliknya hanya membaca kandungan novel dari skrin telefon bimbit yang kecil.

Pelancaran MBOOK menerusi kerjasama dengan rakan telekomunikasi, Hotlink telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

MBOOK singkatan daripada mobile book (buku mudah alih) merupakan satu aplikasi yang secara asasnya membolehkan bahan bacaan seperti novel, cerpen, rencana dan segala bentuk penulisan dibaca menerusi telefon mudah alih.

Dengan caj muat turun sebanyak RM5 sahaja, anda kini boleh membaca novel yang tebalnya sehingga kira-kira 480 muka surat menerusi skrin telefon bimbit anda.

Menurut Pengarah Eksekutif Metadome, Syaizul Amal, apa yang pengguna perlukan hanyalah telefon bimbit yang dilengkapi aplikasi Java, GPRS atau 3G. Kesemua model telefon yang memenuhi kriteria ini layak untuk melakukan muat turun.

Selain itu, pengguna juga perlu memastikan ada kredit berbaki sekurang-kurangnya RM10 dan mempunyai kapasiti memori sekurang-kurangnya 300 kilobait sebelum memuat turun sesebuah novel.

Bagaimanapun, buat masa ini, ia hanya eksklusif untuk pengguna Maxis sahaja. Makluman mengenai aplikasi ini turut disiarkan di laman web portal Ekspresiku Hotlink.

Bukan sekadar membaca, MBOOK turut dilengkapi dengan pelbagai elemen multimedia dan interaktif seperti grafik dan bunyi bagi mencetuskan kesan pembacaan lebih berkesan.

“Kami turut setkan pada sesetengah muka surat tertentu, bunyi-bunyian dan grafik yang sesuai untuk menambah keseronokan dan mood pembacaan. Mungkin jika ada bahagian yang seram, kami masukkan bunyian yang seram di situ,” katanya.

in 01.2 NOVEL telefon bimbit

SYAIZUL AMAL menunjukkan sebuah novel dalam dua versi iaitu versi buku dan versi kandungan telefon bimbit.


“Apabila mendapat kandungan novel, pengguna boleh menyimpannya di dalam telefon bimbit dan menerusi sistem penanda buku, pembaca boleh menanda tempat sambungan yang akan dibaca kelak. Bermakna, pengguna tidak akan mempunyai masalah jika tidak dapat menghabiskan bacaan sesebuah novel sekali gus.

“Dengan sebuah novel mengambil kira-kira 300KB, ini bermakna dengan kapasiti memori 1 Gigabait, pembaca boleh menyimpan sehingga 500 buah novel hanya dalam sebuah telefon bimbit,” tambahnya.

Menurut Syaizul, setakat ini, terdapat 250 judul buku yang menyertai sistem MBOOK dan 100 daripadanya merupakan novel daripada PTS.

Pada majlis pelancaran MBOOK di Kuala Lumpur baru-baru ini, salah satu novel terbitan PTS yang bertajuk Tak Bisa Memilihmu tulisan Ain Maisarah meraih perhatian apabila kumpulan 6ixth Sense yang mendendangkan lagu bertajuk serupa membuat persembahan.

Bahkan, novel itu mengisahkan tentang kisah benar kehidupan yang dilalui penyanyi utama kumpulan berkenaan, Adi yang merantau dari Indonesia ke Malaysia demi mengejar cita-cita untuk bergelar penyanyi. Bagaimanapun, dia terperangkap dalam cinta tiga segi apabila pemilik syarikat rakaman tempat dia bernaung, Sally jatuh cinta kepadanya sedangkan pada waktu yang sama, Adi mempunyai kekasih di Indonesia bernama Dewi.

Syaizul menjelaskan walaupun MBOOK baru dilancarkan, namun kenyataannya teknologi ini telah bertapak di negara ini sejak tahun 2004.

“Walaupun tidak ramai yang tahu, namun sambutan yang diterima hebat. Boleh dikatakan dalam sebulan, sebanyak 3,000 naskhah terjual. Biasanya, apabila seseorang itu sudah membelinya, mereka akan membeli sehingga tujuh kali,” kata Syaizul.

Syaizul menambah, teknologi ini juga membolehkan buku atau novel dipasarkan secara efektif dan lebih meluas. Kadang-kadang, sesetengah novel atau buku itu hanya dapat dipasarkan di kedai-kedai buku di bandar-bandar atau di bandar-bandar kecil sahaja.

“Menerusi teknologi ini, anda boleh memuat turun novel-novel ini tidak kira di mana anda berada selagi mempunyai liputan talian,” katanya.

“Novel-novel ini juga boleh didapati pada harga yang murah. Jika sebuah buku novel berharga puluhan ringgit misalnya, anda boleh mendapatkan kandungan yang sama pada harga RM5 sahaja.”

in 01.3 NOVEL telefon bimbit

LAMAN web ini juga boleh dijadikan panduan buat para pengguna.


Tidakkah ia menjejaskan nasib buku atau penulis buku? Syaizul menjelaskan, royalti yang diterima penulis juga hampir sama.

“Menerusi jualan buku, penulis lazimnya menerima royalti tujuh peratus daripada harga sebuah naskhah. Katakan senaskhah novel berharga RM20 dan royalti yang diterima penulis adalah dalam RM1.40. Dengan MBOOK, royalti yang diterima oleh penulis adalah antara RM1 hingga RM1.50 bagi satu muat turun novel.

“Buku tidak akan terjejas, tambahan pula, kaedah ini dapat menyemai minat membaca di kalangan remaja. Selama ini pun, remaja banyak menghabiskan masa bersama telefon bimbit di mana-mana. Jadi, trend membaca menerusi telefon bimbit ini patut dibudayakan untuk menarik minat membaca di kalangan muda-mudi. Apabila membaca sudah sebati dalam diri mereka, sudah tentu mereka akan mencari buku pula. Teknologi ini sekadar ejen mempromosi amalan membaca,” katanya.

Untuk maklumat lanjut sila layari http://store.maxis.com.my dan www.metamobile.com.my

-kosmo

305 total views, no views today