Info KESIHATAN

Ejakulasi pramatang

LAMAN Men Health Centre menafikan beberapa kenyataan yang menyatakan ejakulasi pramatang atau sebelum pasangan mencapai kemuncak disebabkan lelaki itu berada pada awal perhubungan intim, terangsang berlebihan, mempunyai masalah seksual atau mereka yang sudah lama tidak melakukan hubungan seksual.


MASIH banyak faktor perlu dikaji dalam mendorong berlakunya ejakulasi pramatang.


Sebaliknya, laman itu mencadangkan ia berlaku disebabkan otot hiperaktif di sekeliling zakar yang sudah bersedia untuk ejakulasi pada awal sesuatu perhubungan.

Dalam keadaan itu, zakar dikatakan menjadi lebih sensitif terhadap sebarang getaran.

Keadaan ini juga dikatakan turut berpunca daripada kurangnya kandungan serotonin di dalam otak.

75 peratus mati kerana tidak jalani mamogram

WANITA yang tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram dijangka lebih cenderung untuk mati akibat kanser payu dara. Kajian itu mengatakan 75 peratus daripada wanita yang mati akibat kanser payu dara terlibat dalam kajian itu tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram.

MAMOGRAM menjadi langkah awal bagi wanita dalam usaha mengelak daripada kanser payu dara.



“Cara yang paling berkesan untuk wanita mengelak daripada mati akibat kanser payu dara ialah dengan menjalani pemeriksaan mamogram dengan kerap,” tegas Dr. Blake Cady dari Pusat Payu Dara Hospital Cambridge dan Sekolah Perubatan Harvard di Massachusetts, Amerika Syarikat.

“Wanita yang menjalani program pemeriksaan hanya berisiko untuk mati sehingga 4.7 peratus sedangkan wanita yang tidak menjalani pemeriksaan mencecah sehingga 56 peratus,” tambahnya.

Bayi tidak cukup bulan semakin banyak

KAJIAN bersama March of Dimes dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bilangan kelahiran bayi pramatang paling banyak berlaku di Asia, Afrika dan diikuti oleh Amerika Utara.



Sehingga kini, bilangan kelahiran bayi pramatang yang direkodkan di seluruh dunia mencecah 13 juta. Pakar perubatan bagaimanapun berpendapat angka sebenar kelahiran pramatang jauh lebih tinggi dan jumlah itu hanya 1 daripada 10 jumlah sebenar.

Malah mereka berkata, angka itu akan terus meningkat melihatkan gaya hidup masyarakat hari ini, termasuklah menghisap rokok, penjagaan sebelum kelahiran yang tidak baik, tekanan fizikal dan kelahiran secara cesarean yang semakin kerap dilakukan.

Memahami kesan sampingan

SYARIKAT farmaseutikal, Pfizer, melaporkan adalah mustahil bagi ubat yang sempurna tanpa sebarang kesan sampingan dihasilkan.

SETIAP ubat-ubatan dan rawatan mempunyai kesan sampingan tertentu dan ia amat penting difahami oleh pesakit.



Malah Hospital Kanak-Kanan Boston, juga merekodkan bilangan kes kesan sampingan ubat ke atas kanak-kanak yang membimbangkan.

Di antara tahun 1995 hingga 2005, sejumlah 585,922 kejadian yang melibatkan kesan sampingan ubat terjadi setiap tahun bagi kalangan kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah.

Walaupun kebanyakan daripada mereka mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik, 22 peratus daripada mereka terpaksa dikejarkan ke bilik kecemasan hospital. Penemuan itu dilaporkan dalam jurnal Pediatrics.

-kosmo