BEG ATAS PINGGANG



Beban yang melepasi paras bawah pinggang memberi kesan pada pemakainya.



KESIHATAN perlu diutamakan biarpun ketika sedang bersantai dan mengembara ke sesuatu destinasi secara backpack. Beg galas yang dibawa di belakang tubuh bukan hanya menarik untuk digayakan, malah pemakainya harus tahu melaras ketinggian pad bahu, tali paut penyeimbang dan pengikat pinggang.

Beberapa tip asas perlu diingati agar pengembaraan yang menyeronokkan tidak dirosakkan oleh kesakitan pada pinggang, belakang tubuh dan bahu.

Kestabilan dan beban pada belakang tubuh boleh dikawal dengan memastikan kedudukan dasar beg tidak melepasi paras bawah pinggang. Selain itu, barangan berat perlu diisi di ruang bawah dan dirapatkan ke tubuh.

Barangan seterusnya diisi bertimpa ke atasnya, dengan berat yang terbahagi sekata dan tersusun secara simetri dengan belakang tubuh. Hari ini, banyak beg kembara dicipta secara ergonomik bagi tujuan ini.

CENGKIH CEGAH TOKSIK


Cegah Toksik



CENGKIH mengandungi komponen yang dipanggil eugenol. Kandungan tersebut banyak diuji dalam kajian kesihatan, termasuk penyelidikan barah salur penghadaman serta radang sendi.

Di Amerika Syarikat, ekstrak eugenol daripada cengkih dimanfaatkan dalam bidang pergigian kerana ia berkait rapat dengan proses terapi kanal akar, penampalan lubang sementara dan rawatan kesakitan gusi.

Eugenol dan bahan lain dalam cengkih iaitu beta kariofilena menjadikan cengkih sebagai bahan anaestetik dan juga agen antibakteria.

TIDAK FLOS


Seseorang digalakkan untuk memflos gigi sekali sehari.



MENGGOSOK gigi sahaja belum sempurna jika anda tidak menggunakan flos. Ia sebenarnya mampu membersihkan kuman yang tidak boleh dicapai oleh berus gigi biasa.

Jika anda tidak flos gigi, anda sebenarnya kehilangan sepertiga daripada permukaan gigi, kerana ia menjadi tempat ideal bagi lapisan bakteria membiak setiap detik.

Lebih teruk lagi jika seseorang mendapat penyakit gusi hanya kerana memandang remeh kepentingan menggunakan flos.

Kesukaran untuk menggigit dan mengunyah, bercakap dan nafas yang berbau adalah antara sebab kualiti hidup seseorang merosot.

Perkara sebegitu boleh terjadi hanya kerana anda tidak mengendahkan butir kecil kacang atau palitan karamel dan tofi gula-gula yang kekal terselit di sudut terlindung antara gigi.

Antara 24 hingga 36 jam, plak akan mengeras menjadi tartar dan ia hanya boleh dibersihkan oleh doktor gigi yang profesional.

Oleh itu, seseorang dinasihatkan agar menggunakan flos gigi sekurang-kurangnya sekali setiap hari bagi mengelakkan pembentukan tartar.

KRIM PUTING BAHAYAKAN BAYI

PENTADBIRAN Makanan dan Ubat (FDA) Amerika Syarikat melaporkan krim puting boleh membahayakan bayi. Pengguna dilarang membeli atau menggunakan Krim Puting Mommy’s Bliss, yang dipasarkan oleh San Rafael, sebuah syarikat yang beribu pejabat di California, MOM Enterprises Inc. Kenyataan ini dikeluarkan berikutan kandungannya yang boleh membahayakan bayi.

Produk ini, yang disasarkan kepada ibu yang menyusu badan dan berfungsi untuk membantu melegakan serta merawat puting yang merekah, mengandungi chlorphenesin dan phenoxyethanol yang boleh menyebabkan bayi muntah-muntah dan cirit-birit, kata FDA.

Dr. Janet Woodcock, Pengarah Pusat Penilaian dan Kajian Ubat FDA, berkata, “Kedua-dua bahan itu berinteraksi antara satu sama lain, membentuk sebatian yang boleh meningkatkan risiko gangguan pernafasan di kalangan bayi yang menyusu badan.”

-kosmo