BAJU DALAM jana elektrik


BAJU dalam ini boleh menjana elektrik daripada panel solar yang disertakan.


SYARIKAT pembuat pakaian dalam Triumph International Japan Ltd. menampilkan idea luar biasa apabila menghasilkan baju dalam penjana tenaga solar. Produk ini didedahkan dalam satu prebiu media di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Baju dalam yang diperbuat daripada kain kapas berkualiti tinggi yang menepati piawaian keselamatan tekstil antarabangsa Eco-Tex itu boleh menjana elektrik daripada panel solar yang disertakan. Jadi, anda tidak perlu bimbang jika telefon bimbit atau i-pod anda kehabisan bateri ketika berada di pantai.

Produk ini merupakan siri baju dalam mesra alam terbaru Triumph dalam usahanya untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap isu ekologi.

-kosmo




WANG KERTASkah itu?


SEORANG model menunjukkan kertas penyerap minyak wajah.


RUPANYA seperti wang kertas tetapi tahukah anda bahawa ia sebenarnya kertas penyerap minyak wajah? Itulah produk unik yang dihasilkan oleh syarikat gergasi permainan Jepun, Bandai yang diperkenalkan baru-baru ini.

Dinamakan Fukuzawayukichi yang bermakna ‘menyerap minyak’, ia menarik perhatian media ketika dipamerkan di ibu pejabat syarikat berkenaan di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Dijual secara set dengan 20 keping ‘wang kertas’ satu set, bungkusannya berbentuk seperti dompet.

-kosmo

Pantau rumah dari kereta


PRODUK ini boleh memantau keadaan rumah dari dalam kereta.


PANASONIC mempamerkan inovasi terbaru apabila menghasilkan produk sistem navigasi dalam kereta HDD yang membolehkan lampu dan penghawa dingin dalam rumah dikawal dari jauh.

Produk ini juga berupaya memantau keadaan dalam rumah serta merakam program televisyen dengan mengawal perakam DVD Panasonic yang terdapat di rumah.

Produk siri F-Class itu yang didapati dalam dua model iaitu CN-HX1000D dan CN-HW1000D diumumkan bakal dilancarkan di Jepun pada Jun ini.

-arkib kosmo

Video SENAMAN Wii

Bagaimanakah Wii Fit membantu orang ramai bersenam dengan cara yang menyeronokkan?


PERMAINAN video ini menggabungkan keseronokan dan kecergasan.


BAGAIMANA untuk membuang lemak di sekeliling perut anda? Lupakan pil, krim pelangsing badan mahupun berlapar kerana ia menyeksakan.

Cubalah cara yang lebih menyeronokkan iaitu bersenam dengan permainan video! Mungkin itulah mesej yang hendak disampaikan kepada umum dengan pelancaran permainan video Wii Fit di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Nintendo memperkenalkan Wii Fit dalam usahanya untuk memperluaskan kehebatan konsol permainan videonya, Wii, yang telah sedia terkenal di pasaran kerana pengawalan peka pergerakannya dan sifatnya yang mudah digunakan.

Permainan video dari Nintendo yang menggabungkan keseronokan dan kecergasan itu merangsang manusia agar mengalihkan punggung mereka dari sofa, tidak seperti sifat semula jadi permainan-permainan video yang lain.

Berbekalkan aksesori papan keseimbangan yang boleh mengesan berat serta peralihan pergerakan, ia berhubung dengan konsol Wii tanpa wayar.

Antara bentuk senaman yang boleh dilakukan menerusi Wii Fit termasuklah yoga, aerobik, latihan kekuatan dan keseimbangan.

Wii Fit juga bahkan berupaya mengukur kadar indeks jisim tubuh (BMI) seseorang pengguna dewasa, maka mereka boleh bergerak cergas kemudiannya.

Di atas papan tersebut, pengguna boleh melakukan kira-kira 40 aktiviti termasuk berpusing hula hoop secara maya, meregang kaki atau membuat pelbagai pose yoga.

Karikatur Wii pengguna – yang mana ia boleh dibentuk sendiri oleh pengguna – akan bertindak menggambarkan perkembangan kecergasan pengguna.

Jangan bimbang sekiranya anda tersilap melakukan pergerakan. Jika itu berlaku, jurulatih maya akan memberikan beberapa cadangan untuk memperbaiki pergerakan. Skor merupakan ukuran kepada kemajuan senaman pengguna.

Wii Fit merupakan jenama Nintendo terbaru yang dilancarkan tahun ini, bermatlamat untuk menarik hati khalayak seperti kaum ibu dan warga emas yang tidak mungkin tertarik kepada permainan video seperti Mario.


PENGGUNA boleh melakukan kira-kira 40 aktiviti termasuk berpusing hula hoop secara maya, meregang kaki atau membuat pelbagai pose yoga.


Para pemerhati menjangkakan permainan yang berharga hanya AS$90 (RM292) itu akan membuatkan para pengguna Wii Fit kurang membeli alat-alat permainan video yang lain berbanding pengguna Xbox 360 dan PlayStation.

“Senjata rahsia Wii adalah ia berusaha untuk membuatkan lebih ramai orang dalam isi rumah untuk bermain,” kata seorang penganalisis, Billy Pidgeon.

Petanda permintaan yang besar sudah pun kelihatan apabila laman web Wal-Mart berkata, pada tahap pra tempahannya, Wii Fit telah habis dijual. Amazon juga berkata mereka telah kehabisan stok.

Sementara Microsoft dan Sony memberi fokus kepada permainan video berdefinisi tinggi ultra realistik.

Nintendo mengejutkan industri dengan permainan berkos rendah. Pada April lalu, Nintendo telah menjual lebih daripada 700,000 mesin Wii di AS, hampir dua kali ganda jualan Xbox 360 dan PS3 keseluruhannya.

“Wii Fit mudah untuk dicuba siapa sahaja dan ia merupakan bukti bagaimana Nintendo berterusan meluaskan pengaruhnya dalam dunia permainan video kepada khalayak-khalayak yang baru,” kata Cammie Dunaway, naib eksekutif presiden jualan dan pemasaran Nintendo Amerika.

“Ia akan membuatkan anda bergerak tidak kira sama ada anda telah bermain permainan video selama berpuluh-puluh tahun atau ini merupakan kali pertama,” tambahnya.

Sempena dengan pelancarannya di AS, Nintendo turut menganjurkan parti interaktif di Central Park New York City, New York dengan kehadiran jurulatih kecergasan selebriti Ashley Borden.

Wii Fit merupakan ciptaan terbaru pereka permainan video legenda, Shigeru Miyamoto, yang tampil dengan banyak keluaran terhebat syarikat tersebut daripada Donkey Kong hinggalah kepada Nintendogs.


JURULATIH maya akan memberikan beberapa cadangan untuk memperbaiki pergerakan.


Nintendo berjaya menjual 2 juta Wii Fit di Jepun dan baru-baru ini juga telah memasuki pasaran Eropah.

Bagaimanapun, bukan semua orang begitu menanti-nantikan produk seperti ini. Laman web rebiu permainan video, GameSpot berkata, ia juga mempunyai kekurangan.

“Wii Fit yang melibatkan senaman amat berpotensi untuk memberi impak positif pada kesihatan, tetapi terima kasih kepada kekurangan opsyen senamannya, cirinya yang tidak boleh dimainkan secara beramai-ramai dan nasihat kesihatan yang sedikit, ia bukanlah satu revolusi permainan kecergasan,” kata GameSpot

-kosmo

Komputer CAM WAJAH

Pada harga serendah dari RM2,299 untuk L310 dan dari RM1,899 untuk L300, ia pastinya komputer riba yang mampu dimiliki.



TOSHIBA baru-baru ini melancarkan beberapa siri produk terbaru yang cukup inovatif. Bermula dengan komputer riba yang mampu dibeli oleh pengguna, Satellite L310 dan L300 disasarkan kepada perbelanjaan kos rendah atau bajet.

Siap dilengkapi dengan perisian komputer asas, produk ini mempamerkan resolusi skrin yang tinggi iaitu Clear SuperView TFT, kawalan cahaya tinggi, DVD SuperMulti Double Layer Drive, pembaca kad lima dalam satu, kamera dalaman, USB Sleep, Bluetooth v2.1 dan pelbagai ciri-ciri lain.

Salah satu teknologi menarik milikToshiba ialah teknologi yang dikenali sebagai Smartface. Ia membenarkan pengguna melayari sistem pengkomputeran dengan mudah dan selesa. Smartface merakamkan gambar wajah pengguna secara digital untuk membolehkan pengguna menghasilkan satu kata laluan khas. Apabila pengguna memulakan sistem komputer, ia akan mengecam wajah pengguna sebelum memberi laluan penggunaan.

Ia juga mengecam wajah pengguna yang berlainan. Dengan kebolehan versatil sistem ini, pengguna tidak lagi perlu mengingati bermacam-macam kata laluan atau menaip perkataan. Kelebihan ini sekali gus membuka peluang pengguna yang cerah dalam kalangan ahli keluarga.

Pengurus Kanan Pemasaran Jabatan Produk Sistem Komputer Toshiba, Wong Wai Meng berkata: “Rangkaian komputer riba Satellite ini direka khas untuk mengenali kegemaran dan kemampuan pengguna yang berbelanja secara sederhana. Ia cukup sesuai bagi pengguna komputer kali pertama atau mereka yang bercadang untuk membeli komputer riba tambahan bagi kegunaan sekeluarga.”

“Pada harga serendah dari RM2,299 untuk L310 dan dari RM1,899 untuk L300, kualiti yang anda terima daripada Toshiba pasti memberi keselesaan,” tambahnya.

Dengan berat 2.35 kilogram, Satellite L310 didatangkan dengan skrin sebesar 14 inci manakala Satellite L300 memiliki berat dalam lingkungan 2.57 kilogram dan ke atas. Ia mempunyai skrin sebesar 12.4 inci. Kesemua komputer Toshiba diberi jaminan selama setahun termasuk alat ganti, bateri dan khidmat pakar servis.

Dalam koleksi mewah atau sedikit mahal, Toshiba juga melancarkan PORTEGE M800 yang lebih bergaya kerana ia menerima sentuhan Toshiba Fusion Finish. Bahagian luarnya berkilat dengan proses pembinaan yang unggul serta meninggalkan efek metalik yang menarik.

Kombinasi inovasi, ketahanan dan stail sememangnya meletakkan produk ini di tahap tertinggi. Antara elemen lain yang dimasukkan ialah butang multimedia yang halus pada butang sesentuh tetikus kromium dan banyak lagi.

PORTEGE M800 memiliki kad pembaca bisnes yang secara automatik mengimbas kad perniagaan dan boleh disimpan di dalam komputer. Ciri EasyGuard juga memastikan semua data disimpan selamat.

“Dengan skrin sebesar 13.3 inci dan cuma seberat dua kilogram, PORTEGE M800 adalah kemudahan komputer terbaik kepada ahli perniagaan yang sentiasa bergerak. “Berbanding PORTEGE M600, PORTEGE M800 memberi solusi yang lebih dinamik,” ujar Wai Meng lagi.

Uniknya ialah pengguna komputer riba Toshiba secara tidak langsung menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar kerana produknya menepati peraturan RoHS yang mengurangkan impak negatif ke atas alam. Di bawah program ini, komputer Toshiba mengurangkan penggunaan plumbum, merkuri dan beberapa bahan lain yang diklasifikasikan berbahaya.

Program kitar semula ini merupakan usaha berterusan sejak November tahun lalu apabila inisiatif ini menggabungkan Toshiba Singapura dengan rakan kerjasama telefon komputer, Tele Dynamics Sdn. Bhd.


IMEJ nampak lebih terang kerana REGZA mempunyai fungsi Intelligent Backlight Control.


Di bawah program ini, Toshiba secara percuma mengitar semula komputer riba pengguna yang tidak boleh digunakan semula. Malah, mereka tidak dipaksa untuk membeli produk baru yang lain.

Pengurus Kanan Jabatan Produk Sistem Komputer Toshiba, Lim Poh Chuan, menjelaskan, Toshiba merupakan pengeluar pertama dan satu-satunya syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini sepanjang tahun. Pengguna hanya perlu membawa produknya ke mana-mana pusat perkhidmatan Tele Dynamics.

Sementara itu, apabila membincangkan tentang televisyen LCD, tiada apa yang setanding dengan REGZA. Nampaknya, itulah slogan yang ditegakkan oleh Toshiba ketika merasmikan siri REGZA AV500 yang moden dan kontemporari. Paparan gambarnya cukup jelas dan terang serta semula jadi dengan teknologi Power Meta Brain.

Teknologi ini memberi penonton lima aspek visual yang hebat iaitu gambaran benar, jelas, bersih, lembut dan imej asli. Ingin menonton filem aksi dalam kualiti tiga dimensi? REGZA AV500 pasti tidak mengecewakan. Dengan proses video 10 bit, anda mampu melihat setiap ciri dan perkara dengan teliti. Untuk pengetahuan anda, televisyen lain hanya menggunakan lapan bit.

Satu lagi masalah yang dihadapi dengan televisyen LCD ialah gangguan garisan yang dengan senangnya dibetulkan oleh Intelligent Digital Noise Reduction. Imej yang nampak kabur dalam latar belakang gelap di televisyen lain, nampak lebih terang kerana REGZA mempunyai fungsi Intelligent Backlight Control.