ST500 kamera DUA SKRIN pertama dunia

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
(Yang mengikuti pelancaran kamera Samsung ST550 di Bangkok, Thailand baru-baru ini)


MENERIMA jemputan pelancaran kamera Samsung di Bangkok baru-baru ini sememangnya tidak begitu mengujakan sementelah semasa wabak H1N1 sedang merebak.

Di dalam kotak fikiran apalah sangat yang boleh dilakukan dengan kamera kompak, kalau tidak megapiksel yang semakin tinggi, pengesan senyuman atau kuasa zoom yang semakin bertambah.

Tetapi semua kebimbangan itu ditolak ke tepi sebaik sahaja melihat kamera kompak Samsung ST550 yang pertama seumpamanya di dunia.

Kamera ini menampilkan ciri-ciri yang amat berlainan sekali bagi sebuah kamera selepas Samsung melancarkannya di Bangkok untuk pasaran rantau Asia Pasifik.

Kamera kompak Samsung model terkini ST550 itu memang mengujakan sesiapa yang memandangnya.

Mengambil kira mereka yang gemar merakam gambar sendiri, Samsung menghasilkan kamera dengan dua paparan LCD di bahagian belakang dan di hadapan.

Kajian yang dijalankan menunjukkan ramai pengguna gemar merakam gambar sendiri terutama untuk diletakkan dalam laman rangkaian sosial seperti Facebook.

Jika dilihat sekali imbas, tiada yang menarik dengan kamera Samsung ST550 tetapi dengan satu ketukan lembut di depan sebelah kiri kamera, anda akan dapat melihat skrin depan selebar 1.5 inci.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Asia Pte. Ltd., Yoon-Ho Ha berkata, dengan Samsung ST550 pengguna kini boleh merakam gambar sendiri dengan lebih mudah.

“Ciri dua LCD di depan dan belakang boleh dikatakan yang pertama berada di dunia,” katanya semasa majlis pelancaran kamera Samsung ST550 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Semasa pengguna mengaktifkan skrin depan, shooter akan mengesan wajah dan senyuman secara automatik.

Apabila ST550 diprogramkan pada mod kanak-kanak, LCD di depan akan memainkan animasi comel untuk menceriakan kanak-kanak semasa gambar mereka dirakam.

Paparan LCD di hadapan juga boleh menunjukkan countdown kiraan masa sendiri dan wajah senyuman akan dipaparkan semasa butang sedang ditekan bagi memberitahu masa yang sesuai untuk senyuman.

Di bahagian belakang ST550 terdapat skrin sentuh 3.5 inci dengan resolusi super high (1,152k-dot) berbanding kamera kompak biasa hanya 230k-dots.

Paparan Samsung juga mempunyai tidak balas haptic bagi membolehkan pengguna mempunyai pengesahan fizikal apabila mereka mengetuk skrin bagi mengakses fungsi atau menu tertentu.

Apa yang lebih menarik adalah antara muka pengguna Smart Gesture yang biasanya digunakan dalam telefon mudah alih.

Mengenai spesifikasi pula, kamera ini mempunyai kanta zoom optikal stabil 4.6x dengan kelebaran 27mm kanta Schneider KREUZNACH.

Sama seperti Samsung point-and-shoots, kamera ini dilengkapi dengan Smart Auto yang menganalisis suasana bagi mod dan pendedahan yang sesuai.

“Kini seorang jurugambar amatur boleh menghasilkan gambar setanding dengan jurugambar profesional dengan Smart Auto.

“Samsung Smart Auto akan menganalisis elemen utama seperti warna, kejelasan, pergerakan dan subjek dan secara automatik menghasilkan gambar yang jelas dan cantik,” katanya.

Teknologi Pintar Pengesanan Wajah hasil inovatif Samsung mengingati wajah dan mengutamakan wajah-wajah tadi apabila setiap kali merakam gambar.

Samsung ST550 boleh menyimpan sehingga 20 wajah dalam memori dalaman kamera dan membenarkan pengguna mencari wajah kegemaran dalam mod main semula (playback).

Ini boleh dilakukan dengan cepat menggunakan pencarian ‘Face’ dalam Album Pintar berbanding melihat setiap gambar dalam kad memori.

Blink Mode Detection pula memastikan tiada siapa yang memejamkan mata semasa gambar diambil manakala Smile Mode pula memastikan subjek tersenyum selain terdapat Beauty Shot bagi memastikan tona wajah sekata dan anggun.

Teknologi Dual Image Stabilization menggabungkan penstabilan imej digital dan optikal bagi memastikan gambar yang diambil tidak kabur walaupun dalam cahaya samar.

Jika dilihat kepada cirinya, mungkin kamera ini disasarkan untuk pengguna wanita dan keluarga yang mempunyai anak kecil yang tertarik dengan animasi comel pada skrin 1.5 inci.

“Kami berharap kamera ini akan mendapat tempat di kalangan pengguna memandangkan bentuknya yang nipis hanya 19.1mm,” katanya.

Samsung ST550 boleh didapati dengan warna hitam, emas, jingga dan ungu bulan September ini.

-utusanmalaysia




Pereka Jalur Gemilang disisih

- Walau telah sampai ke angkasa lepas

Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my


SEMASA hayatnya, Mohamed Hamzah merahsiakan beliaulah pencipta Jalur Gemilang, hingga ramai temannya sendiri tidak mengetahui perkara itu.

Hanya selepas kematiannya pada 1993, barulah adik beliau, Abu Bakar Hamzah (gambar), sekarang 73, mendedahkan secara terbuka perihal abangnya itu.

Jalur Gemilang menurutnya, mula dicipta pada 1947 apabila pemerintah masa itu mengadakan pertandingan mereka bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Mohamed yang ketika itu berusia 29 tahun tidak mahu melepaskan peluang keemasan tersebut untuk menonjolkan bakat melukisnya.

Bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya Johor itu memang berbakat dalam bidang seni lukis dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam menyiapkan sesebuah lukisan.

“Saya masih ingat Allahyarham yang tamat persekolahan di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar) mengambil masa dua minggu mereka empat lakaran bendera untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

“Dia tersenyum lebar ketika lakaran bendera diciptanya dipilih dan dipaparkan dalam akhbar-akhbar tempatan,” katanya.


JALUR Gemilang telah dibawa ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) oleh angkasawan negara tahun lalu.


Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993, 14 hari sebelum genap usia 75 tahun di rumah keluarganya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

Allahyarham pernah meminta adiknya Abu Bakar untuk merahsiakan dirinya pencipta Jalur Gemilang dan biarlah masyarakat mengetahuinya sendiri.

Namun setelah meninggal dunia, banyak pihak tidak bertanggungjawab mengaku mencipta Jalur Gemilang membuatkannya tampil bercerita kisah sebenar meskipun memungkiri janji kepada abangnya.

Kini, perkara itu telah terungkai tetapi Abu Bakar masih memendam rasa kecewa berikutan Allahyarham masih belum menerima pengiktirafan sewajarnya.

“Jalur Gemilang sudah sampai ke angkasa lepas malah yang membawanya turut mendapat pengiktirafan tinggi tetapi pencipta bendera bagai dipinggirkan,” katanya.

Ditanya mengenai bangunan terakhir yang direka Allahyarham, Abu Bakar berkata, dia tidak mengingatinya kerana terlalu banyak yang direka bentuk oleh Allahyarham.

Antaranya bangunan Dewan Jubli Intan, Menara Johor. Bagi mengenang jasa abangnya, beliau dan saudara-mara mengadakan kenduri arwah setiap Ogos serta melawat pusaranya di Kebun Teh, Johor Bahru.

Allahyarham mendirikan rumah tangga empat kali dan terakhir bersama Robani Daud. Mereka dikurniakan seorang anak, Mariam serta empat anak angkat; Khadijah, Azizah, Mohd. Ali dan Mohd. Seth.

Bagi Abu Bakar, bendera itu melambangkan kedaulatan negara. Sebab itulah beliau sedih apabila Jalur Gemilang tidak dihormati.

Antara isu menyedihkan termasuklah ia dipasang terbalik, sudah lusuh atau koyak.

“Saya pernah memarahi individu yang sengaja mengibarkan bendera separuh tiang,” katanya.

-kosmo