Nota segera ONENOTE

Tidak kira jika anda seorang penuntut yang mengambil nota di dalam dewan kuliah atau seorang pekerja mencatat minit mesyuarat di dalam mesyuarat syarikat, anda pasti kagum bagaimana OneNote boleh menjadi begitu berguna.


ONENOTE merupakan aplikasi yang berguna untuk menyimpan nota segera secara efektif.


SEGALA catatan yang dibuat dikategorikan kepada dua, kerja dan peribadi.



BERAPA kalikah anda kehilangan nota yang anda catatkan di atas kertas? Atau nota yang gagal anda temui semula setelah menyimpannya dalam format Notepad atau perisian Word? Keadaan seumpama ini sering berlaku lantaran kaedah penyimpanan fail yang tidak sistematik. Sungguhpun kita boleh menggunakan fungsi carian pada komputer, namun apabila kita memerlukan catatan tersebut dengan segera, carian tidak banyak membantu.

OneNote merupakan salah satu aplikasi di dalam Microsoft Office yang mula diperkenalkan dalam pakej Office 2003 keluaran Microsoft. Sungguhpun sudah agak lama wujud, namun aplikasi catatan nota ini kurang diberi perhatian berbanding aplikasi lain di dalam pakej pejabat ini. OneNote merupakan penyelesaian terbaik bagi mereka yang sering mengalami masalah di atas.

Walaupun anda tidak semestinya menjadi seorang pelajar untuk menggunakan OneNote, kebolehan aplikasi ini untuk menyimpan nota segera dan gandingan komponen lain menjadikannya begitu sesuai digunakan di dalam persekitaran akademik. Ia mampu menggantikan pelbagai buku nota fizikal dan koleksi kertas catatan yang dijilid dengan satu nota bergaris, mempunyai ciri carian berindeks serta berlabel di dalam satu buku nota utama.

Tidak kira jika anda seorang penuntut yang mengambil nota di dalam dewan kuliah atau seorang pekerja mencatat minit mesyuarat di dalam mesyuarat syarikat, anda pasti kagum bagaimana OneNote boleh menjadi begitu berguna. Anda juga boleh menyimpan rakaman audio yang dibuat di dalamnya. Rakaman ini kemudiannya boleh dicari secara fonetik dengan memberikan kunci teks, dan ia boleh dimainkan semula serentak ketika nota diambil sewaktu rakaman dijalankan.

Aplikasi yang dibangunkan oleh Microsoft ini membolehkan anda menyalin nota penting dari e-mel, laman web ataupun fail PDF dan ‘menampalnya’ pada helaian OneNote. Selain teks, melalui teknologi OCR atau Optical Character Recognition, aplikasi ini turut membolehkan kita meletakkan gambar dari pengimbas atau gambar dari kamera digital dan boleh dicari dengan lebih pantas melalui label teks gambar tersebut. Apa yang lebih menarik lagi, nota yang dibuat dalam bentuk dakwat elektronik pada gambar tersebut (annotation) juga boleh dicari sebagai teks.

Segala catatan yang dibuat dikategorikan kepada dua, kerja dan peribadi. Dengan cara ini, ia dapat mengelakkan kekeliruan akibat tercampur aduk dengan nota yang disalin. Kumpulan nota itu boleh dibahagikan kepada satu lagi sub-kategori sebelum dilabel menggunakan tab bagi setiap jenis nota. Ini akan memudahkan urusan pencarian kelak apabila anda memerlukan nota yang telah dicoret.

Ciri sokongan pelbagai pengguna membolehkan suntingan secara off line dan diselaras semula. Ini amat berguna khususnya bagi kumpulan kerja yang menjalankan satu tugasan pada masa yang berbeza. Setiap ahli kumpulan kerja boleh menambah catatan kerja mereka, menjadikannya seperti papan hitam yang boleh dicoret bersama.

Bagi yang menggunakan Tablet PC, OneNote memberikan satu lagi keistimewaan melalui ciri pengecaman tulisan tangan. Ini memberikan anda satu pengalaman seolah-olah menulis di atas buku nota fizikal menggunakan pen berdakwat biasa.

Kombinasi fungsi di dalam OneNote benar-benar memudahkan kita membuat catatan, sama ada sekadar idea yang terlintas di kotak fikiran kita atau sesuatu maklumat penting yang akan boleh menjadi rujukan sekali gus memudahkan urusan yang kita hendak lakukan kelak.

-kosmo




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam