Selesa di tapak tangan

HTC Touch 3G merupakan telefon pintar dengan paparan skrin sentuh 2.8 inci. Hadir dengan pad kekunci navigasi lima kaedah, pengguna boleh memilih untuk mengendalikan gajet ini menggunakan stylus sekecil sebatang pencungkil gigi.

Jangka hayat HTC Touch 3G memberi jaminan kitaran bateri 6.5 jam untuk waktu berbual manakala hampir 19 hari dalam mod bersedia.





Memiliki tubuh yang cukup selesa dikendalikan di atas tapak tangan, HTC Touch 3G didatangkan dengan sebuah kamera 3.2 mega piksel.

Sistem menu TouchFLO 2D terbaru yang disepadukan dalam gajet HTC ini menawarkan antara muka yang sama dengan TouchFLO 3D. Namun, tanpa animasi dan beberapa perpindahan 3D.

Gajet ini menawarkan kadar kepantasan data HSDPA dengan sokongan quad-band untuk rangkaian GSM. Selain itu, HTC Touch 3G juga dilengkapi kemudahan Wi-Fi dan menyokong penerima GPS binaan dalam.

Beroperasi dengan platform Windows Mobile 6.1, gajet ini juga menawarkan satu rangkaian aplikasi perniagaan dan sokongan kepada MS Exchange, e-mel push serta MS Word, Excel dan Powerpoint versi mudah alih.

Hadir dengan ruang memori sebesar 256MB sebagai stor muzik, gambar, dokumen dan aplikasi lain, HTC Touch 3G juga menyokong memori MikroSD yang boleh diluaskan.

Paparan skrinnya yang agak luas juga membuatkan tontonan video YouTube selesa. Tambahan pula pemproses 528MHz Qualcomm MSM7225 dengan RAM 128MB juga menjanjikan prestasi gajet lebih meyakinkan.

Lebih menarik ialah jangka hayat HTC Touch 3G. Kitaran bateri adalah 6.5 jam untuk waktu berbual manakala hampir 19 hari dalam mod bersedia.

Stesen WiFi D100

ROUTER Wi-Fi D100 Huawei membolehkan anda menyambungnya kepada dongle USB 3G standard. Ini memudahkan sambungan jalur lebar 3G anda dikongsi bersama peranti lain di dalam bilik anda. Ia sekali gus mencegah anda daripada ‘kesibukan’ dalam talian.



Anda hanya perlu memasang jalur lebar dongle mudah alih anda ke dalam router untuk mengakses Internet serta-merta. Malah, pengguna juga boleh berkongsi dengan peranti yang membolehkan Wi-Fi berfungsi seperti komputer peribadi, komputer riba atau Mac.

Jabra BT530

SET kepala Bluetooth Jabra BT530 merupakan yang pertama menggunakan teknologi Noise Blackout daripada GN Netcom. Noise Blackout merupakan kombinasi dwi-mikrofon, teknologi DSP (pemprosesan isyarat digital) dan Perlindungan Kejutan Audio. Perlindungan Kejutan Audio ini mampu membatalkan sebarang bunyi latar tanpa menjejaskan kualiti bunyi.



Hanya seberat 10 gram, gajet ini turut menyokong A2DP untuk bunyi stereo. Ia juga menawarkan sekitar 5.5 jam masa berbual selain hadir dalam penampilan hitam-perak yang menarik. Jabra BT530 ini dilengkapi cangkuk telinga yang fleksibel dan Jabra Eargel generasi ketiga.

Dua pilihan tetikus

SYARIKAT gergasi, Microsoft Corporation baru-baru ini mengumumkan beberapa produk baru untuk pemain mainan video dan penggemar teknologi berfesyen. Ini termasuk tetikus mainan video SideWinder X3, tetikus dwicekatan pertama dan edisi khas tetikus paling laris, Arc.

Pengurus Pemasaran Serantau (Asia Tenggara) untuk Perkakasan Microsoft, Katherine Teu berkata, kajian mereka mendapati, keselesaan sewaktu bermain mainan video terus menjadi aspek utama kebanyakan pemain mainan video komputer peribadi.

“Tetikus kecil ini telah direka bagi membolehkan pengguna cekap menggunakan kedua-dua tangan. Ini untuk mengecapi kesempurnaan prestasi mainan video pada harga mampu milik,” katanya.

TETIKUS Arc (kanan) dan TETIKUS SideWinderX3.



Bercakap untuk pihak ECS Astar Sdn. Bhd., Pembantu Pengurus Urusan, CP Chia pula memberitahu, masalah bagi sebilangan besar tetikus mainan video hari ini adalah ia banyak memenuhi permintaan pengguna tangan kanan sahaja.

“Rekaan X3 yang dwicekatan merupakan yang pertama dalam rangkaian tetikus SideWinder. Menariknya, ia telah direka untuk memenuhi pengguna tangan kanan dan juga pemain kidal.

“Tetikus ini sangat sesuai untuk pengguna yang perlu menimbangkan soal bajet tetapi tetap mengimpikan prestasi dan harganya. Jadi, kami sangat teruja dan menjangkakan tetikus baru ini akan diterima baik oleh pengguna Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, selain perkembangan mendadak tetikus Arc, Microsoft juga memperkenalkan sebuah tetikus pemenang anugerah yang hadir dalam tiga warna edisi khas iaitu hijau zaitun, biru marin dan ungu terung. Tetikus Arc ini berjaya mencapai senarai 10 kedudukan tetikus terlaris setelah hanya dua bulan berada dalam pasaran Amerika Syarikat.

Ia juga boleh diperoleh dalam warna merah, hitam dan putih. Tetikus Arc ini juga sudah terbukti mampu memenuhi keperluan pengguna yang mementingkan gajet bergaya dan serasi dengan gaya hidup mereka.

-kosmo




Share and Enjoy:
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google Bookmarks
  • LinkedIn
  • StumbleUpon
  • Technorati
  • TwitThis