iCom yang kelihatan seperti pemain MP3 kecil ini menjadi peranti pemangkin kepada pendengaran yang lebih baik.

BAGI mereka yang mengalami masalah pendengaran, kemunculan peranti bantuan pendengaran berkuasa Bluetooth terbaru, iCom ibarat membawa sinar keyakinan.
Bertindak sebagai pemangkin untuk pendengaran yang lebih baik, ia berfungsi sebagai penerima signal audio atau perantara instrumen pendengaran dengan gajet-gajet elektronik.
Ia bersifat versatil apabila boleh digunakan bersama lima jenis instrumen pendengaran popular seperti Audeo YES, Versata, Certana, Exelia dan Naida.
iCom berhubung secara tanpa wayar ke telefon bimbit dan menghantar segala alamat audio ke instrumen-instrumen pendengaran berkenaan. Ia menghilangkan segala kesulitan dan yang penting, ia memang nampak cool!

Meletakkannya ke satu tahap yang lebih tinggi, iCom juga menerima signal audio dari televisyen, pemain MP3, sistem GPS, kelengkapan stereo, komputer dan apa juga peranti berkeupayaan Bluetooth sehingga pada jarak 10 meter.
Adaptor berasingan turut boleh didapati untuk menghubungkan iCom ke gajet tanpa keupayaan Bluetooth.
iCom menerima teknologi FM Phonak yang memperbaiki mutu pendengaran walaupun ketika berlatar belakangkan suasana bising, bergema atau pada jarak yang jauh. Sistem komunikasi FM wayarlesnya pula mengandungi trasmitter dan penerima.
Apabila didekatkan dengan sumber bunyi seperti televisyen atau radio, transmitter akan memindahkan bunyi menerusi gelombang radio FM ke penerima yang disambung pada iCom. Transmitter FM juga boleh disambung terus ke peranti-peranti audio. Signalnya akan membolehkan pengguna mendengar dengan lebih jelas di kedua-dua telinga menerusi iCom.
“iCom kelihatan cool. Ia seperti kita melihat sebuah pemain MP3 yang kecil. Seseorang tidak akan sedar bahawa dia memakainya,” kata Pengarah Urusan Clarisound, Kieran McCarry.

iCom mudah untuk dioperasikan. Ia mempunyai bateri dalaman dan boleh dicas semula. Ia juga didatangkan dengan sebuah kabel cas USB mini. iCom didatangkan dengan gelung leher yang mengandungi antena bina dalam yang menghubungkan iCom dengan instrumen-instrumen pendengaran.
Berharga RM1,420, iCom boleh didapati di Clarisound Professional Hearing Care. Pusat itu menjual pelbagai instrumen dan peranti untuk bantuan pendengaran yang direka khusus untuk meningkatkan kualiti hidup pelanggannya.
Kini, mereka yang mempunyai masalah pendengaran dapat berkomunikasi dengan lebih baik, mengeratkan hubungan dan memperoleh keyakinan.
Untuk informasi lanjut, hubungi Clarisound atau kunjungi laman www.clarisound.com atau www.phonak.com.
-kosmo







