Selamatkah album foto internet?

Sejauh manakah selamatnya menyimpan gambar dalam talian pada portal-portal Internet?


GAMBAR-GAMBAR yang disimpan dalam portal Internet berisiko disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.


DEWASA ini, kamera digital sudah begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia yang semakin maju melangkah dalam era digital. Di majlis-majlis perkahwinan dan keraian lain contohnya, telefon berkamera, kamera digital SLR mahupun kompak sudah menenggelami populariti kamera analog yang menggunakan filem.

Selari dengan perkembangan ini, bilangan laman web yang membolehkan perkongsian foto digital secara umum turut meningkat. Laman web atau online album ini menjadi pusat depositori pengguna untuk menyimpan koleksi gambar mereka buat tatapan sahabat taulan serta saudara mara tidak kira di mana mereka berada.

Namun, adakah selamat untuk berkongsi koleksi foto peribadi anda di laman ini? Sama ada sedar atau tidak, foto peribadi mengandungi maklumat berkaitan anda dan keluarga, harta benda milik anda serta aktiviti yang dilakukan bersama keluarga mahupun teman.

Kekhuatiran ini sebenarnya ada asasnya kerana terdapat banyak laporan tentang pelanggaran privasi yang berpunca daripada perkongsian maklumat pada laman web umum menunjukkan laman seperti ini mungkin tidak selamat sekiranya kita tidak berhati-hati.

Laman web yang membenarkan perkongsian gambar seperti Fotopages, Flickr dan PicasaWeb merupakan portal himpunan gambar yang popular hari ini. Laman ini membenarkan ahlinya menyimpan serta mencoretkan nota pada setiap keping gambar yang terpapar.

Secara umumnya laman seperti ini mendapat keuntungan menerusi cetakan gambar, kad serta cenderahati seperti kalendar yang dicetak dengan gambar pilihan kita. Ahli pula boleh berkongsi gambar dengan teman dan keluarga dengan memberikan pautan kepada laman foto mereka.

Sesetengah laman menawarkan ciri keselamatan dengan menghendaki pelawat memasukkan kata nama berserta kata laluan sebelum dibenarkan melihat gambar di dalamnya. Pelawat juga boleh meninggalkan komen pada mana-mana gambar yang mereka rasakan menarik.

Ketika ramai yang ghairah memaparkan gambar mereka secara dalam talian, ada yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasinya. Wujud kes di mana pemilik album gambar ini diekori oleh seseorang yang tidak dikenali – yang berpunca daripada perkongsian gambarnya sendiri.

Lebih mengerikan, terdapat juga kes pembunuhan dan penculikan di Amerika Syarikat yang berpunca daripada perkongsian gambar. Pada Disember tahun 2004, Lisa Montgomery telah ditahan dan dituduh membunuh Bobbie Jo Stinnett yang ketika itu sedang hamil lapan bulan.

Hasil penyiasatan polis dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati Montgomery mengetahui Stinnett hamil melalui laman web yang memaparkan gambar Stinnett bersama anjingnya. Kemudian penjenayah kejam ini menghubungi Stinnett kononnya hendak membeli salah seekor daripada anjingnya. Tanpa sebarang syak, ibu malang tersebut memberikan alamat rumahnya. Perjumpaan kemudian diatur dan berakhir dengan tragedi memilukan itu.

Apabila maklumat peribadi dihantar ke internet, pastinya anda melakukannya dengan tujuan tertentu seperti berkongsi gambar dengan teman dan keluarga atau mempromosikan perniagaan dan perkhidmatan anda. Namun, apabila maklumat peribadi didapati secara bebasnya di internet, anda kehilangan kawalan tentang siapa yang akan menggunakan maklumat tersebut dan bagaimana ia akan digunakan.


Terdapat banyak maklumat yang terdapat daripada album foto di internet daripada gambar hinggalah nota-nota ringkas. Seperti slogan Fotopages, ‘Kerana sekeping gambar melambangkan ribuan perkataan’, gambar peribadi boleh membawa pelbagai maklumat kepada mereka yang rapat dengan anda, tetapi sekiranya tidak dihadkan, ia juga boleh digunakan oleh mereka yang tidak sepatutnya.

-kosmo




Telefon bimbit serendah RM78


ANTARA model terbaru telefon bimbit keluaran CSL.

Keluaran syarikat CSL mula dipasar Julai

PETALING JAYA: Pengeluar telefon bimbit tempatan, Kumpulan Syarikat CSL (CSL) akan memperkenalkan telefon bimbit dengan harga serendah RM78 seunit bulan depan untuk menguasai pasaran dalam negara dan yakin dapat menjual kira-kira 20,000 unit sebulan.

Dengan harga serendah itu, syarikat berkenaan yakin dapat meningkatkan jumlah jualan kepada 300,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar CSL, Edwin Gan, berkata CSL menjual lebih 300,000 unit telefon bimbit membabitkan 47 model di antara November 2007 hingga Mei lalu.

“Ini tidak termasuk tujuh model baru yang dilancarkan malam ini iaitu M28, M52i, DS28i, DS88i, SP10i, K500i dan Blueberry-i,” katanya pada `CSL Star Dealers’ Night 2009′ di sini, malam kelmarin .

Produk baru telefon bimbit itu diperkenalkan oleh barisan finalis Miss Pageant 2009.

Sempena pelancaran itu juga, CSL memperkenalkan dua produk baru multimedia iaitu N1000 netbook dan model baru 3.5G HSDPA USB modem – U1-TF Blossom.

Edwin berkata, ketika ini, CSL mempunyai 120 kiosk jualan di seluruh negara dan jumlah itu dijangka bertambah 50 lagi menjelang akhir tahun ini.

Bagi separuh penggal kedua tahun ini, katanya syarikat itu bercadang melabur RM1.5 juta untuk mengukuhkan jenama produk CSL, RM1 juta untuk meningkatkan kemudahan di pusat servis dan RM1 juta lagi untuk pembangunan perisian dan kandungan digital.

Katanya, CSL juga mempunyai 18 pusat servis bagi memberi perkhidmatan selepas jualan kepada pengguna.

“Dengan kekuatan 150 kakitangan teknikal, kami merancang memberi perkhidmatan lebih baik kepada pengguna.

“Berikutan itu, kami akan membuka lebih banyak pusat kutipan dengan menggunakan premis pengedar utama yang letaknya di seluruh negara sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Sehingga kini, produk yang dihasilkan CSL dikenali sebagai barangan buatan Malaysia dan sebagai pengeluar telefon bimbit tempatan, syarikat itu yakin rakyat negara ini akan menyokong usaha CSL.

-bharian




12,760 orang HILANG KERJA di Singapura

SINGAPURA: Jumlah pekerja yang hilang pekerjaan di Singapura mencecah rekod tertinggi dalam suku pertama tahun ini dengan 12,760 orang terjejas ? melebihi 12,600 yang dianggarkan sebelum ini.

Ia juga jauh lebih tinggi daripada 9,410 yang kehilangan kerja pada suku terakhir tahun lalu dan 8,590 yang kehilangan pekerjaan pada suku terakhir 2001 selepas serangan pengganas 11 September.

Ini menjadikan kadar keseluruhan pengangguran di Singapura kepada 3.3 peratus ? kadar tertinggi dalam tempoh tiga tahun ? menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam.

MOM menyatakan, jumlah 12,760 itu merangkumi 10,900 pekerja yang diberhentikan, sementara 1,860 pula diberhentikan sebelum kontrak mereka tamat.

“Ini adalah 36 peratus lebih tinggi berbanding pemberhentian kerja seramai 9,410 dalam suku keempat tahun lalu tetapi kadar peningkatan itu lebih perlahan berbanding kenaikan tinggi 196 peratus daripada suku ketiga hingga suku keempat tahun lalu,” kata MOM dalam kenyataannya semalam.

MOM menyatakan disebabkan keadaan ekonomi yang lembab, kadar keseluruhan pengangguran meningkat kepada 3.3 peratus pada Mac lalu berbanding 2.5 peratus pada Disember tahun lalu.

Menurut MOM, sektor pengilangan terus membentuk majoriti pekerja yang diberhentikan dalam suku pertama tahun ini ? meningkat daripada 55 peratus dalam suku keempat 2008 kepada 72 peratus dalam suku pertama 2009.

Disebabkan keadaan ekonomi yang lebih lembab, jumlah pekerjaan merosot kepada 6,200 dalam suku pertama tahun ini. ? Agensi

-bharian