Setiap label telefon cuma mencipta kelainan pada gajet mereka. Vertu memperkenalkan gajet terbaru mereka dengan keunikan seramik berwarna.

PENERAJU pengeluar telefon mudah alih mewah buatan tangan, Vertu baru-baru ini memperkenalkan satu rangkaian produk terbaru di bawah koleksi Vertu Constellation Pure. Dengan membangunkan penggunaan seramik berwarna di atas telefon mudah alih, Vertu sekali lagi tampil dengan material gajet yang berinovatif.
Mengekalkan rekaan klasik Vertu Constellation asli, koleksi khas dan terhad Pure menggabungkan kemasan seramik warna berteknologi tinggi bersama tekstur semula jadi kulit yang terbaik. Ini sekali gus membentuk sebuah gajet yang elegan dan moden penampilannya.
Pereka utama di Vertu, Frank Nuovo berkata, koleksi tersebut memperolehi inspirasi rekaannya menerusi elemen yang ringkas. Vertu telah mengambil masa lebih dua tahun untuk menyempurnakan proses mewarna dan ia merupakan syarikat pertama yang menggunakannya ke atas telefon mudah alih.
Kesemua bahagian seramik pada koleksi Pure telah dihasilkan secara berasingan. Setiap satunya direka menggunakan peralatan khas demi memperoleh saiz yang ideal dan bagi memastikan susunan bahagian telefon adalah sempurna.
Ketelitian proses dalam pembangunan dan pemilihan kulit adalah selaras bagi mendapatkan padanan warna dan kemasan seramik yang sempurna.
Di sebalik setiap butang dilapisi satu lapisan khas untuk mencegah tembusan cahaya. Lapisan laker pula telah diaplikasikan pada setiap lubang grafik untuk mengelakkan penyebaran cahaya ke atas jangka hayat telefon mudah alih itu.

Koleksi Vertu Pure boleh diperoleh dalam empat warna berbeza – putih, hitam, kelabu (keluli tahan karat) dan perang (emas 18 karat). Setiap satunya hadir dengan bekas kulit buatan Itali tersendiri dengan padanan warna yang sesuai.
Setiap telefon mudah alih Vertu dihasilkan menerusi buatan tangan di ibu pejabat Vertu di Britain oleh kumpulan tukang berkemahiran tinggi.
Vertu ditubuhkan pada tahun 1998 dan mula memperkenalkan rangkaian produknya yang pertama pada 2002 setelah empat tahun penyelidikan serta pembangunan intensif. Setiap telefon mudah alih Vertu didatangkan dalam tiga koleksi berbeza iaitu Vertu Signature, Vertu Ascent dan Vertu Constellation. Vertu boleh diperoleh di lebih daripada 50 buah negara dan di 600 kedai barang kemas, jam tangan berprestij dan butik Vertu di seluruh dunia.
Untuk maklumat lanjut mengenai Vertu, sila layari laman web www.vertu.com.
-kosmo
Pingback: Rancang dan gapailah apa yang anda mahu -- Wanita & Komputer