Papan kekunci fleksibel

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Papan kekunci silikon mudah dibawa ke mana jua dan selamat digunakan dalam pelbagai persekitaran.


PAPAN kekunci ini tidak mengeluarkan bunyi bising semasa menaip.


PERNAHKAH anda mengalami situasi di mana ketika tergesa-gesa menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah, tiba-tiba air kopi yang terletak di tepi komputer tertumpah di atas papan kekunci? Atau pernahkah anda teringin untuk memiliki sebuah papan kekunci yang dikhas untuk penggunaan permainan komputer?

Jika ya dan anda masih dalam misi mencari, jangan risau kerana kini sudah ada aksesori papan kekunci yang mesra pengguna. Ia bukan sahaja diperbuat daripada bahan yang ringan seperti silikon tetapi juga mengurangkan kepayahan membawanya ketika mengembara. Dalam erti kata lain, ia menjimatkan ruang.

Papan kekunci silikon ini berkualiti tinggi dan ia tidak beracun atau mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan untuk keselamatan kanak-kanak di rumah. Mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah standard perlindungan persekitaran, produk ini cukup kreatif dan inovatif.

Papan kekunci ini yang dikeluarkan dari China, didatangkan dalam kotak atau bekas yang ditutup kedap udara agar dapat menghalang pencemaran kuman dan bakteria. Malah, anda boleh mencuci dan membersihkannya dalam masa beberapa saat. Semudah itu!

Di Thunder Match Technology Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, terdapat dua jenis papan kekunci silikon. Salah satu daripadanya tidak mempunyai butang digit atau nombor, manakala satu lagi lengkap dengan butang yang boleh didapati pada papan kekunci biasa.

Papan kekunci silikon yang tidak bernombor ini sesuai dibeli oleh mereka yang gemar menghabiskan masa yang lama bermain permainan komputer. Ia agak kecil dan mudah dilipat untuk dimasukkan ke dalam bekas atau beg bimbit.

“Papan kekunci silikon yang mempunyai 79 butang ini juga boleh dibawa ke kawasan yang lembap,” jelas penyelia di Thunder Match Technology Sdn. Bhd., Michael Pang.

“Sebab itulah, anda tidak perlu risau tentang air yang tertumpah. Ambilkan sehelai kain, lap dan bersedia untuk menaip semula,” tambahnya.

Menurut manual yang disertakan, papan kekunci silikon ini selamat digunakan di kawasan yang persekitarannya berasid atau alkaline, habuk, kabut dan juga permukaan air yang cetek. Hebat bukan!


SESUAI untuk kegunaan komputer meja dan komputer riba.


Apa yang paling penting dan perlu diingati ialah elakkan meletak objek berat di atasnya, pertembungan dengan suhu yang terlalu panas atau api, jangan menarik atau memulas dan jauhkan daripada objek yang tajam.

Kedua-dua papan kekunci silikon ini bersambung dengan sistem komputer melalui penghubung USB dan mungkin mengambil sedikit masa untuk diselaraskan. “Ia dijual pada harga RM35 dalam warna biru dan hitam serta tidak mengeluarkan bunyi bising semasa menaip.

“Dengan keupayaan menaip sehingga dua juta kali, butang papan kekunci silikon ini tidak mudah rosak dan sesuai untuk penggunaan di hospital, bengkel, kelas, unit ketenteraan, makmal sains, bilik kanak-kanak dan sebagainya,” kata Michael.

Tidak kira komputer riba atau komputer meja, papan kekunci silikon ini hanya seberat 190 gram dengan ketinggian 4.8 milimeter. Ia didatangkan dengan 109 butang.

Bagi papan kekunci silikon yang lengkap berabjad dan nombor pula, asas penjagaan dan penggunaannya adalah hampir sama. Cuma, ia menunjukkan langkah-langkah penyambungan semula (troubleshooting) sekiranya tetikus tidak dikesan pada skrin komputer atau kelewatan ‘bacaan’ papan kekunci pada sistem komputer.

Bagi kemudahan dan penjimatan masa pengguna yang berpotensi untuk membeli papan kekunci silikon yang lengkap berabjad dan nombor, pastikan komputer anda berasaskan sistem pengoperasian Windows 98/ 2000/ Millenium Edition, XP dan Vista.

Thunder Match Technology Sdn. Bhd. terletak di Lot 4.30-4.32, Tingkat 4, Low Yat Plaza off Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

-kosmo




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam