Murid Tahun Lima belajar guna e-book mulai tahun depan

Guru boleh pantau latihan dalam talian

KUALA TERENGGANU: Mulai pertengahan bulan depan, semua murid Tahun Lima di 100 sekolah di Terengganu akan mengikuti pembelajaran menggunakan komputer riba mini dikenali sebagai buku elektronik atau e-book, yang diagihkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata selain murid, seramai 3,800 guru Tahun Lima juga akan dibekalkan kemudahan sama, bagi membolehkan mereka mengendalikan pembelajaran serta memantau latihan dalam talian secara terus dengan murid, walaupun berada di luar waktu sekolah.

Beliau berkata, kerajaan negeri menaruh harapan tinggi kemudahan e-book yang bernilai RM1,000 seunit itu dimanfaatkan sebaiknya oleh murid terbabit sekali gus membantu Terengganu mencipta kegemilangan lebih besar dalam bidang pendidikan negara.

“Jika kita ingin berubah, kita perlu berusaha untuk berubah, maka barulah perubahan itu mampu berlaku. Perubahan boleh dibuat di mana-mana. Kerajaan negeri sangat berbangga dengan kerjasama semua pihak termasuk Top IT Industries Sdn Bhd dan Intel Malaysia yang merealisasikan impian kita menggunakan e-book di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran e-book peringkat negeri di sini, semalam. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Ahmad berkata, kerajaan negeri juga akan memperluaskan penggunaan e-book kepada semua murid sekolah rendah merangkumi Tahun Satu hingga Tahun Empat secara berperingkat pada masa depan, selaras hasrat kerajaan negeri melahirkan masyarakat celik teknologi dan maklumat (IT).

“Kita sedang lihat untuk memulakan program e-book ini seawal Tahun Satu dan secara berperingkat kita akan sediakan kemudahan ini untuk semua murid sekolah rendah. Setakat ini, kita mulakan dengan murid Tahun Lima dulu dan tahun depan, apabila mereka memasuki Tahun Enam, mereka akan terus menggunakan e-book dengan perisian pembelajaran Tahun Enam,” katanya.

Beliau berkata, setiap e-book diberikan kepada pelajar disertai dengan jaminan selama setahun dan sebarang masalah atau kerosakan boleh dirujuk kepada Pegawai Eksekutif Informasi (EIO) yang ditempatkan di setiap sekolah, bagi memantau dan mengendalikan penyelenggaraan alat elektronik itu.

Katanya, e-book yang dilengkapi portal pendidikan negeri iaitu Program Terengganu A++ juga diwujudkan dan akan dijadikan pusat tuisyen maya untuk seluruh pelajar sama ada di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada majlis itu, satu kuiz dijalankan secara online membabitkan murid Tahun Lima di tujuh PPD dan dimenangi PPD Setiu, sekali gus membawa pulang hadiah komputer meja jenis Intel Core I7 Processor yang dipacu dengan pemprosesan terpantas sumbangan Intel.

-bharian

97 total views, 2 views today

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam