![]() |
PELBAGAI model kamera digital dengan fungsi moden dan sofistikated kini semakin banyak ditawarkan di pasaran.
Namun, setiap pengguna tentunya memiliki pilihan mereka tersendiri dalam menentukan jenis kamera yang ingin dibeli mengikut keperluan dan kegunaan.
Menambah pilihan sedia ada, syarikat penyelesaian teknologi pengimejan, Canon Marketing Malaysia Sdn. Bhd. (Canon) telah tampil dengan model terbaru kamera digital kompak, PowerShot SX200 IS.
Mengetengahkan konsep untuk memberi peluang kepada pengguna berkarya secara bebas, model tersebut dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi mudah dan menarik.
Bagi merealisasikan fungsi tersebut, ia dilengkapi dengan pilihan pelbagai mod rakaman seperti automatik, rakaman video, rakaman manual dan juga program untuk pelarasan sendiri fungsi oleh pengguna.
Selain didatangkan dengan resolusi 12.1 megapiksel, model tersebut turut menawarkan prestasi pemfokusan optikal terbaik iaitu 12 kali menerusi keupayaan lensa OIS dengan sudut luas 28 milimeter (mm).
Sesuatu yang unik, model tersebut didatangkan bersama fungsi lampu flash pintar keluar untuk kualiti rakaman terbaik.
Untuk paparan yang lebih luas dan jelas pula, kamera tersebut mempunyai skrin LCD 3.0 inci dengan kejelasan boleh laras selain fungsi penstabilan imej.
Ia juga berkeupayaan merakamkan video berdefinisi tinggi dengan resolusi 1280 x 720 dan boleh dimain semula pada televisyen melalui sambungan slot HDMI.
Sebagai medium storan memori pula, ia menyokong penggunaan kad memori SD, SDHC, MMC dan juga MMC plus.
Dari segi rekaan, model berkenaan didatangkan dalam reka bentuk sedikit melengkung untuk memberi keselesaan kepada pengguna memegangnya ketika merakam gambar.
Ditawarkan dalam pilihan warna biru, merah dan hitam, PowerShot SX200 IS kini boleh diperolehi dengan harga pasaran RM1,680.
-utusanmalaysia
