Nasyid UNDERGROUND – Nada Murni

Assalamualaikum…

Hujan telah turun dengan lebatnya pagi ini… Cuaca pagi ini pastinya sejuk dan nyaman..Dalam suasana sebegini saya tergerak hati nak layan lagu dari kumpulan nasyid underground dahulu – NADAMURNI

Antara lagu yang menjadi kegemaran saya ialah IBU MITHALI….Jom kita perdengarkan….

LIRIK
====

Ibu mithali ibu yang sejati
Kasih sayangmu kasih yang suci
Pengorbananmu disanjung tinggi
Jasamu tetap di sanubari

Ibu oh ibu fitrah ku murni
Kelembutanmu menyentuh hati
Semai kasihmu dalam jiwaku
Kau disayangi kerana menyayangi

Ibu oh ibu hatimu suci
Tulus ikhlasmu mendidik daku
Sanggup bersusah dan menderita
Demi kebahagiaan sekeluarga

Ibu oh ibu kau serikandi
Bakti amalmu tidak terperi
Beramal soleh berperibadi
Mentaati Allah juga suami

p/s : Memang feeling kejap layan lagu nasyid nie….Buat saya teruja nak buka posa this weekend dengan my famili … :)




MAKAN MURAH ibu kota

Restoran yang sinonim dengan angka satu ini terletak di Jalan Medan Tuanku 1, dinamakan Restoran Rakyat 1Malaysia dan sarapan lengkap RM1.



‘SARAPAN lengkap hanya RM1, menu teh tarik 60 sen dan roti canai 40 sen. Promosi setiap hari sepanjang tahun.’ Begitulah bunyi iklan promosi yang tertera pada sebuah banner yang tergantung di hadapan sebuah restoran di ibu kota.

Sekilas membacanya, hati mana yang mudah mempercayai promosi murah yang seakan tidak realistik itu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak stabil dan fenomena kenaikan harga barangan asas.

Tetapi realitinya, memang benar. Restoran yang bertempat di Jalan Medan Tuanku 1, Kuala Lumpur itu menawarkan promosi harga murah untuk hidangan sarapan paginya.

Promosi itu boleh disifatkan sebagai ‘durian runtuh’ untuk warga kota. Manakan tidak, di tengah-tengah bandar raya seperti Kuala Lumpur ini tentunya makanan yang mewah dan mahal lebih sinonim.

Jika di restoran-restoran lain, anda boleh mendapatkan sajian sarapan pagi berupa sekeping roti canai dan segelas teh tarik pada harga RM2, di restoran bernama Restoran Rakyat 1Malaysia itu, anda boleh mendapatkannya pada harga cuma RM1.

Restoran yang diinspirasikan sempena gagasan 1Malaysia itu, diuruskan oleh Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah). Nampaknya, restoran itu memang sinonim dengan angka satu. Ia terletak di Jalan Medan Tunku 1, dinamakan Restoran Rakyat 1Malaysia dan sarapan lengkap RM1!

Dalam satu pertemuan Urban dengan Pengerusi Ukhwah merangkap pengurus restoran, Mustapa Kamal Maulut, beliau berkongsi tentang keistimewaan restoran yang baru beroperasi sejak Julai lalu itu.


SET menu istimewa sarapan pagi habis dijual bagaikan ‘pisang goreng panas’ saban hari.


Membuka bicara, Mustapa memberitahu, pengusaha-pengusaha restoran sebenarnya boleh menerima keuntungan lumayan walaupun mereka mengenakan caj ataupun kadar harga yang rendah.

“Seringkali apabila berlaku kenaikan harga barangan keperluan, pengusaha-pengusaha restoran sudah mula merungut dan mengambil tindakan secara melulu dengan menaikkan harga makanan tanpa mengambil kira kepentingan para pengguna. Walhal, mereka masih boleh mendapat keuntungan dengan menjual makanan pada harga rendah. Kami telah membuktikannya,” katanya yang mengakui menerima keuntungan melalui pendekatan istimewa itu.

Bagi membuktikan hakikat tersebut kepada orang ramai juga, anggota lembaga Koperasi Ukhwah mengambil keputusan membuka restoran itu di kawasan yang menjadi tumpuan warga kota.

Mengenai pemilihan menu roti canai dan teh tarik untuk promosi harga RM1, Mustapa berkata, ia merupakan antara menu wajib yang tersenarai dalam rejim sarapan pagi rakyat Malaysia.

“Tetapi, di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur ini, ia biasanya dijual pada harga yang lebih tinggi. Disebabkan kedua-dua menu tersebut sudah sebati dalam budaya tempatan maka orang ramai sanggup membayar harga mahal untuk menikmati sajian berkenaan. Jadi, dengan promosi harga RM1 bagi set sekeping roti canai dan segelas teh tarik tentunya berita gembira bagi pengguna,” ujar lelaki berusia 47 tahun itu.


HIDANGAN tengah hari yang dijual jauh lebih murah daripada kebanyakan restoran lain.


Menjelaskan lebih lanjut, Mustapa berkata, hakikatnya, bukan sahaja harga murah boleh didapati pada sajian sarapan mereka, bahkan hidangan tengah harinya juga dijual jauh lebih murah daripada restoran-restoran lain. Misalnya, nasi ayam yang menjadi antara menu terlaris di situ dijual pada harga RM3.50.

“Nasi campur, lauk-pauk dan sayur-sayuran, kesemuanya boleh dibeli dalam lingkungan harga RM1 hingga RM4.50 sahaja,” ujar Mustapa sambil memberitahu para pengunjung ditawarkan dengan pencuci mulut seperti cendol tapai pulut, tapai ubi dan lain-lain lagi.

“Apa yang diutamakan di restoran ini adalah kepuasan pelanggan terhadap harga yang dikenakan dan jaminan kualiti makanan serta konsep mesra pelanggan.

“Kalau murah itu bukan bermaksud kualiti termasuk keenakan makanan juga rendah. Roti canai dan teh tarik restoran ini setanding dengan restoran mewah,” jelas lelaki yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu.



Restoran yang dibuka enam hari dalam seminggu iaitu Isnin hingga Sabtu itu beroperasi mulai 7 pagi hingga 12 tengah malam menerima kunjungan yang cukup memberangsangkan sehingga set menu istimewa sarapan pagi habis dijual bagaikan ‘pisang goreng panas’ saban hari.

Pengurus yang mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan restoran itu berkata, setiap hari Jumaat para pengunjung pula diberi keistimewaan untuk mengira sendiri apa yang dimakan dan membuat bayaran berasaskan keikhlasan hati masing-masing.

“Setiap sen dan ringgit yang dibayar itu akan disumbangkan ke dalam Tabung Masyarakat Prihatin yang disediakan di kaunter bayaran. Sumbangan tersebut akan disalur ke rumah-rumah kebajikan yang dikenal pasti oleh pihak Ukhwah di seluruh negara,” katanya yang merancang untuk membuka 10 cawangan baru berkonsep serupa di Lembah Klang.


RESTORAN ini menerima kunjungan orang ramai dengan anggaran kira-kira 1,200 orang setiap hari.


Restoran itu menerima kunjungan orang ramai kira-kira 1,200 orang setiap hari. Sebagaimana namanya Restoran Rakyat 1Malaysia, ia dikunjungi oleh kaum Melayu, Cina dan India.

Dalam kunjungan Urban pada hari itu, para pengunjung kelihatan berpusu-pusu ke restoran itu kerana amat tertarik dengan promosi hebat berkenaan.

Seorang pengunjung, Jaafar Sidek, 37, berkata, pendekatan promosi harga rendah satu idea yang baik.

“Ada banyak kedai makanan di luar sana mengaut keuntungan dengan menetapkan harga yang tinggi untuk makanan. Cara restoran ini menghargai para pengguna perlu dicontohi oleh pengusaha-pengusaha lain,” katanya.

Selain harga makanan, dia juga berpuas hati dengan layanan dan suasana restoran yang mengutamakan kebersihan serta keselesaan para pelanggan.


RESTORAN Rakyat 1Malaysia yang terletak di Jalan Medan Tuanku 1, Kuala Lumpur.


Seorang lagi pengunjung iaitu Siva menon Krishnan Menon, 50, berkata beliau memang menggemari makanan yang disajikan dalam restoran itu.

“Saya yang bekerja di Bukit Aman sanggup berjalan jauh ke sini kerana harga makanan di kedai ini memang murah berbanding tempat lain.

“Apa salahnya menempuh kesesakan lalu lintas semata-mata menikmati hidangan yang lazat, lebih-lebih lagi pada harga murah dan berpatutan,” ujarnya.

Ungku Hanafi Harun, 40, pula memberitahu, dia kebetulan meninjau kawasan tersebut atas urusan kerja bersama rakan-rakannya.

“Apabila melihat promosi itu, mula -mula saya sukar untuk mempercayainya. Tidak sangka, ada juga pengusaha di tengah-tengah kota ini berani menjual makanan pada harga yang serendah itu,” kata lelaki yang berkhidmat sebagai pengarah di salah sebuah firma penerbitan itu.

“Ia memang satu idea yang baik dan patut dicontohi oleh pengusaha kedai makan yang lain,” ujarnya.

-kosmo




Dr. Alice kembalikan dara

Sekali pandang, rupanya seperti baru berumur awal 30-an. Hakikatnya, pakar kosmetik dan estetik, Dr. Alice Prethima, 50, sudah melalui pelbagai rawatan kecantikan dan mahu melakukan banyak lagi perubahan pada fizikalnya.



PAKAR estetik, rawatan kosmetik dan kesihatan holistik, Dr. Alice Prethima Michael, 50, tidak malu untuk mengakui banyak yang ingin beliau lakukan pada fizikal dirinya.

“Kalau boleh saya hendak hilangkan pipi yang tembam ini, dan sebenarnya macam-macam lagi saya hendak lakukan. Tetapi jadual kerja saya amat padat.”

“Tambahan pula, saya belum bertemu dengan sesiapa yang dapat melakukannya untuk saya.

“Buat masa sekarang, cukuplah saya menjaga kesihatan kulit saya,” katanya yang merupakan pengasas Dr. Alice Total Wellness Specialist di Klang, Selangor dan Alice Anti-Aging Clinic di Bangsar, Kuala Lumpur.

Kalau diperhatikan, jelas kelihatan kemulusan pada kulit wajahnya. Bersih, lembut dan cukup tegang untuk menafikan umur Alice yang sebenar.

Namun, percaya atau tidak, Alice yang mempunyai ketinggian 160 sentimeter dengan berat badan 52 kilogram dan pernah mengimpikan jawatan sebagai seorang pramugari itu sebenarnya pernah berasa dirinya ‘hodoh’.

“Selepas melahirkan anak kedua, berat badan saya meningkat sehingga 68 kg iaitu lebih 18 kg berbanding berat asal saya,” ujarnya.

Apa yang mengecewakan Alice ialah program menurunkan berat badan di pusat-pusat kecantikan terkemuka negara tidak menunjukkan hasil.



“Nama pusat itu cukup besar, tetapi teknologinya begitu teruk. Saya menghabiskan sebanyak RM15,000 untuk pakej rawatan tetapi berat badan saya kekal pada 68 kg,” dedahnya.

Sebelum ini, ibu kepada dua orang anak itu juga pernah cuba untuk berlapar semata-mata hendak menurunkan berat badannya.

“Pada waktu itu, saya percaya itulah jalan paling mudah untuk menurunkan berat badan,” katanya yang memenuhkan jadual hariannya dengan bekerja sehingga 48 jam berturut-turut di bahagian ginekologi di sebuah hospital di ibu kota demi mengelakkan masa makan.

Akhirnya, Alice akur pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman yang sesuai dan gaya hidup yang betul merupakan penyelesaian terbaik.

Rentetan daripada siri kekecewaan itu jugalah Alice membuka klinik rawatan kecantikan dengan produknya sendiri.

Dr. Alice Anti-Aging Clinic bagaimanapun hanya menawarkan rawatan kecantikan berbentuk tidak invasif (tidak melibatkan pembedahan) seperti vaginoplasti laser dan vaser liposelection (termasuk mencairkan, menyedut lemak dan menegangkan kulit pada masa yang sama.

“Semua orang ada kecantikan mereka yang tersendiri. Jadi tidak perlulah melakukan ‘perubahan’ yang keterlaluan.

“Rawatan-rawatan kecil (tidak invasif) sudah memadai melainkan apabila rawatan invasif diperlukan, seperti untuk kes kecacatan dan gangguan kesihatan,” katanya yang memiliki Master Certification of Botox, yang hanya dianugerahkan kepada pakar estetik yang berkhidmat melebihi lima tahun.

IBU kepada dua anak teruna yang berumur 17 dan 19 tahun ini masih mampu mengekalkan bentuk tubuhnya.



Apa yang ditawarkan di kliniknya, itulah rawatan yang dilaluinya.

“Saya sama seperti tikus makmal. Sayalah orang pertama yang akan menggunakan apa yang ditawarkan di klinik kami.

“Selain menjaga pemakanan dan bersenam, rawatan seperti Thermage Lifting (untuk mata, muka dan tubuh) sehinggalah kepada pembakaran lemak di bawah kulit, banyak membantu menjadikan usaha saya lebih berkesan,” ujarnya.

Rawatan vagina

Salah satu rawatan kecantikan yang dilihat menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai ialah vaginoplasti laser.

“Masih ramai yang belum mengetahui tentangnya atau ada pihak yang merasakan ia terlalu sensitif untuk dibincangkan,” beritahu beliau.

Menurut Alice, rawatan itu dapat membantu wanita mengatasi situasi seperti kesan jahitan selepas bersalin yang meninggalkan parut yang hodoh, vagina yang longgar atau masalah teknikal seperti bibir luar vagina menggelebeh yang menyebabkan hubungan seksual seorang wanita sesuatu yang menyakitkan.

“Ada juga wanita yang belum berkahwin tetapi mahu ‘mengembalikan’ dara mereka melalui rawatan ini kerana hendak berkahwin.

“Jadi rawatan kecantikan ini sangat peribadi sebenarnya,” dedahnya yang menjadi pelopor untuk terapi keremajaan dan antipenuaan kulit yang menggunakan faktor pengembangan autologous (AGF) yang didatangkan daripada sel darah atau lemak pesakit sendiri melalui rawatan sedut lemak.

Vaginoplasti laser bagaimanapun, hanya dapat mengembalikan ‘efek’ dara dan bukan selaput dara.

Kata orang, pakar kecantikan tentunya orang pertama yang akan menonjolkan sensitiviti terhadap penampilan fizikal.

“Saya sudah lupa bila kali terakhir saya tidak menghiraukan tentang penampilan diri. Bagi saya, sesibuk mana pun, anda sepatutnya mempunyai masa untuk diri sendiri,” ungkap Alice.


SALAH satu klinik kecantikan Alice di Klang, Selangor.


Murah dengan senyuman dan mudah berinteraksi ketika sesi fotografi, Alice tidak pula teragak-agak untuk mendedahkan parut yang terpeta pada dagu, bahu dan sikunya.

“Ramai yang tanya kenapa saya tidak hilangkan parut-parut ini memandangkan saya boleh melakukannya pada bila-bila masa. Apa yang saya boleh katakan, ia mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi bagi saya.

“Saya mahu ia kekal di situ agar saya akan terus mengingati orang tersayang yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya kira-kira 19 tahun yang lalu di mana saya dan anak lelaki saya selamat,” ujarnya yang bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah orang tersayang yang dimaksudkannya itu.




Sentuhan lengkap dan sempurna

Pengguna boleh menentukan operasinya mengikut kehendak.


SETELAH tampil dengan beberapa model telefon bimbit sentuhan intuitif sebelum ini, Samsung terus mengorak langkah cemerlang menerusi pengenalan model terbaru, Samsung Preston S5630.

Dilengkapi dengan skrin sesentuh penuh QVGA 2.8 inci, model tersebut mengaplikasikan antara muka TouchWiz v1.0 yang membenarkan pengguna menentukan sendiri operasinya mengikut kehendak mereka.

Menerusi kelebihan tersebut, pengguna akan dapat mengakses aplikasi kegemaran mereka dengan cara leret dan letak pada skrin utama.

Untuk pengalaman pelayaran Internet terbaik pula, model tersebut dilengkapi dengan sambungan HSDPA 7.2 Mbps selain sensor accelerometer untuk fungsi putaran paparan secara automatik.

Ia turut dibangunkan bersama teknologi Gesture Unlock iaitu untuk memudahkan pengguna membuka kekunci telefon dengan hanya melukis karakter tertentu yang telah dipilih terlebih dahulu pada permukaan skrin menggunakan jari.

Aplikasi keseronokan multimedianya diperkukuhkan dengan kehadiran kamera 3.2 megapiksel bersama fungsi canggih shot senyuman dan juga shot panorama automatik.

Selaras dengan kehendak pengguna yang mahukan saluran permainan muzik tanpa kompromi, model berkenaan didatangkan dengan ciri perkhidmatan pencarian dan pengecaman muzik Shazam.

Menerusinya, pengguna boleh mencari muzik kegemaran mereka secara maya dengan merekodkan muzik tersebut kepada pelayan Shazam.

Selepas itu, pengguna dengan mudahnya akan dapat menjejaki trek lagu berkenaan menggunakan maklumat seperti tajuk lagu, penyanyi atau kulit album.

Kelebihan lainnya, ia menyokong fail multimedia berformat MPEG4 dan WMV yang dapat mengurangkan bunyi bising atau gangguan.

Bagi memastikan storannya mampu menyokong simpanan pelbagai fail pula, Samsung Preston S5630 mempunyai memori binaan dalam 80 megabait (MB) selain slot kad microSD lapan gigabait (GB).

Maklumat dan spesifikasi lengkap mengenainya boleh diperolehi di laman web www.samsung.com.

-utusan




Penyambung legasi tahan lasak

dua buah komputer tahan lasak untuk klinikal (atas) dan industri (bawah).


PANASONIC Malaysia baru-baru ini melancarkan Toughbook terbaru iaitu pembantu klinikal mudah alih tahan lasak Toughbook CF-H1 dan komputer tangan tahan lasak paling kecil dan ringan CF-U1.

Ini bersesuaian dengan keperluan dan permintaan kepada komputer mudah alih tahan lasak bagi kegunaan industri.

Sebelum ini, Panasonic telah memasarkan enam model komputer lasak bagi memenuhi keperluan pelbagai industri seperti petroleum, komunikasi, pembinaan, perkapalan dan perubatan.

Kini kedua-dua Toughbook terkini sebagai penyambung legasi dengan peningkatan keupayaan seperti hayat bateri lebih panjang, penggunaan dua bateri, skrin bebas silau, sambungan tanpa wayar, bersepadu dalam penyelesaian pengkomputeran kompak dan lasak.

Pengurus Besar Penasihat Strategik dan Projek Panasonic Malaysia, Yoshiyiko Tanabe berkata, pelancaran Toughbook terkini merupakan salah satu komitmen syarikatnya menyediakan teknologi pengkomputeran lasak dan mudah alih untuk pengguna dalam semua keadaan dan persekitaran.

“Dengan menggabungkan mudah alih dan saiz yang kecil di dalam cirinya, keupayaan, sambungan dan sistem operasi komputer riba, Toughbook membolehkan pekerja biasa menjadi pekerja berpengetahuan supaya menjadi lebih produktif,” katanya.

Komputer mudah alih Panasonic Toughbook dibina bagi melindungi data dan keupayaan beroperasi dalam keadaan persekitaran pelbagai.

Komputer Toughbook boleh dibawa ke mana saja dan boleh beroperasi dalam persekitaran yang ekstrem dan pengendalian lasak.

Toughbook CF-U1 menggunakan pemprosesan Intel Atom yang paling kecil dan menggunakan kuasa paling rendah.

Komputer lasak ini lebih berkuasa berbanding PDA biasa.

Jangka hayat bateri lebih panjang sehingga sembilan jam dan beroperasi menggunakan dua bateri amat berguna bagi mereka yang bekerja di lapangan seharian.

Diselaputi seluruhnya dengan casis aluminium aloi menjadikannya lebih ringan serta lasak bagi kegunaan industri.

CF-U1 direka khusus bagi memberikan keselesaan kepada pengguna mengikut kesesuaian masing-masing.

Toughbook CF-H1 pula merupakan Pembantu Klinikal Perubatan (MCA) yang direka khusus sebagai memenuhi keperluan profesional dalam industri penjagaan kesihatan dan perubatan.

“Toughbook CF-H1 direka hasil maklum balas kami dengan pakar perubatan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.

Hasilnya CF-H1 boleh meningkatkan produktiviti di kalangan doktor dan jururawat serta membolehkan mereka mengakses rekod pesakit pada masa sebenar.

Yoshiyiko berkata, CF-H1 banyak membantu dalam dunia penjagaan kesihatan di mana populasi warga emas yang meningkat, keperluan penjagaan kesihatan semakin tinggi dan kekurangan jururawat.

Komputer lasak yang ringan dan , ergonomik menjadikannya tahan dengan persekitaran ekstrem.

Jangka hayat bateri yang panjang dan penggunaan dua bateri membolehkannya digunakan sentiasa beroperasi.

Dengan pembaca RFID, kamera auto fokus 2.0 megapiksel dengan lampu LED, pembaca kod bar pembaca kad pintar tanpa sentuh dan pembaca cap jari menjadikan Toughbook CF-H1 MCA lebih selamat dan mudah digunakan.

Bagi pelanggan yang berminat, siri Toughbook kini diedarkan oleh Jardine OneSolution (JOS).

Toughbook CF-U1 boleh didapati pada harga bermula RM11,018 manakala CF-H1 pula pada RM13,428.