Tiada tempat letak lori di pintu masuk KLIA KARGO

Saya tertarik dengan salah satu surat pembaca di BERITA HARIAN :

================================================

PADA 23 Julai lalu, kira-kira jam 2.15 petang, saya pergi ke Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berhampiran Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk urusan menghantar barang menggunakan lori satu tan.

Sebelum memasuki kompleks, saya dikehendaki membuat pas sementara. Di sinilah masalah saya bermula. Pada mulanya, saya meletakkan lori di kawasan letak kereta yang disediakan memandangkan ia kawasan terdekat untuk berjalan kaki menuju ke kaunter membuat pas sementara.

Bagaimanapun, pihak pengurusan kompleks tidak membenarkan kenderaan besar seperti lori diletak di sana (walaupun mungkin dalam masa tidak melebihi 20 minit) untuk urusan membuat pas masuk sementara. Hanya kereta dibenarkan diletak di situ.

Pegawai keselamatan bertugas mengarahkan saya agar memandu keluar lori dan meletakkannya di tepi jalan di kawasan bersebelahan (tempat letak kereta di sebelah Hotel Tune), jika tidak mungkin pas sementara tidak akan dikeluarkan (dan saya tidak dapat masuk ke kawasan kompleks kargo).

Dalam keadaan panas terik, saya terpaksa memandu lori ke kawasan tepi jalan bersebelahan (yang ada simbol dilarang meletak kenderaan di situ), berhampiran Hotel Tune, melintas jalan dan berjalan kaki hampir sejauh 500 meter ke kaunter membuat pas.

Pegawai keselamatan memberitahu secara lisan bahawa tiada saman akan dikeluarkan jika meletak lori di kawasan terbabit. Saya bersyukur kerana dapat menghantar barang itu walaupun terpaksa menempuh kesulitan, yang pada pendapat saya dapat diperbaiki.

Ini memandangkan pihak KLIA Kargo juga berurusan dengan rakyat dari negara luar malah mengenakan bayaran RM10 untuk membuat pas harian (caj ini tidak berlaku di tempat lain seperti Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang).

Di sini saya ada beberapa cadangan kepada pihak pengurusan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan mereka:

  • Wujudkan kawasan letak kenderaan besar (lori, treler) berhampiran kaunter membuat pas sementara. Mungkin pihak pengurusan KLIA boleh mencontohi sistem membuat pas sementara di Pelabuhan Barat;
  • Ada kira-kira 10 kenderaan (mungkin kenderaan kakitangan kompleks kargo KLIA) diletakkan di kawasan yang ada simbol ‘dilarang meletak kenderaan di sini’) berhampiran kaunter pas sementara. Adakah wujud ‘double standard’?; dan
  • Jika lokasi sistem membuat pas sementara di Pelabuhan Barat terlalu jauh untuk dinilai, pihak pengurusan kargo KLIA mungkin boleh mencontohi pihak pengurusan keselamatan MAS (untuk masuk ke kawasan bangunan pentadbiran MAS dan LSG yang terletak kira-kira 2 kilometer dari KLIA Kargo.EAGLE EYE,
    Shah Alam.
  • p/s : Perkara nie rasanya patut diajukan kepada pihak pengurusan MALAYSIA AIRPORTS BERHAD ( MAB )