MAKAN MURAH ibu kota

Restoran yang sinonim dengan angka satu ini terletak di Jalan Medan Tuanku 1, dinamakan Restoran Rakyat 1Malaysia dan sarapan lengkap RM1.



‘SARAPAN lengkap hanya RM1, menu teh tarik 60 sen dan roti canai 40 sen. Promosi setiap hari sepanjang tahun.’ Begitulah bunyi iklan promosi yang tertera pada sebuah banner yang tergantung di hadapan sebuah restoran di ibu kota.

Sekilas membacanya, hati mana yang mudah mempercayai promosi murah yang seakan tidak realistik itu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak stabil dan fenomena kenaikan harga barangan asas.

Tetapi realitinya, memang benar. Restoran yang bertempat di Jalan Medan Tuanku 1, Kuala Lumpur itu menawarkan promosi harga murah untuk hidangan sarapan paginya.

Promosi itu boleh disifatkan sebagai ‘durian runtuh’ untuk warga kota. Manakan tidak, di tengah-tengah bandar raya seperti Kuala Lumpur ini tentunya makanan yang mewah dan mahal lebih sinonim.

Jika di restoran-restoran lain, anda boleh mendapatkan sajian sarapan pagi berupa sekeping roti canai dan segelas teh tarik pada harga RM2, di restoran bernama Restoran Rakyat 1Malaysia itu, anda boleh mendapatkannya pada harga cuma RM1.

Restoran yang diinspirasikan sempena gagasan 1Malaysia itu, diuruskan oleh Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah). Nampaknya, restoran itu memang sinonim dengan angka satu. Ia terletak di Jalan Medan Tunku 1, dinamakan Restoran Rakyat 1Malaysia dan sarapan lengkap RM1!

Dalam satu pertemuan Urban dengan Pengerusi Ukhwah merangkap pengurus restoran, Mustapa Kamal Maulut, beliau berkongsi tentang keistimewaan restoran yang baru beroperasi sejak Julai lalu itu.


SET menu istimewa sarapan pagi habis dijual bagaikan ‘pisang goreng panas’ saban hari.


Membuka bicara, Mustapa memberitahu, pengusaha-pengusaha restoran sebenarnya boleh menerima keuntungan lumayan walaupun mereka mengenakan caj ataupun kadar harga yang rendah.

“Seringkali apabila berlaku kenaikan harga barangan keperluan, pengusaha-pengusaha restoran sudah mula merungut dan mengambil tindakan secara melulu dengan menaikkan harga makanan tanpa mengambil kira kepentingan para pengguna. Walhal, mereka masih boleh mendapat keuntungan dengan menjual makanan pada harga rendah. Kami telah membuktikannya,” katanya yang mengakui menerima keuntungan melalui pendekatan istimewa itu.

Bagi membuktikan hakikat tersebut kepada orang ramai juga, anggota lembaga Koperasi Ukhwah mengambil keputusan membuka restoran itu di kawasan yang menjadi tumpuan warga kota.

Mengenai pemilihan menu roti canai dan teh tarik untuk promosi harga RM1, Mustapa berkata, ia merupakan antara menu wajib yang tersenarai dalam rejim sarapan pagi rakyat Malaysia.

“Tetapi, di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur ini, ia biasanya dijual pada harga yang lebih tinggi. Disebabkan kedua-dua menu tersebut sudah sebati dalam budaya tempatan maka orang ramai sanggup membayar harga mahal untuk menikmati sajian berkenaan. Jadi, dengan promosi harga RM1 bagi set sekeping roti canai dan segelas teh tarik tentunya berita gembira bagi pengguna,” ujar lelaki berusia 47 tahun itu.


HIDANGAN tengah hari yang dijual jauh lebih murah daripada kebanyakan restoran lain.


Menjelaskan lebih lanjut, Mustapa berkata, hakikatnya, bukan sahaja harga murah boleh didapati pada sajian sarapan mereka, bahkan hidangan tengah harinya juga dijual jauh lebih murah daripada restoran-restoran lain. Misalnya, nasi ayam yang menjadi antara menu terlaris di situ dijual pada harga RM3.50.

“Nasi campur, lauk-pauk dan sayur-sayuran, kesemuanya boleh dibeli dalam lingkungan harga RM1 hingga RM4.50 sahaja,” ujar Mustapa sambil memberitahu para pengunjung ditawarkan dengan pencuci mulut seperti cendol tapai pulut, tapai ubi dan lain-lain lagi.

“Apa yang diutamakan di restoran ini adalah kepuasan pelanggan terhadap harga yang dikenakan dan jaminan kualiti makanan serta konsep mesra pelanggan.

“Kalau murah itu bukan bermaksud kualiti termasuk keenakan makanan juga rendah. Roti canai dan teh tarik restoran ini setanding dengan restoran mewah,” jelas lelaki yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu.



Restoran yang dibuka enam hari dalam seminggu iaitu Isnin hingga Sabtu itu beroperasi mulai 7 pagi hingga 12 tengah malam menerima kunjungan yang cukup memberangsangkan sehingga set menu istimewa sarapan pagi habis dijual bagaikan ‘pisang goreng panas’ saban hari.

Pengurus yang mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan restoran itu berkata, setiap hari Jumaat para pengunjung pula diberi keistimewaan untuk mengira sendiri apa yang dimakan dan membuat bayaran berasaskan keikhlasan hati masing-masing.

“Setiap sen dan ringgit yang dibayar itu akan disumbangkan ke dalam Tabung Masyarakat Prihatin yang disediakan di kaunter bayaran. Sumbangan tersebut akan disalur ke rumah-rumah kebajikan yang dikenal pasti oleh pihak Ukhwah di seluruh negara,” katanya yang merancang untuk membuka 10 cawangan baru berkonsep serupa di Lembah Klang.


RESTORAN ini menerima kunjungan orang ramai dengan anggaran kira-kira 1,200 orang setiap hari.


Restoran itu menerima kunjungan orang ramai kira-kira 1,200 orang setiap hari. Sebagaimana namanya Restoran Rakyat 1Malaysia, ia dikunjungi oleh kaum Melayu, Cina dan India.

Dalam kunjungan Urban pada hari itu, para pengunjung kelihatan berpusu-pusu ke restoran itu kerana amat tertarik dengan promosi hebat berkenaan.

Seorang pengunjung, Jaafar Sidek, 37, berkata, pendekatan promosi harga rendah satu idea yang baik.

“Ada banyak kedai makanan di luar sana mengaut keuntungan dengan menetapkan harga yang tinggi untuk makanan. Cara restoran ini menghargai para pengguna perlu dicontohi oleh pengusaha-pengusaha lain,” katanya.

Selain harga makanan, dia juga berpuas hati dengan layanan dan suasana restoran yang mengutamakan kebersihan serta keselesaan para pelanggan.


RESTORAN Rakyat 1Malaysia yang terletak di Jalan Medan Tuanku 1, Kuala Lumpur.


Seorang lagi pengunjung iaitu Siva menon Krishnan Menon, 50, berkata beliau memang menggemari makanan yang disajikan dalam restoran itu.

“Saya yang bekerja di Bukit Aman sanggup berjalan jauh ke sini kerana harga makanan di kedai ini memang murah berbanding tempat lain.

“Apa salahnya menempuh kesesakan lalu lintas semata-mata menikmati hidangan yang lazat, lebih-lebih lagi pada harga murah dan berpatutan,” ujarnya.

Ungku Hanafi Harun, 40, pula memberitahu, dia kebetulan meninjau kawasan tersebut atas urusan kerja bersama rakan-rakannya.

“Apabila melihat promosi itu, mula -mula saya sukar untuk mempercayainya. Tidak sangka, ada juga pengusaha di tengah-tengah kota ini berani menjual makanan pada harga yang serendah itu,” kata lelaki yang berkhidmat sebagai pengarah di salah sebuah firma penerbitan itu.

“Ia memang satu idea yang baik dan patut dicontohi oleh pengusaha kedai makan yang lain,” ujarnya.

-kosmo