Bagaimanakah Wii Fit membantu orang ramai bersenam dengan cara yang menyeronokkan?

BAGAIMANA untuk membuang lemak di sekeliling perut anda? Lupakan pil, krim pelangsing badan mahupun berlapar kerana ia menyeksakan.
Cubalah cara yang lebih menyeronokkan iaitu bersenam dengan permainan video! Mungkin itulah mesej yang hendak disampaikan kepada umum dengan pelancaran permainan video Wii Fit di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Nintendo memperkenalkan Wii Fit dalam usahanya untuk memperluaskan kehebatan konsol permainan videonya, Wii, yang telah sedia terkenal di pasaran kerana pengawalan peka pergerakannya dan sifatnya yang mudah digunakan.
Permainan video dari Nintendo yang menggabungkan keseronokan dan kecergasan itu merangsang manusia agar mengalihkan punggung mereka dari sofa, tidak seperti sifat semula jadi permainan-permainan video yang lain.
Berbekalkan aksesori papan keseimbangan yang boleh mengesan berat serta peralihan pergerakan, ia berhubung dengan konsol Wii tanpa wayar.
Antara bentuk senaman yang boleh dilakukan menerusi Wii Fit termasuklah yoga, aerobik, latihan kekuatan dan keseimbangan.
Wii Fit juga bahkan berupaya mengukur kadar indeks jisim tubuh (BMI) seseorang pengguna dewasa, maka mereka boleh bergerak cergas kemudiannya.
Di atas papan tersebut, pengguna boleh melakukan kira-kira 40 aktiviti termasuk berpusing hula hoop secara maya, meregang kaki atau membuat pelbagai pose yoga.
Karikatur Wii pengguna – yang mana ia boleh dibentuk sendiri oleh pengguna – akan bertindak menggambarkan perkembangan kecergasan pengguna.
Jangan bimbang sekiranya anda tersilap melakukan pergerakan. Jika itu berlaku, jurulatih maya akan memberikan beberapa cadangan untuk memperbaiki pergerakan. Skor merupakan ukuran kepada kemajuan senaman pengguna.
Wii Fit merupakan jenama Nintendo terbaru yang dilancarkan tahun ini, bermatlamat untuk menarik hati khalayak seperti kaum ibu dan warga emas yang tidak mungkin tertarik kepada permainan video seperti Mario.

Para pemerhati menjangkakan permainan yang berharga hanya AS$90 (RM292) itu akan membuatkan para pengguna Wii Fit kurang membeli alat-alat permainan video yang lain berbanding pengguna Xbox 360 dan PlayStation.
“Senjata rahsia Wii adalah ia berusaha untuk membuatkan lebih ramai orang dalam isi rumah untuk bermain,” kata seorang penganalisis, Billy Pidgeon.
Petanda permintaan yang besar sudah pun kelihatan apabila laman web Wal-Mart berkata, pada tahap pra tempahannya, Wii Fit telah habis dijual. Amazon juga berkata mereka telah kehabisan stok.
Sementara Microsoft dan Sony memberi fokus kepada permainan video berdefinisi tinggi ultra realistik.
Nintendo mengejutkan industri dengan permainan berkos rendah. Pada April lalu, Nintendo telah menjual lebih daripada 700,000 mesin Wii di AS, hampir dua kali ganda jualan Xbox 360 dan PS3 keseluruhannya.
“Wii Fit mudah untuk dicuba siapa sahaja dan ia merupakan bukti bagaimana Nintendo berterusan meluaskan pengaruhnya dalam dunia permainan video kepada khalayak-khalayak yang baru,” kata Cammie Dunaway, naib eksekutif presiden jualan dan pemasaran Nintendo Amerika.
“Ia akan membuatkan anda bergerak tidak kira sama ada anda telah bermain permainan video selama berpuluh-puluh tahun atau ini merupakan kali pertama,” tambahnya.
Sempena dengan pelancarannya di AS, Nintendo turut menganjurkan parti interaktif di Central Park New York City, New York dengan kehadiran jurulatih kecergasan selebriti Ashley Borden.
Wii Fit merupakan ciptaan terbaru pereka permainan video legenda, Shigeru Miyamoto, yang tampil dengan banyak keluaran terhebat syarikat tersebut daripada Donkey Kong hinggalah kepada Nintendogs.

Nintendo berjaya menjual 2 juta Wii Fit di Jepun dan baru-baru ini juga telah memasuki pasaran Eropah.
Bagaimanapun, bukan semua orang begitu menanti-nantikan produk seperti ini. Laman web rebiu permainan video, GameSpot berkata, ia juga mempunyai kekurangan.
“Wii Fit yang melibatkan senaman amat berpotensi untuk memberi impak positif pada kesihatan, tetapi terima kasih kepada kekurangan opsyen senamannya, cirinya yang tidak boleh dimainkan secara beramai-ramai dan nasihat kesihatan yang sedikit, ia bukanlah satu revolusi permainan kecergasan,” kata GameSpot
-kosmo
:-` I am very thankful to this topic because it really gives up to date information “-,