Komunikasi antara manusia dan robot amat penting untuk mencipta robot-robot yang boleh membuatkan manusia jatuh cinta.

HUBUNGAN romantik antara manusia dan robot bukan lagi perkara sains fiksyen, sebaliknya penyelidik menjangka ia bakal menjadi realiti dalam masa empat dekad lagi.
Malah lebih mengejutkan, mereka juga maksudkan hubungan seks secara mekanikal.
“Saya bercakap mengenai perhubungan cinta dalam masa 40 tahun akan datang,” kata David Levy, penulis buku Love + sex with robots kepada AFP dalam satu persidangan antarabangsa yang berlangsung di Universiti Maastricht, baru-baru ini.
“Ia (hubungan cinta manusia-robot) akan berlaku apabila terdapat robot-robot yang turut mempunyai emosi, personaliti dan kesedaran. Mereka boleh bercakap dengan anda, membuat anda ketawa malah boleh mengatakan mereka menyayangi anda seperti manusia yang berkata ‘saya cintakan awak’ dengan maksud yang sebenarnya.”
Levy meramalkan bahawa robot sebagai alat permainan seks dijangka akan berada di pasaran dalam masa kurang lima tahun lagi. Ia boleh dikatakan naik taraf daripada anak patung seks yang kini telah pun dijual di pasaran.
Bagaimanapun untuk mencipta robot sebagai pasangan sebenar mungkin akan mengambil masa yang lama dengan kemahiran komunikasi menjadi penghalang utama bagi pengeluar.
Saintis bekerja keras mencipta personaliti, emosi dan kesedaran tiruan, kata Levy sambil menjelaskan sudah terdapat beberapa robot seperti itu dicipta.
“Tetapi untuk hubungan cinta, ia sesuatu yang benar-benar berbeza. Dalam hubungan sebegini, terdapat banyak perkara yang amat penting dan paling sukar ialah komunikasi.
“Anda mahukan robot anda mampu untuk bercakap mengenai apa yang menarik tentang diri anda. Anda mahukan pasangan yang mempunyai minat yang sama dengan anda, yang bercakap dengan romantik serta boleh membuatkan anda ketawa.”
Komunikasi antara manusia dan robot amat penting untuk mencipta robot-robot yang boleh membuatkan manusia jatuh cinta. Namun, ia ketinggalan di belakang kemajuan yang lain.
“Saya yakin ia akan berlaku satu hari nanti. Dalam masa 40 tahun atau mungkin lebih awal. Anda akan menemui robot sebagai teman berbual yang lebih menarik daripada manusia,” ujar Levy lagi.
Tesis Levy yang menggemparkan dan penerbitannya yang mengundang pelbagai reaksi daripada ramai pihak, menyebabkan banyak soalan dibangkitkan mengenai etika dalam hubungan tersebut.

Seorang cendekiawan Britain, Dylan Evans mempersoalkan kewujudan paradoks terhadap mana-mana hubungan dengan robot.
“Apa yang amat penting dalam sentimen cinta ialah kepercayaan bahawa cinta tidak bersyarat mahupun abadi. Robot tidak boleh memilih ataupun menolak anda. Itu akan menjadi sesuatu yang membosankan dan tidak seorang pun boleh membayangkan manusia menjadi kejam ke atas pasangan mereka,” kata Evans.
Menurut Evans lagi, robot mungkin boleh diprogramkan dengan kehendaknya sendiri dan kemampuan untuk menolak pasangan manusianya. Namun, robot jenis itu akan menjadi robot yang paling sukar untuk dijual.
Ada pula pihak memberi amaran tentang menjadi terlalu terburu-buru.
“Janganlah kita memperbesar-besarkan kemungkinan yang ada. Hari ini pemikiran tiruan yang mampu kita cipta ialah kanak-kanak yang berusia setahun,” kata penyelidik Belanda, Vincent Wiegel dari Universiti Tecnological, Delft.
Tetapi Levy masih tidak mahu mengalah. Dia yakin perkara itu akan berlaku dan meramalkan masyarakat akan memperoleh banyak manfaat daripadanya. – AFP
-kosmo