Enjin nadi Formula 1


KEBANYAKAN bentuk kereta F1 ditentukan oleh analisis penyaliran dinamik.


TIADA yang lebih mengujakan selain menonton perlumbaan kereta Formula 1 (F1). Setiap musim Grand Prix F1 memperlihatkan semakin ramai peminat perlumbaan kereta yang mendebarkan, menggegarkan gegendang telinga dan berkelajuan tinggi ini.

Kereta F1 amat berbeza dengan kereta beroda empat yang lazim terdapat di atas jalan-jalan persekutuan. Sebaliknya kereta ini amat rendah, dilengkapkan dengan tayar bersaiz besar dan didatangkan dengan seribu satu macam perkakasan elektronik berteknologi tinggi.

Malah, yang lebih penting jentera yang mengambil masa sehingga setahun setengah untuk dibangunkan ini mampu mencecah kosnya sehingga berjuta-juta ringgit.

Kemenangan adalah segalanya dalam F1, tetapi hanya tiga pemandu sahaja yang layak untuk menerima trofi perlumbaan sebagai pemandu yang terpantas. Apakah yang menjadikan para pelumba ini seakan memiliki kuasa luar biasa yang membolehkan mereka menahan pemanduan tiga jam di litar lumba?

Berapa peratuskah faktor kemenangan dipengaruhi oleh aplikasi teknologi dan berapa peratus pula dipengaruhi semangat perlumbaan itu sendiri?

Rahsia teknologiUmum mengetahui teknologi memainkan peranan yang besar dalam satu-satu perlumbaan F1, pasukan yang berlumba tidak akan mendedahkan secara terperinci tentang pergantungan pasukan mereka terhadapnya bagi mengelakkan strategi dibaca oleh pasukan lain. Penyelidikan dan pembangunan F1 merupakan satu contoh aspek penggunaan teknologi.

Setiap pasukan menggunakan teknologi terowong angin bagi melakukan simulasi keadaan perlumbaan, bagi menghasilkan reka bentuk terbaik rangka sesebuah kereta F1.



Sesetengah pasukan turut menggunakan super komputer bagi membantu mereka bentuk enjin terbaru, manakala sesetengah pasukan lain menggunakan pengkomputeran grid bagi tujuan kajian teknikal dan reka bentuk produk.

Kebanyakan bentuk kereta F1 ditentukan oleh analisis pengaliran dinamik. Ia satu proses bagi menentukan bentuk munasabah yang terbaik bagi meminimumkan rintangan udara pada kelajuan tinggi dan memaksimumkan daya turun bagi mengekalkan kereta di atas jalan. Pada masa yang sama cukup ringan bagi memberikan kuasa tujahan maksimum enjin.

Pada kelajuan sehingga 90 meter sesaat, kereta F1 memerlukan reka bentuk yang tahan lasak bagi memberikan kuasa brek yang berkesan bagi mengurangkan kelajuan kenderaan dalam tempoh yang singkat.

Pergantungan teknologi maklumatSalah sebuah pasukan yang banyak bergantung kepada teknologi maklumat ialah pasukan AT&T Williams. Ia mengaplikasikan komputer Lenovo daripada pelbagai peringkat untuk menyokong para jurutera dalam kajian kereta F1, ujian, pembangunan sehinggalah ke peringkat pembuatan.

Ia turut digunakan oleh para pemandu dalam operasi perlumbaan, analisis dan pasukan pengurusan di bahagian pemasaran, logistik, perancangan perlumbaan.

Komputer Lenovo secara puratanya akan memproses lebih daripada tujuh Terabait (TB) data setiap musim, atau lebih daripada satu TB bagi setiap kereta.

Sensor enjinSensor merupakan salah satu elemen terpenting dalam perlumbaan F1. Ia mengesan sesuatu lebih awal bagi membantu pengurus operasi perlumbaan dalam membuat satu-satu keputusan pada masa yang singkat. Ia turut membolehkan sebarang masalah dikesan lebih awal bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

Jentera pasukan Williams contohnya, mempunyai lebih kurang 120 sensor yang memantau prestasi kereta dan perubahan sikap pelumba. Data telemetri ini melibatkan sekitar satu Gigabait (GB) data sejam, dipancarkan menggunakan teknologi AT&T kepada pasukan kejuruteraan di litar lumba dan dimuat turun ke komputer Lenovo pada setiap akhir perlumbaan bagi tujuan post mortem.

Maklumat ini turut disambungkan terus kepada bahagian kejuruteraan di ibu pejabat Williams dan kilang di Grove, Britain.

Enjin nadi F1Prestasi enjin amat kritikal. Semakin berkuasa sesebuah enjin, semakin tinggi peluang untuk sesebuah pasukan untuk menjuarai perlumbaan. Walaupun kebanyakan jenis data F1 yang diambil dirahsiakan, namun aspek seperti penalaan enjin, campuran udara dan bahan api serta bacaan parametrik bagi menghasilkan kuasa maksimum pada masa yang tepat merupakan maklumat yang pastinya diperlukan oleh sesebuah pasukan F1.

Selain memantau prestasi enjin, reka bentuk rangka kereta secara keseluruhannya merupakan satu aspek yang begitu penting termasuk penggunaan superkomputer.

Superkomputer digunakan dalam operasi khususnya untuk Computational Fluid Dynamics (CFD) atau pengkomputeran aliran dinamik. Ia menghasilkan berbilion pengiraan yang memberikan simulasi pengaliran udara di sekeliling model virtual tiga dimensi kereta F1.

Proses ini akan membantu menjangka perubahan kecil pada komponen kereta sekali pun mampu memberikan impak pada tahap rintangan dan daya turun, yang menghasilkan kesan pada kelajuan dan kawalan kereta.

Betapa hebat sekali pun teknologi yang digunakan, pelumba itu sendiri perlu mematuhi arahan dan nasihat yang diberikan oleh pengurus pasukan dan sistem komputer kereta itu sendiri. Ini bagi memastikan mereka terus dapat bersaing di atas litar bagi mengejar gelaran pelumba paling pantas di atas planet ini!

-kosmo