Kamera tahan lasak

Dengan kemunculan u Tough-6010, anda tidak perlu lagi risau tentang gambar yang kabur serta keselamatan kamera, sekiranya terhempas.


OLYMPUS u Tough turut lasak di dasar laut sedalam tiga meter.


OLYMPUS pernah memenangi pengiktirafan antarabangsa kerana menjadi jenama pertama dalam industri yang memperkenalkan kamera digital kalis air dan kalis beku.

Olympus meneruskan kejayaan selangkah lagi dengan model terbarunya, u Tough-6010 yang menjanjikan kebolehpercayaan dan kualiti tinggi rakaman gambar terutama pada kondisi-kondisi yang kamera biasa tidak mampu melakukan sebaiknya.

Malah, dalam keadaaan yang teruk atau situasi-situasi buruk seperti di puncak Gunung Everest, teknologi Olympus menjamin keputusan yang memuaskan hati para penggunanya.

Ia memberi peluang kepada penggunanya untuk lebih meneroka keseronokan dalam fotografi. Kenyataan bahawa kamera siri u Tough mampu mencipta rekod dengan jualan sebanyak 3.5 juta unit sejak diperkenalkan pada tahun 2006 memungkinkan ia mendapat perhatian.


MENAWARKAN kuasa imej hebat iaitu sebanyak 12 megapiksel serta empat efek penapisan Magic Filter yang mengagumkan.


Terbaru, model u Tough-6010 mewarisi jaminan ketahanan reka bentuk strukturnya seperti model-model terdahulu.

Ia kalis air sehingga pada kedalaman tiga meter, kalis debu untuk menggelak daripada pasir dan kekotoran, kalis gegaran untuk menentang kesan jatuh setinggi 1.5 meter serta kalis beku pada suhu serendah -10 darjah celsius.

Di sebalik ketahanan luarannya yang lasak, kamera digital itu secara keseluruhannya menawarkan kuasa imej hebat iaitu sebanyak 12 megapiksel berserta dengan empat efek penapisan Magic Filter yang mengagumkan.



Empat penapis tersebut adalah penapis POP yang menambah baik warna dengan menukar landskap biasa kepada satu imej yang lebih realiti dan berwarna-warni. PIN HOLE pula mengurangkan masalah kecerahan sampingan seolah-olah seperti anda melihat terus melalui lubang jarum.

Penapis SKETCH mampu mengubah imej yang dilihat oleh mata kasar kepada satu garis lukisan manakala FISH-EYE pula membina perspektif dramatik yang dirakamkan dengan menggunakan kanta.

Selain boleh dilihat pada skrin LCD, efek-efek penapis itu juga boleh dibandingkan dengan menggunakan fungsi Compare Shot.

Skrin paparan LCD The HyperCrystal III menyediakan kecerahan maksimum dan sudut pemerhatian yang luas melebihi 160 darjah.

Ciri triple coating yang melindunginya daripada pantulan, calar dan kelembapan pula meningkatkan keselesaan ketika merakamkan gambar dengan menawarkan pandangan yang lebih baik, meskipun di bawah silau langit cerah atau kegelapan ketika di dalam air.

Sementara itu, panel warna pada bahagian hadapan kamera pula disaluti dengan salutan ubat calar yang boleh memperbaiki kesan-kesan calar kecil. Dengan itu, ia mampu melindungi kamera anda untuk penggunaan yang lebih lama.

Mempunyai zoom optikal sehingga 3.6x, kamera digital itu didatangkan dengan keupayaan lensa sudut lebar 28 milimeter bagi mengambil gambar panorama terutama di dasar laut.



Setiap imej yang diambil mempunyai ciri CCD sekali gus mampu menghasilkan gambar yang cukup mengagumkan. Selain itu, masalah gambar kabur akibat gegaran juga dapat diatasi oleh para pengguna.

Anda juga tidak perlu risau setiap kali ingin menggunakan kamera itu ketika menjalankan aktiviti menyelam. Ini kerana, gambar yang dihasilkan dijangka tidak akan mengecewakan.

Kamera yang mempunyai 12 megapiksel CCD serta enjin pemprosesan imej TruePic yang baru itu didatangkan dengan tiga warna iaitu merah, biru dan kelabu. Ia dijual pada harga RM1,199.

-kosmo




Memilih kamera DSLR

Sebagai pengguna yang mahu bertukar kepada kamera digital SLR (DSLR), anda perlu tahu beberapa perkara.


KAMERA DSLR menawarkan kawalan sepenuhnya ke atas imej yang bakal dihasilkan.


ANDA menghadiri majlis perkahwinan teman rapat anda. Selepas menunggu, kedua mempelai yang diraikan pun tiba. Anda merupakan antara puluhan jurugambar yang sibuk mengambil foto pasangan untuk diabadikan sebagai kenangan hari bersejarah.

Namun, tiba-tiba anda merasa begitu kerdil apabila lensa-lensa yang dihalakan ke arah pengantin merupakan lensa Digital SLR (DSLR). Ditambah pula apabila hasil gambar anda agak kurang memuaskan setelah dimasukkan ke dalam komputer. Jauh di hati kecil anda mula terdetik untuk memiliki kamera DSLR.

Memang tidak dapat dinafikan kualiti yang dihasilkan oleh kamera digital kompak hari ini jauh lebih baik daripada kamera digital era 90-an. Malah saiznya yang kecil memudah ia disimpan di dalam kocek atau disisip di pinggang. Ia cukup sesuai untuk dibawa ketika melancong atau menghadiri majlis-majlis keraian.

Mengapakah kamera DSLR yang saiznya jauh lebih besar (dan kelihatan lebih profesional) dan agak menyukarkan untuk dibawa ke mana-mana masih menjadi pilihan golongan jurufoto profesional?

Golongan ini memilih DSLR kerana ia menawarkan kawalan sepenuhnya terhadap imej yang bakal dihasilkan. Malah, ia turut menawarkan pilihan untuk menukar lensa bagi memenuhi kehendak persekitaran tertentu.

Kebelakangan ini, pasaran kamera digital telah mengubah pandangan umum terhadap kamera yang dahulunya yang mampu dimiliki oleh golongan profesional. Mungkin kerana harganya yang agak tinggi.

Dengan kemasukan model entry-level yang berharga lebih murah berbanding kamera DSLR, ramai rakyat Malaysia mengambil keputusan untuk memiliki kamera yang mampu memberikan mereka kepuasan.

Langkah pengeluar kamera DSLR seperti Nikon dan Canon menawarkan model seperti Nikon D80 dan Canon 40D, yang berharga sekitar 1/3 daripada harga model yang lazimnya digunakan oleh profesional.


PASTIKAN kamera DSLR yang anda pilih berciri mesra pengguna memandangkan anda pengguna pertama.


Apakah ciri-ciri yang wajar diberikan perhatian sebelum membuat keputusan membeli kamera DSLR?

Mesra pengguna

Memiliki kamera DSLR memerlukan kesabaran khususnya dalam memahami fungsi-fungsinya.

Pastikan anda memegang kamera dengan kemas untuk merasai berat sebenarnya. Butang putar shutter dan aperture seharusnya mudah untuk dicapai dengan jari tanpa memerlukan anda mengalihkan pandangan daripada skop pandangan kamera atau viewfinder.

Megapiksel

Resolusi kamera atau megapiksel merupakan ukuran yang menentukan saiz cetakan gambar anda, namun kualiti gambar sebenar terletak pada sensor imej di dalam kamera. Kebanyakan kamera DSLR mempunyai setidak-tidaknya 10 megapiksel.

Anda mungkin mahu memilih jenama yang telah lama berada di pasaran kerana selain sudah terbukti keunggulan kualitinya. Selain itu, maklum balas positif dari pada golongan profesional terhadap binaan sensor turut menguatkan lagi penjenamaan sesebuah kamera itu.

Skrin LCD

Skrin LCD membolehkan kita melihat hasil kerja kita selepas memetik butang shutter. Ketika awal era DSLR, skrin LCD yang terdapat pada kamera agak kecil dan menyukarkan untuk melihat gambar yang diambil.

Hari ini, skrin LCD bersaiz sehingga tiga inci memudahkan kita melihat sebarang kecacatan pada gambar yang diambil.

Terdapat beberapa model DSLR yang menawarkan ciri live view – satu ciri yang tidak terdapat pada kamera DSLR sebelum ini. Ciri yang sama dengan skrin pada kamera digital kompak ini membolehkan kita mengambil gambar dari sudut yang sukar, tetapi pada masa yang sama memastikan subjek yang ingin diambil tidak keluar fokus. Ada juga skrin LCD yang boleh dipusingkan bagi membolehkan kita melihat subjek walaupun berada dalam sudut yang mustahil diambil oleh kamera DSLR lain.

Variasi lensa

Satu kelebihan DSLR ialah pengguna boleh menukar lensanya dengan jenis lensa lain bagi memenuhi keperluan persekitaran.

Misalnya, peminat fotografi sukan boleh menukar kepada lensa telefoto, manakala jurugambar majlis perkahwinan menggunakan lensa wide bagi mengambil sanak-saudara mempelai.

Luangkan sedikit masa melawat laman web pengeluar lensa pihak ketiga yang menawarkan harga yang lebih rendah berbanding lensa yang dihasilkan oleh pengeluar badan kamera itu sendiri.

Semak dengan pengeluar seperti Tamron, Tokina dan Sigma sama ada mereka mempunyai pilihan lensa untuk model kamera yang anda ingin miliki.

-kosmo




18 SMS sehari

Apakah penemuan lain yang diperoleh berhubung tabiat penggunaan sms di kalangan remaja Malaysia berbanding negara lain di Asia?


TELEFON bimbit sering menjadi medium utama untuk menyampaikan maklumat.


TAHAP penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) di kalangan remaja negara agak tinggi berbanding belia di beberapa negara Asia lain.

Demikian kajian terbaru didedahkan Pengarah Urusan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Asia Pasifik Telenor (TRICAP), Jens Olav Bjornson kepada Kosmo! di Cyberjaya, baru-baru ini.

Kajian syarikat pengendali perkhidmatan mudah alih dari Norway itu mendapati, remaja Malaysia menghantar kira-kira 18 SMS sehari berbanding remaja di negara-negara Asia lain di mana Telenor beroperasi iaitu Thailand (3), Bangladesh kurang daripada 5 dan Pakistan (6).

Kajian tersebut mendedahkan secara lebih mendalam tabiat penggunaan SMS remaja Malaysia berasaskan tinjauan membabitkan 1,718 responden negara ini yang berusia antara 15 hingga 29 tahun. Selain tabiat penggunaan SMS, ia juga mengkaji penggunaan telefon bimbit itu sendiri dan Internet.

“Berasaskan penyelidikan ini juga jelas menunjukkan bahawa telefon bimbit digunakan sebagai alat untuk mendapatkan maklumat terkini serta merta mengenai peristiwa penting. Justeru, ia dianggap sebagai peranti mudah alih yang paling penting dan serba guna oleh semua responden, tanpa mengira lokasi mahu pun jantina,” katanya.

KAJIAN mendapati remaja lelaki Malaysia juga gemar berSMS.



Ketua Penyelidikan Pasaran dan Pandangan Pelanggan TRICAP, Sheena Lim berkata, majoriti responden menganggap SMS merupakan cara paling mudah untuk berhubung dengan seseorang.

“Justeru, SMS biasanya digunakan untuk menjawab pesanan yang diterima atau memulakan perbualan, bersembang dan menyelaraskan perkara kecil. Telefon bimbit juga menjadi penyimpan rangkaian sosial yang penting. Ini termasuklah maklumat tentang rakan, ahli keluarga dan kenalan lain. Secara purata, responden mempunyai seramai 100 kenalan dalam buku alamat telefon,” katanya.

Kajian juga mendapati penggunaan SMS di kalangan remaja perempuan dan lelaki di negara ini adalah hampir sama dan tidak mempunyai perbezaan yang ketara.

“Ia agak mengejutkan sebab pada jangkaan saya, perempuan jauh lebih banyak menggunakan SMS berbanding lelaki,” katanya.

Tambah Lim lagi, secara umumnya lebih daripada 50 peratus responden gemar mengirim SMS kepada kawan-kawan karib mereka dan individu yang diketahui berumur dalam lingkungan 20-an.

“Kebanyakan mereka membuat panggilan hanya jika mahu menghubungi ibu bapa dan individu yang lebih tua. Hanya lima peratus yang mengirim SMS kepada ibu bapa dan 12 peratus yang mengirim SMS kepada individu berusia 40-an. Selebihnya lebih suka membuat panggilan.

“Ini mungkin kerana budaya menghormati mereka yang lebih tua atau memikirkan mereka yang lebih tua lebih senang menerima panggilan berbanding mengendalikan SMS,” katanya.



Bagi penyelarasan seperti penukaran temu janji, 32 peratus lebih gemar menggunakan SMS, 58 peratus lebih suka membuat panggilan sementara 10 peratus daripada responden tidak diketahui.

“Untuk memberitahu terlewat 40 peratus memilih SMS manakala selebihnya memilih membuat panggilan,” katanya.

Kajian juga mendapati, kebanyakan responden memilih menggunakan SMS untuk memulakan perkenalan atau menyatakan perasaan diri yang sebenar kerana tidak selesa melakukannya secara bersemuka.

“Sebanyak 44 peratus responden menggunakan SMS dan 39 peratus menggunakan pesanan suara untuk tujuan itu. Hanya 17 peratus yang berani bersemuka.

“Mungkin mereka SMS kerana mahu menguji tahap penerimaan orang tersebut terlebih dahulu atau mereka tidak cukup yakin,” tambah Lim.

Selain SMS, kajian berhubung rangkaian sosial turut mendapati, remaja di negara ini cenderung untuk menyertai sesuatu rangkaian sosial tertentu seperti Friendster dan Facebook kerana mempunyai perasaan memiliki (sense of belonging) yang kuat.

“Mereka takut kehilangan kawan-kawan. Mereka mahu sentiasa berada di tempat sahabat mereka berada. Selain itu, ada juga yang menyertainya kerana desakan kawan. Remaja perempuan lebih agresif dalam hal ini,” kata Sheena.

“Antara sebab pengguna menjadi aktif dalam komuniti tersebut kerana interaksi dan pendedahan sosial. Bagi belia Malaysia yang cenderung terperap di rumah, laman rangkaian sosial memberi mereka ruang untuk bersosial dari rumah,” ujarnya.

Terdapat juga satu fenomena baru apabila remaja kini memulakan perbualan dengan bertanya tentang rangkaian sosial yang disertai, menggantikan apa nombor telefon anda?

PENGLIBATAN dengan rangkaian sosial turut didorong oleh sifat pemilikan yang kuat.



Lim turut memberitahu, terdapat kesedaran yang semakin meningkat terhadap blog di kalangan rakyat Malaysia.

“Walaupun hanya segelintir responden mempunyai laman blog mereka sendiri, 34 peratus mengunjungi laman blog orang lain dan daripada jumlah itu, satu perlima memberikan ulasan,” ujarnya.

Berhubung tinjauan ini, secara keseluruhannya ia bertujuan untuk meningkatkan pemahaman Telenor tentang pasaran operasinya di Asia. Dengan maklumat dan pemahaman berasaskan tinjauan ini, memastikan mereka membangunkan perkhidmatan baru yang menarik dan menyediakan pengalaman unggul kepada pelanggannya.

Sebagai pembekal perkhidmatan mudah alih paling pantas berkembang, kumpulan Telenor mempunyai 153 pelanggan di 12 negara. Ia merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih bukan Asia terbesar dengan lebih 60 juta pelanggan di Asia menerusi operasinya di Malaysia, Thailand, Pakistan dan Bangladesh.

-kosmo




Bayar FITRAH guna e-ZAKAT PAY

E-Zakat Pay
Kaedah terkini pembayaran zakat melalui www.e-zakat.com.my

E-Zakat Pay

Apa itu E-Zakat Pay ?

E-Zakat-Pay merupakan satu kaedah pembayaran zakat secara online di www.e-zakat,com.my. Ia merupakan satu platform transaksi kewangan secara ONLINE yang menghubungkan antara bank-bank dalam urusan pembayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Apakah Bank yang boleh membuat bayaran melalui E-Zakat Pay ini ?

Pada masa ini terdapat sebanyak 6 buah bank-bank utama di Malaysia yang boleh menerima pembayaran iaitu Bumiputra-Commerce Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, Public Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Bhd, Hong Leong Bank Bhd dan Deutsche Bank AG.

Bagaimana Transaksi Dilakukan ?

Bagi pembayaran zakat, pembayar hanya perlu melayari portal e-zakat di www.e-zakat.com.my dan klik pada pembayaran E-Zakat Pay untuk membayar zakat. Pembayar perlulah mempunyai akaun terlebih dahulu di bank-bank yang terlibat sebelum boleh meneruskan pembayaran. Ikuti langkah-langkah yang diberikan. Itu sahaja, dan pembayaran zakat telah selesai dilakukan.

Adakah ianya selamat?

Ya, proses perjalanan komunikasi (communication flow) antara pengguna-fpx-bank akan dihantar pada sesi 128 Bit SSL. Ini bermakna, keseluruhan maklumat pembayaran sesebuah transaksi akan di encrypted terlebih dahulu. Oleh itu semua maklumat yang dihantar adalah selamat seperti membuat pembayaran di website bank tersebut. Pengguna juga perlu disahkan di platform internet banking untuk semua maklumat transaksi yang dilakukan.

Selain itu juga, kesemua pembayaran akan dilakukan dalam real time online iaitu proses debit daripada bank pembayar kepada akaun pembayar akan dijalankan pada masa itu juga dan proses pengeluaran resit bayaran zakat akan dilakukan dalam tempoh 14 hari bekerja.

Adakah pembayar perlu mendaftar dan membayar sebelum boleh membuat bayaran di E-Zakat Pay?

Tidak, pembayar tidak perlu mendaftar ataupun membayar untuk membuat bayaran. Pembayar hanya perlu mempunyai akaun bank,mempunyai ID dan Password dan boleh membuat pembayaran secara online di bank tersebut.

Adakah pembayar perlu melakukan pemasangan perkakasan untuk membuat sebarang bayaran zakat?

Tidak perlu, pengguna tidak perlu memasang apa jua bentuk perkakasan untuk menggunakan sistem ini. Walaubagaimanapun, pihak MEPS akan menyediakan pihak merchant (Lembaga Zakat Selangor) dengan “Seller plug-in” iaitu satu perisian keselamatan yang akan letakkan di dalam portal LZS (MAIS) bagi menjamin keselamatan pembayaran yang dilakukan.

Adakah pembayar akan di kenakan bayaran tambahan jika membayar menggunakan E-Zakat Pay?

Tidak, pembayar tidak dikenakan sebarang cas tambahan sekiranya membuat bayaran zakat menggunakan kaedah ini, akan tetapi terdapat had minimum iaitu RM 10 bagi setiap pembayaran melalui kaedah ini.

p/s : maklumat lanjut sila layari http://e-zakat.com.my