Pada harga serendah dari RM2,299 untuk L310 dan dari RM1,899 untuk L300, ia pastinya komputer riba yang mampu dimiliki.

TOSHIBA baru-baru ini melancarkan beberapa siri produk terbaru yang cukup inovatif. Bermula dengan komputer riba yang mampu dibeli oleh pengguna, Satellite L310 dan L300 disasarkan kepada perbelanjaan kos rendah atau bajet.
Siap dilengkapi dengan perisian komputer asas, produk ini mempamerkan resolusi skrin yang tinggi iaitu Clear SuperView TFT, kawalan cahaya tinggi, DVD SuperMulti Double Layer Drive, pembaca kad lima dalam satu, kamera dalaman, USB Sleep, Bluetooth v2.1 dan pelbagai ciri-ciri lain.
Salah satu teknologi menarik milikToshiba ialah teknologi yang dikenali sebagai Smartface. Ia membenarkan pengguna melayari sistem pengkomputeran dengan mudah dan selesa. Smartface merakamkan gambar wajah pengguna secara digital untuk membolehkan pengguna menghasilkan satu kata laluan khas. Apabila pengguna memulakan sistem komputer, ia akan mengecam wajah pengguna sebelum memberi laluan penggunaan.
Ia juga mengecam wajah pengguna yang berlainan. Dengan kebolehan versatil sistem ini, pengguna tidak lagi perlu mengingati bermacam-macam kata laluan atau menaip perkataan. Kelebihan ini sekali gus membuka peluang pengguna yang cerah dalam kalangan ahli keluarga.
Pengurus Kanan Pemasaran Jabatan Produk Sistem Komputer Toshiba, Wong Wai Meng berkata: “Rangkaian komputer riba Satellite ini direka khas untuk mengenali kegemaran dan kemampuan pengguna yang berbelanja secara sederhana. Ia cukup sesuai bagi pengguna komputer kali pertama atau mereka yang bercadang untuk membeli komputer riba tambahan bagi kegunaan sekeluarga.”
“Pada harga serendah dari RM2,299 untuk L310 dan dari RM1,899 untuk L300, kualiti yang anda terima daripada Toshiba pasti memberi keselesaan,” tambahnya.
Dengan berat 2.35 kilogram, Satellite L310 didatangkan dengan skrin sebesar 14 inci manakala Satellite L300 memiliki berat dalam lingkungan 2.57 kilogram dan ke atas. Ia mempunyai skrin sebesar 12.4 inci. Kesemua komputer Toshiba diberi jaminan selama setahun termasuk alat ganti, bateri dan khidmat pakar servis.
Dalam koleksi mewah atau sedikit mahal, Toshiba juga melancarkan PORTEGE M800 yang lebih bergaya kerana ia menerima sentuhan Toshiba Fusion Finish. Bahagian luarnya berkilat dengan proses pembinaan yang unggul serta meninggalkan efek metalik yang menarik.
Kombinasi inovasi, ketahanan dan stail sememangnya meletakkan produk ini di tahap tertinggi. Antara elemen lain yang dimasukkan ialah butang multimedia yang halus pada butang sesentuh tetikus kromium dan banyak lagi.
PORTEGE M800 memiliki kad pembaca bisnes yang secara automatik mengimbas kad perniagaan dan boleh disimpan di dalam komputer. Ciri EasyGuard juga memastikan semua data disimpan selamat.
“Dengan skrin sebesar 13.3 inci dan cuma seberat dua kilogram, PORTEGE M800 adalah kemudahan komputer terbaik kepada ahli perniagaan yang sentiasa bergerak. “Berbanding PORTEGE M600, PORTEGE M800 memberi solusi yang lebih dinamik,” ujar Wai Meng lagi.
Uniknya ialah pengguna komputer riba Toshiba secara tidak langsung menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar kerana produknya menepati peraturan RoHS yang mengurangkan impak negatif ke atas alam. Di bawah program ini, komputer Toshiba mengurangkan penggunaan plumbum, merkuri dan beberapa bahan lain yang diklasifikasikan berbahaya.
Program kitar semula ini merupakan usaha berterusan sejak November tahun lalu apabila inisiatif ini menggabungkan Toshiba Singapura dengan rakan kerjasama telefon komputer, Tele Dynamics Sdn. Bhd.

Di bawah program ini, Toshiba secara percuma mengitar semula komputer riba pengguna yang tidak boleh digunakan semula. Malah, mereka tidak dipaksa untuk membeli produk baru yang lain.
Pengurus Kanan Jabatan Produk Sistem Komputer Toshiba, Lim Poh Chuan, menjelaskan, Toshiba merupakan pengeluar pertama dan satu-satunya syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini sepanjang tahun. Pengguna hanya perlu membawa produknya ke mana-mana pusat perkhidmatan Tele Dynamics.
Sementara itu, apabila membincangkan tentang televisyen LCD, tiada apa yang setanding dengan REGZA. Nampaknya, itulah slogan yang ditegakkan oleh Toshiba ketika merasmikan siri REGZA AV500 yang moden dan kontemporari. Paparan gambarnya cukup jelas dan terang serta semula jadi dengan teknologi Power Meta Brain.
Teknologi ini memberi penonton lima aspek visual yang hebat iaitu gambaran benar, jelas, bersih, lembut dan imej asli. Ingin menonton filem aksi dalam kualiti tiga dimensi? REGZA AV500 pasti tidak mengecewakan. Dengan proses video 10 bit, anda mampu melihat setiap ciri dan perkara dengan teliti. Untuk pengetahuan anda, televisyen lain hanya menggunakan lapan bit.
Satu lagi masalah yang dihadapi dengan televisyen LCD ialah gangguan garisan yang dengan senangnya dibetulkan oleh Intelligent Digital Noise Reduction. Imej yang nampak kabur dalam latar belakang gelap di televisyen lain, nampak lebih terang kerana REGZA mempunyai fungsi Intelligent Backlight Control.
RSS feed for comments on this post · TrackBack URI
Leave a reply