Tips Temuduga KERJA KERAJAAN

Salam semua….

Sedikit tips untuk interview kerja kerajaan...

ANDA  perasan tak, banyak iklan
kekosongan jawatan di sektor awam
diiklankan baru-baru ini.

Contohnya, iklan temuduga terbuka, temuduga
untuk jabatan-jabatan ataupun kementerian
- kementerian dll. Dan temuduga SPA seperti biasa,
pasti ada.

Mengapa begitu banyak kekosongan jawatan
pada masa ini? Jawapannya adalah Pakej
Rangsangan Ekonomi
yang diumumkan
oleh Perdana Menteri kita yang khusus
untuk merangsang pertumbuhan ekonomi
di zaman kemelesetan ekonomi ini.

Dengan pengumuman oleh PM ini, ianya telah
membuka peluang pekerjaan yang besar di
sektor swasta dan juga kerajaan. Dan peluang ini
diharapkan dapat membantu para penganggur /
graduan universiti/mereka yang telah
diberhentikan kerja untuk menyara hidup mereka.

Bagi kekosongan jawatan di sektor awam, banyak
calon telah dipanggil temuduga. Yang dipanggil
temuduga memanglah amat ramai jika dibandingkan
dengan kekosongan yang ada. Walaupun jawatan yang
ditawarkan bersifat kontrak atau sementara, tetapi
ramai yang menghadiri temuduga tersebut. Tidak
kiralah mereka penganggur ke, pekerja yang diberhenti
ke, malah mereka yang sudah bekerja di sektor swasta
mahupun kerajaan(kontrak) tetap datang ke temuduga
tersebut.

Tetapi adakah mereka berjaya? Hanya panel
penemuduga yang tahu…

Pssst…saya ada rahsia sebenarnya nak bagitahu
ANDA pasal kriteria pemilihan calon temuduga
yang akan berjaya dipilih bagi pakej rangsangan ekonomi
ini.

Yang mereka nilai adalah…..

1.    Status kerja calon
————————————
Di bawah pakej rangsangan ekonomi ini,calon-calon yang
tiada kerja/menganggur lebih diutamakan berbanding
mereka yang telah bekerja. Mengapa? Kerana tujuan
pakej rangsangan ekonomi ini sendiri bertujuan membantu
mereka yang hilang/tiada sumber pendapatan mendapatkan
sumber  mata pencarian mereka.

Tetapi adakah 100% golongan yang tiada kerja ini diambil?
Tidak sama sekali. Seperti yang saya beritahu tadi, golongan
ini adalah yang diutamakan! Mereka yang sudah memiliki
pekerjaan tetapi berminat juga dengan jawatan yang
ditawarkan, peluang mereka tetap ada. Tapi, mereka perlu lebih
menunjukkan prestasi yang terbaik semasa temuduga.

Bagi yang memang penganggur/tidak bekerja pula, jangan sangka mereka
dengan mudahnya akan berjaya dalam temuduga tersebut.
Persaingan di kalangan mereka juga sangat tinggi.
Hanya calon yang memberikan persembahan terbaik saja
yang akan berjaya.

2. Mereka Yang Bersungguh, Berkeyakinan….
———————————————————-
Sudah pasti sifat inilah yang dicari-cari oleh
penemuduga. Bersungguh? Bagaimana tu? Ianya bermaksud, calon
yang datang menghadiri temuduga, menunjukkan
minat mereka yang sebenarnya untuk memasuki sektor kerja
kerajaan. Ini dapat dinilai dari segi pemakaian mereka,
penampilan mereka, gaya dan stail mereka. Adakah mereka hadir
temuduga dengan memakai kot, memakai tali leher, berambut pendek
dan kemas ataupun bagi wanita, berpakaian ekslusif seperti
mereka seorang pengarah syarikat atau CEO.

Berkeyakinan? Apa yang dimaksudkan dengannya?
Bagi calon yang menghadiri sesi temuduga, keyakinan
semasa menjawab soalan temuduga adalah penting. Setiap
soalan yang ditanya, mereka hendaklah menjawabnya dengan
tenang, dan penuh keyakinan. Jangan sesekali ragu-ragu
dengan jawapan anda! Walaupun kita tak tahu jawapannya,
jawablah dengan memberikan kaitan kepada soalan yang
ditanya. Jika benar-benar tidak tahu, katakanlah ”maaf
tuan, saya memang tidak tahu dengan jawapan yang sebenarnya”.

Tidak merbahaya ke jawapan yang diberikan seperti
ini? Jangan risau, panel penemuduga bukannya mencari
calon yang 100% boleh menjawab soalan yang ditanya.
Yang sebenarnya, mereka mencari calon-calon yang
benar-benar berkelayakan. Nilai kejujuran, keyakinan,
sikap dan keikhlasan diambil kira di sebalik soalan-soalan
yang ditanya.

3.Calon-calon yang hadir dengan kelayakan sesuai
—————————————————————–
Ramai yang datang untuk temuduga bagi kelayakan
SPM dengan menggunakan Diploma ataupun Ijazah mereka.
Walaupun jawatan yang ditawarkan hanya untuk mereka yang
ada SPM  saja, tetapi mereka tetap inginkan jawatan
tersebut. Janji kerja  kerajaan, betul tak?

Saya bukannya melarang anda berbuat sebegitu.
Tapi anda tahu satu perkara, iaitu pengambilan temuduga di
bawah skim pakej rangsangan ekonomi ini mengutamakan mereka
yang ada kelayakan sesuai.

Jika jawatan yang ditawarkan untuk kelayakan SPM,
hanya mereka ada setakat sijil SPM sajalah akan
dipilih. Bukan apa, jika jawatan tersebut diberikan kepada mereka
yang memiliki kelayakan lebih tinggi, ketidak adilan akan
berlaku. Yang SPM ni bukannya boleh apply jawatan yang lebih tinggi
dari kelayakan mereka.

Akan tetapi jika anda ada Diploma atau Ijazah,
dan anda tetap juga inginkan jawatan bagi kelayakan SPM tadi, boleh
kah? Lebih-lebih lagi anda pula tiada pekerjaan..Ada caranya,
iaitu anda terpaksa berbohong sunat. Saya tidak menggalakkan cara
ini, cuma berkongsi cerita sedikit. Tipsnya:

1.Jangan isi borang permohanan melalui ijazah/diploma anda

2.Sebelum temuduga anda perlu tahu nak mereka cerita

3.Jangan sampai ”terkantoi” semasa temuduga

Sebenarnya cara ini berisiko, takut
anda terlepas cakap atau
diperangkap. Jika saya, saya lebih
suka berterus-terang. Supaya
hati saya lebih tenang dan yakin
semasa menjawab soalan temuduga.
Saya rasakan ianya adalah lebih baik
dari ”berbohong”.

Itu sahaja tips untuk kali ini….nantikan panduan mengenai tips kerja kerajaan di masa akan datang secara PERCUMA




Bila H.U.J.A.N turun

Pagi nie hujan telah turun di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Best gak… ye la sebab dah lama cuaca agak panas setiap hari….

Turunnya hujan membuatkan keadaan sekeliling lebih sejuk dan tenang ….

Saya pulak…. layan lagu ini….H.U.J.A.N….by DR FAZLEY….

LIRIK
====

Fazley – Hujan

Hujan…
Tersimpan memori titisan
Tangisan di bawah hujan

Adalahku dalam dambaan
Harapan untuk bersatu
Sabarlah sayang
Kita pasti bersama
Sabarlah sayang
Mentari tiba

Dibawah hujan kita pernah berjanji
Dibawah hujan kita ikrarkan hati
Dibawah hujan kita pilu menanti
Gerimis hujan bakal merungkai mimpi

Mendung kian berganti hujan
Ribut bersilihkan taufan
Langit kelam tanpa rembulan
Dalam dingin lafazku

Sabarlah sayang
Kita masih bersama
Sabarlah sayang
Mentari tiba

Dibawah hujan kita pernah berjanji
Dibawah hujan kita ikrarkan hati
Dibawah hujan kita pilu menanti
Gerimis hujan bakal merungkai mimpi

*(Dialog)

“Awak… kenapa awak nangis ni
Mana ada kita nangis
Air hujan la ni
Kita tahu awak nangis
Kita sedih la awak
kita sedih sangat
Kita tahu
Tapi jangan nangis dalam hujan
Awak sabar k…”

Dibawah hujan kita pernah berjanji
Dibawah hujan kita ikrarkan hati
Dibawah hujan kita pilu menanti
Gerimis hujan bakal merungkai mimpi

Virus telefon bimbit

Oleh Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

SATU ketika dulu jika memiliki sebuah telefon bimbit sudah dianggap gah walaupun ia bersaiz besar dan berat kerana peranti berkenaan mahal untuk dimiliki.

Apabila teknologi semakin berkembang, telefon bimbit membanjiri pasaran umpama cendawan yang tumbuh melata, malah ia ditampilkan dengan pelbagai bentuk, aplikasi, saiz, berat dan warna yang bersesuaian dengan kemajuan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pastinya ramai yang tersenyum dengan perubahan alat telekomunikasi hari ini yang dipelopori organisasi terkemuka dalam perindustrian seperti Sony Ericsson yang bermula pada 2001 apabila mengeluarkan telefon pintarnya yang pertama melalui siri P, jenama Nokia menerusi siri N, diikuti pelbagai jenama lain lagi termasuk HTC dan yang terbaru iPhone.

Ledakan teknologi memberi kesan positif kepada masyarakat kerana perkembangan itu bertindak sebagai pemacu ke arah kemunculan teknologi telefon bimbit yang semakin memenuhi pasaran negara, namun senario berkenaan turut dikaitkan dengan kehadiran virus dan penggodam atau penceroboh komputer.

Ia wujud dengan sifatnya yang menyerang ribuan komputer menerusi penyebaran pelbagai jenis virus yang mampu mendatangkan kerosakan kepada sistem pemproses komputer.

Kini telefon pintar menjadi tarikan penggodam yang sama ada sengaja menyebarkan virus atau cuba mencuri maklumat di telefon dan mensasarkan ruang telekomunikasi untuk menyebarkan kerosakan dari satu telefon ke satu yang lain.

Virus pertama yang dikesan dikenali sebagai SymbOS Cabir dari Czech Republic dan Slovakia pada 2004.

Cabir dihantar ke syarikat perisian keselamatan Kaspersky Lab di Rusia dan dianggap sebagai ‘bukti’ bahawa virus boleh ditulis dan disebarkan menerusi telefon bimbit.

Ia dibina untuk telefon bimbit yang menggunakan aplikasi Symbian Series 60 dan bertindak menerusi Bluetooth (dalam lingkungan 30 meter) dengan menghantar dirinya sendiri yang menyamar sebagai fail keselamatan.

Selepas penerima memasang fail terbabit, perkataan ‘Caribe’ akan terpamer di telefon bimbit.

Sekiranya telefon yang dijangkiti itu aktif, Cabir akan melancarkan dirinya sendiri dan mengimbas frekuensi untuk menghantar dirinya ke telefon bimbit yang lain. Proses imbasan ini yang melemahkan tenaga bateri telefon yang dijangkiti.

Selain Bluetooth, telefon bimbit turut dijangkiti menerusi inframerah, penukaran kad memori, SMS, MMS, GPRS dan pindah turun menerusi ‘over-the-air-programming’ (OTA) iaitu cara terbaru memindah turun perisian ke telefon bimbit.

Hampir 400 virus telefon bimbit dikesan dan dijangkakan meningkat dengan kedatangan teknologi telefon pintar.

Masyarakat hari ini berlumba-lumba ingin memiliki telefon pintar kerana dibekalkan dengan pelbagai alternatif untuk berhubung seperti WiFi, Bluetooth, port USB, CD/DVD dan slot memori kad ‘flash’ bagi memudahkan pemindahan data yang pelbagai.

Pengarah Teknikal Kaspersky Lab APAC, Nathan Wang, berkata pengguna harus berhati-hati jika ingin muat turun atau naik pelbagai data seperti klip video, gambar dan nada dering kerana cara penyebaran dan jangkitan virus ini adalah sama seperti melalui komputer.

“Pada 2005, virus pertama yang menyerang menerusi Mobile Messaging System (MMS) dikenali sebagai CommWarrior menerusi aplikasi Symbian Series 60. Podloso pula dikesan sebagai virus pertama yang menyerang iPod pada 2007.

“Statistik 2007 menunjukkan virus telefon bimbit berkembang pantas hingga 110,000 telefon bimbit dijangkiti virus. Manakala trojan Viver menjangkiti hampir 500 telefon bimbit dalam sehari.

“Berdasarkan penyedia perkhidmatan Vimpelcom, Kaspersky Mobile Security berjaya menghentikan hampir 1000 MMS yang dijangkiti dalam sehari,” katanya.

Menurut Nathan, pengguna mempunyai banyak maklumat peribadi di dalam telefon berbanding e-mel maka tidak menghairankan jika penularan virus merebak lebih banyak di kalangan pengguna telefon bimbit berteknologi pintar yang mempunyai aplikasi terbaru menyerupai komputer peribadi.

“Pengguna telefon bimbit suka menyimpan pelbagai data penting menerusi Short Messaging System (SMS) atau MMS seperti maklumat akaun bank dan butiran peribadi kerana mudah untuk dirujuk jika terlupa.

“Ia menjadi tarikan penggodam untuk memasuki telefon pengguna seterusnya menggunakan data terbabit untuk kepentingan sendiri.

“Laporan daripada media turut mempengaruhi pemikiran pengguna yang beranggapan virus hanya menyerang komputer dan tiada penekanan mengenai kecurian data telefon bimbit.

“Berita mengenai serangan virus di telefon bimbit agak kurang diperkatakan. Justeru, ia perlu ditekankan agar pengguna sentiasa berhati-hati dengan serangan virus yang tiada kesudahan,” katanya.

Atas dasar ini Kaspersky memperkenalkan Kaspersky Mobile Security 8.0 (KMS) sebagai langkah keselamatan bagi semua telefon bimbit yang bertindak melindungi ancaman virus yang mampu mencuri dan memadam maklumat, menyalin senarai nombor telefon, membeku serta memusnahkan fungsi telefon.

Program yang mesra pengguna ini menawarkan perlindungan masa nyata bagi melindungi telefon bimbit daripada semua sumber iaitu MMS, SMS, Bluetooth, kad memori flash, data sync dan Wi-Fi.

Seperti mana jangkitan di komputer, pengguna diberi pilihan untuk membiarkan, kuarantin atau membuang fail yang dijangkiti.

Kad memori dan memori dalaman akan diimbas untuk dilindungi daripada sebarang virus.

Sementara untuk menghentikan spam, pengguna perlu menentukan sumber yang diperoleh sama ada mahu menerimanya atau tidak.

Sekiranya pengguna pernah menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali atau mendapat spam, bolehlah menempatkan nombor terbabit di kalangan senarai hitam.

Menurut Nathan, selain bertindak sebagai antivirus Kaspersky merupakan satu-satunya perisian keselamatan yang turut menawarkan perlindungan antikecurian.

Sama ada telefon bimbit hilang secara tidak sengaja atau ia dicuri, pastinya pemilik telefon berhadapan dengan risiko kerana maklumatnya kini terdedah.

“Tiga pertahanan untuk antikecurian telefon membabitkan SMS Block, SMS Clean dan Subscriber Identity Module Watch (SIM Watch).

“Sekiranya telefon didapati hilang, pemilik telefon boleh menghantar SMS tersembunyi yang memberi arahan kepada telefonnya untuk menghalang data daripada diakses ataupun terus menyingkirkan data daripada memori dalaman dan kad memori,” katanya.

SIM Watch berperanan dengan menghantar isyarat ke nombor telefon baru apabila pencuri menukarkan kad sim asal dengan yang baru di telefon bimbit yang dicuri. Secara automatik, telefon terbabit akan menghantar nombor telefon baru kepada pemiliknya tanpa pengetahuan si pencuri.

SMS Find pula membolehkan pemilik asal mengesan lokasi telefon bimbitnya melalui SMS yang diterima yang menggunakan aplikasi Global Positioning System (GPS).

Selepas menghantar SMS ke telefon bimbit yang hilang, pemilik akan disambungkan ke peta Google dengan koordinat yang tepat.

Menarik dan berbaloi dengan adanya antikecurian yang disediakan dalam KMS.

Ini bermakna pengguna dan pencuri akan saling berhati-hati sama ada untuk menjaga telefon bimbit atau jika berniat mencuri telefon bimbit kerana pastinya berhadapan dengan hukuman dan undang-undang.

KMS sememangnya direka memenuhi platform telefon bimbit dan secara praktikalnya amat sesuai untuk kedua-dua jenis sistem pemproses, Symbian dan Windows Mobile. Interaksinya amat mudah untuk digunakan, tidak memerlukan ruang penyimpanan yang besar, malahan tidak mengganggu bateri telefon bimbit.

Sama seperti mengendalikan jadual mengimbas virus di komputer, pengguna mudah mengendalikan jadual imbasan mengikut masanya sendiri ataupun secara automatik.

Imbasan ini meliputi semua objek, direktori, sektor dan keseluruhan cakera dan mempunyai pilihan untuk membuang atau kuarantin virus terbabit.

Manakala, hasil tindakan dan imbasan akan disimpan dan dilaporkan dalam log aktiviti.

Pengguna juga digalakkan untuk mengemaskini pangkalan data antivirus termasuk menerusi penyelarasan dengan komputer bagi membolehkan ia mengemaskini program dan bertindak ke atas virus dengan berkesan.

Komponen terbaru seperti ‘parental control’ membolehkan ibu bapa mengehadkan mesej terima dan hantar di telefon bimbit anak-anak bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Ibu bapa juga boleh menggunakan SMS Find untuk mengetahui lokasi anak mereka.

Kita tidak mampu mempertikaikan kebolehan antispam yang dibekalkan menerusi KMS 8.0 ini.

Sistem saringan spam mampu menghalang mesej dan panggilan telefon yang tidak dikenal pasti, malah menyelamatkan pengguna daripada penipuan iklan.

Versi ini membolehkan pengguna membuat penyaringan panggilan dan mesej menerusi mod senarai putih (menerima panggilan dan mesej daripada nombor sedia ada) dan senarai hitam (menerima panggilan dan mesej daripada nombor yang tiada dalam senarai putih).

Fungsi firewall turut dikemas kini antara langkah keselamatan untuk mengelakkan serangan penggodam dan cecacing mobil yang merebak menerusi penyambungan Bluetooth dan Wi-Fi.

Lambakan telefon bimbit pintar bakal menjadi perhatian pengguna hari ini namun kawalan keselamatan dalam telefon yang harus diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kecurian dan kerugian. Tidak salah jika kita berhati-hati sekarang daripada menyesal di kemudian hari.




MUDAHnya merompak duit

Oleh YEO LI SHIAN
ls.yeo@kosmo.com.my

Sedar atau tidak, kemajuan IT bukan hanya sekadar membawa kemudahan maklumat tetapi menjadi kaedah terbaru bagi penyangak maya merompak duit orang. Hanya satu panggilan telefon, sepucuk e-mel atau SMS sudah cukup untuk mengosongkan akaun seseorang.



UNCLE Kok, 53, bukan generasi pengguna teknologi maklumat (IT). Malah, satu-satunya gajet paling kerap digunakannya setiap hari cuma sebuah telefon rumah.

Namun, lelaki yang merupakan seorang pengarang sambilan ini cukup peka dengan perkembangan semasa termasuk risiko ancaman rompakan maya. Meskipun tidak celik IT, Kok sedar risiko tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Suatu hari, Kok menerima panggilan yang memintanya agar memindahkan wang di dalam akaun banknya ke akaun pihak lain.

Alasannya, duit simpanan Kok dalam bank tersebut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. Si pemanggil mendakwa hanya dengan cara pemindahan itu, wang simpanan Kok boleh diperoleh semula.

Kok pada awalnya cukup meragui dakwaan tersebut. Lalu, dia cuba mendapatkan pengesahan daripada si pemanggil yang mendakwa dirinya adalah pegawai bank tersebut.

Setelah mendengar ‘pengesahan’ berkali-kali yang cukup meyakinkan, Kok terus bergegas ke bank. Di kaunter bank, dia telah membuat pemindahan sebanyak tiga kali dengan harapan segalanya akan kembali seperti asal.

Malangnya, selepas pemindahan wang tersebut dibuat, barulah dia sedar betapa dirinya telah diperbodohkan. Pada saat itu, sudah terlewat untuk dia mendapatkan semula wangnya sebanyak kira-kira RM50,000 itu.

Kisah di atas mungkin hanyalah satu contoh klasik betapa mudahnya kita dimanipulasi oleh orang lain. Biarpun tidak memerlukan sebarang gajet canggih sekali pun, maklumat peribadi tetap berisiko terdedah tanpa kita sedari.

Berbeza dengan penggunaan medium teknologi seperti Internet atau rangkaian sosial, mangsa lebih cenderung untuk terpedaya.

Seorang kerani yang hanya mahu dikenali sebagai Zurina, 27, pula pernah berkali-kali menerima surat rasmi menerusi e-mel daripada bank akaun simpanannya. E-mel itu memintanya mengemaskini maklumat peribadi dan tanpa disangka, pendedahan itu telah menyebabkannya kerugian ribuan ringgit.


PENGGODAM atau penyangak maya suka menyasarkan entiti seperti bank. – Gambar hiasan


Pakar IT dalam aspek keselamatan, Muhamad Hazrul Mohamed Hamzah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini berkata, terdapat satu terma yang merujuk pada bentuk manipulasi ini iaitu Kejuruteraan Sosial (Social Engineering).

“Istilah Kejuruteraan Sosial ini mungkin kedengaran baru. Tetapi ia sebenarnya satu seni penipuan sama ada secara bersemuka atau menerusi medium lain seperti Internet dan gajet yang telah berlaku sejak sekian lama.

“Penipuan ini biasanya dilakukan untuk memperoleh maklumat peribadi dan sulit daripada seseorang tanpa kerelaannya,” katanya yang sudah lebih lima tahun berkecimpung dalam aspek keselamatan IT.


MUHAMAD HAZRUL menerangkan bagaimana penyangak maya mengambil kesempatan terhadap pengguna komputer yang naif.


Menurut Muhamad Hazrul, lazimnya sasaran golongan penyangak ini hanyalah satu iaitu untuk mendapatkan akses data dan maklumat secara tidak sah. Trend masa kini lebih menjurus kepada rompakan maya yang tidak berpenghujung.

Memetik contoh penipuan pelanggan-pelanggan bank menerusi e-mel, penyangak akan membuat ‘pertaruhan’ dengan menghantar jutaan e-mel kepada bakal mangsanya.

“Bayangkan, penyangak hanya memerlukan seorang mangsa yang memberi maklumbalas dan itu sudah bermakna tipu helahnya berjaya. Satu lagi, ramai antara generasi IT hari ini, masih memandang remeh lampiran fail-fail dalam e-mel.

“Setiap kali, kita klik pada satu lampiran fail, tidak mustahil ia mengandungi malware yang akan memantau aktiviti perkomputeran dari tempat lain,” jelasnya dengan terperinci.

Pola taipan kekunci akan direkodkan dan membantu penyangak mengenal pasti minat pengguna. Misalnya, pengguna yang kerap menggunakan space bar bererti dia seorang penggemar mainan video.


Dengan hanya berpandu pada ‘pembayang’ ini, penyangak akan mengirim e-mel bertemakan mainan video kepada mangsa.

“Apabila ini berlaku, pengguna perlu berhati-hati sewaktu membuka e-mel. Elakkan daripada mengklik sebarang lampiran kecuali selepas anda mengesahkan ia daripada sumber yang dikenali.

“E-mel bersifat penipuan (phishing) dari bank biasanya menggunakan istilah-istilah umum. Sebagai contoh, kandungan e-mel yang berbunyi Dear Valued Customer ataupun ….. your account is going to be closed merupakan indikasi ia satu penipuan atau spam,” kata seorang lagi pakar IT, Muhammad Shahriman Samsudin.

Masalahnya, rakyat Malaysia terlalu percaya kepada entiti seperti bank sedangkan wujud golongan penyamar yang mendahagakan jalan pintas memperoleh wang.

Muhammad Shahriman turut menasihat pengguna komputer supaya tidak memuat naik terlalu banyak gambar atau maklumat peribadi dalam platform rangkaian sosial.

Platform seperti Facebook, MySpace dan Twitter yang sedang hangat dalam kalangan orang muda khasnya, sangat berisiko tinggi menjadi sasaran penggodam.


MUHAMMAD SHAHRIMAN memberitahu pemacu storan juga perlu diimbas oleh beberapa perisian antivirus sebelum digunakan.


Menggelarkan platform-platform ini sebagai Syurga Informasi Peribadi secara percuma, Muhammad Shahriman memberitahu, penggodam ‘suka memancing di kolam yang banyak ikan’.

“Jangan sangka kalau dalam keadaan komputer yang dipadamkan, penggodam tidak mampu berbuat apa-apa. Sebenarnya, mereka telah lama memantau anda dari jauh.

“Jadi, sentiasa berjaga-jaga dan mengemaskini perisian antivirus. Tidak ketinggalan pemacu storan (thumbdrive) perlu diimbas oleh lebih daripada dua perisian antivirus,” tambahnya.

-kosmo




Hasil lebih jelas

P90 membolehkan rakaman video dibuat manakala skrin LCD sudut berbilang memudahkan gambar dirakam pada saat-saat mencabar.


P90 hadir dengan pemproses imej Expeed yang memastikan kualiti imej adalah jelas dan terserlah warnanya.


NIKON Coolpix P90 ini hadir dengan zoom optikal 24 kali ganda, yang mampu merakam imej pada jarak sedekat satu sentimeter. Menawarkan ciri-ciri seperti kebanyakan kamera Nikon, P90 hadir dengan resolusi 12.1 mega piksel. Resolusi yang tinggi ini menjanjikan rakaman gambar terperinci dengan potongan yang kreatif.

Antara ciri-ciri yang ditawarkan termasuk mega piksel, empat teknologi antikabur, pilihan pemandangan secara auto dan face priority AF yang mampu membuat pengecaman sehingga 12 wajah. Ciri terbaru lain termasuklah mod senyuman, blink warning, quick retouch dan d-Lighting.


Selain itu, P90 juga membolehkan rakaman video dibuat manakala skrin LCD sudut berbilang seluas tiga inci itu pula memudahkan gambar dirakam pada saat-saat mencabar. Tidak terkecuali adalah ciri viewfinder elektronik beresolusi tinggi yang memudahkan pengguna melihat menerusi lensa dalam apa juga keadaan pencahayaan.

Pemproses imej Expeed baru pula membantu pengguna memastikan imej yang dirakam berkualiti tinggi, cukup jelas serta menyerlah warnanya. Penstabil imej VR empat kaedah Nikon menjanjikan rakaman imej yang lebih jelas biarpun dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik.


P90 yang berpiawaian ISO 6400 ini mampu merakamkan kualiti gambar yang jelas, biarpun dalam persekitaran kurang cahaya.


Boleh diperoleh pada warna matte black, ciri pengecaman pergerakan pula secara automatiknya mengecam sebarang subjek yang bergerak. Ia sekali gus menyelaraskan semula kadar kelajuan shutter dan tetapan ISO secara automatik.

P90 yang berpiawaian ISO 6400 ini memberikan hasil yang lebih jelas apabila pengguna merakam gambar dalam persekitaran kurang cahaya atau ketika merakam imej yang pantas bergerak.


HASIL rakaman Nikon Coolpix P90 cukup memuaskan hati.


Mod pemandangan sukan berterusan pula memudahkan pengguna merakam sehingga 45 keping imej pada 15f persaat apabila resolusi dikurangkan kepada tiga mega piksel ke bawah. Ini bermakna gajet ini cukup ideal untuk mereka yang sukakan seni fotografi sukan.

Kamera Nikon P90 ini boleh didapati bersama satu kabel USB, kabel audio dan video, tali serta sebuah perisian khas untuk CD-ROM Coolpix.

-k0smo