Ramalan gajet 2010

Apakah gajet atau teknologi yang dijangka meraih perhatian dunia pada tahun depan?


TELEFON 4G dikatakan mempunyai keupayaan menghantar dan menerima data pada kelajuan yang belum pernah dirasai sebelum ini. Ia dikatakan mampu mencapai kelajuan lebih daripada 10Mbps dengan purata kelajuan di antara 3 hingga 6Mbps.


SYARIKAT yang berteraskan teknologi hari ini tidak boleh lagi bergantung kepada kejayaan semalam. Pilihan yang ada cuma dua, sama ada tenggelam atau meneruskan renangan dalam dunia teknologi yang bergerak pantas. Produk baru untuk tahun baru harus sentiasa dititikberatkan.

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum kita memasuki tahun 2010. Ada antara teknologi yang sedang dibangunkan diharap dapat dipasarkan sebelum penghujung 2010. Ambil contoh teknologi kamera digital pintar yang sedang dibangunkan oleh Hewlett-Packard. Ia dikatakan mampu membuat terjemahan imej yang diambil kepada beberapa bahasa.

Telefon Motorola

Ciri ini amat berguna untuk mereka yang sering ke luar negara. Jika bahasa yang digunakan pada papan tanda jalan tidak difahami, anda cuma perlu menghalakan lensa kamera ke arah papan tanda tersebut dan menekan butang alih bahasa. Kemudian kamera tersebut akan memberitahu mesej yang tertulis kepada bahasa yang kita fahami.

Telefon bimbit yang bukan sekadar berfungsi sebagai telefon sahaja diramal akan semakin bertambah menjelang 2010. Motorola dilapor bakal mengeluarkan telefon bimbit yang mampu memberikan pengalaman seumpama teater rumah dengan sistem bunyi surround. Telefon tersebut dikatakan mampu memuat turun video berdefinisi tinggi. Selain dilengkapi dengan projektor mikro membolehkan tayangan filem dipaparkan pada permukaan rata.

Sungguhpun ramai yang mungkin mempersoalkan yang komputer riba dengan dua skrin LCD tidak begitu praktikal, namun tidak dapat dinafikan kekemasan dan reka bentuk komputer riba Canova dari V12 Designs. Meskipun komputer riba dengan ciri skrin sentuhan sudah terdapat di pasaran, tetapi komputer riba dwiskrin dengan fungsi skrin sesentuh pastinya akan menjadi peneraju gajet masa hadapan.


KOMPUTER riba dengan dua skrin LCD yang dibangunkan oleh Valerio Cometti.


V12 Designs merupakan sebuah firma reka bentuk industri Itali dan diasaskan oleh Valerio Cometti yang dilapor sedang membangunkan komputer riba dwiskrin sejak empat tahun yang lalu. Rekaan itu dikatakan menyokong input pelbagai sentuhan dan perisian papan kekunci, membolehkan papan kekunci dipaparkan pada skrin. Cometti kini sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat untuk bersama-sama membangunkan dan sekali gus memasarkan komputer riba tersebut.

Khabar angin berkisar tentang Projek Microsoft Pink telah tersebar luas di Internet dan dikatakan bakal muncul sekitar 2010. Ia didakwa sebagai kod nama untuk telefon Zune yang dipercayai bakal memasuki pasaran penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Telefon yang bakal membawa jenama Microsoft dan bercirikan perkhidmatan telefon bimbit premium itu seperti kedai video Zune serta menawarkan langganan dan jualan muzik. Malah, telefon itu juga mempunyai ciri sentuhan skrin untuk menjadi pesaing iPhone.

Microsoft 2010

Telefon generasi keempat (4G) pula dijangka menemui pengguna bagi menggantikan telefon 3G yang telah berada di pasaran sejak beberapa tahun lalu. Telefon 4G dikatakan mempunyai keupayaan menghantar dan menerima data pada kelajuan yang belum pernah dirasai sebelum ini. Ia dikatakan mampu mencapai kelajuan lebih daripada 10Mbps dengan purata kelajuan di antara 3 hingga 6Mbps.

Perisian Microsoft Office juga dijangka bakal memperkenalkan pengganti Office 2007 pada tahun hadapan, Microsoft 2010. Menurut Microsoft, ciri tambahan yang terdapat pada aplikasi pejabat terbaru itu adalah untuk membolehkan tugasan dibuat dengan lebih efisen. Ia menggunakan aplikasi web yang membolehkan tugasan boleh diakses di mana-mana selain untuk membuat gabungan kerja menjadi lebih mudah.

Lebih menarik lagi, Office 2010 juga bakal diperkenalkan seiring dengan versi online untuk aplikasi Word, Excel, PowerPoint dan OneNote. Ia juga sesuai digunakan dengan pelayar web Internet Explorer, Firefox dan Safari, menjadikannya boleh digunakan dari mana-mana komputer yang mempunyai capaian Internet.

-kosmo




Rakyat Malaysia belanja RM15j sehari untuk rokok

WALAUPUN penggunaan tembakau di negara maju sudah berkurangan, keadaan sebaliknya berlaku di negara membangun. Contoh di Malaysia apabila statistik menunjukkan ketagihan merokok di kalangan rakyatnya yang berumur 15 tahun dan ke atas terus meningkat daripada 21 peratus pada 1985 kepada 31 peratus pada 2000.

Persatuan Perubatan Malaysia bertajuk “Action on Smoking and Health” melaporkan terdapat kira-kira 3.5 juta perokok di negara ini. Separuh daripada mereka menghisap rokok hampir 10 batang sehari.

Laporan itu juga menganggarkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM15 juta sehari untuk rokok dan dalam masa setahun, mencecah sehingga RM6 bilion.

Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok sendiri, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia.

Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan merokok dan penagihan tembakau yang lain bertanggungjawab terhadap satu kematian dalam setiap 10 orang dewasa di seluruh dunia – kira-kira 5 juta kematian setahun.

Selain memberi kesan kepada kesihatan perokok individu, tabiat merokok juga boleh memberi kesan negatif kepada generasi akan datang. Antara contoh yang perlu diberi perhatian adalah seperti di bawah:

  • Satu kajian yang dijalankan di kalangan 5,000 lelaki Cina menunjukkan bahawa 60 peratus daripada mereka yang merokok lebih daripada sekotak sehari berkemungkinan mengalami disfungsi ereksi atau ‘mati pucuk’ berbanding mereka yang tidak pernah merokok.
  • Wanita yang merokok lebih berkemungkinan mengalami kesukaran untuk mengandung, komplikasi ketika hamil dan risiko keguguran yang lebih tinggi.
  • Satu kajian dijalankan di Pusat Biologi Perinatal di California menemui bukti bahawa wanita yang terus merokok ketika hamil memberi kesan negatif pada jantung janin.
  • Menurut kajian yang dijalankan di Finland mendapati asap daripada rokok boleh merosakkan fungsi arteri kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam jurnal Persatuan Jantung Amerika, Circulation, membabitkan 400 kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun. Selain itu, asap daripada rokok juga menyebabkan masalah jangkitan saluran pernafasan dan masalah telinga. Serangan penyakit itu lebih teruk dan kerap di kalangan kanak-kanak yang menghidap asma. Semua ini menunjukkan kesan rokok bukan terbatas kepada generasi semasa, tetapi harus ditanggung oleh generasi yang akan datang. Malah, WHO menganggarkan bahawa ketagihan tembakau akan membunuh kira-kira 10 juta orang setahun menjelang 2020, dengan 70 peratus kematian berlaku di negara membangun.

    Sungguhpun pelbagai usaha dilakukan di seluruh negara oleh kerajaan dan pakar penjagaan kesihatan profesional, ketagihan tembakau (sebahagian besarnya dalam bentuk rokok) di negara ini tetap pada angka yang membimbangkan.

    Memang tidak dapat dinafikan amat sukar bagi kebanyakan orang untuk berhenti merokok kerana ia bukan ketagihan fizikal semata-mata. Walaupun nikotin adalah punca utama ketagihan rokok, tabiat menghisap rokok juga satu ritual atau amalan psikologi dan emosi bagi kebanyakan perokok.

    Namun, ada cara yang berkesan untuk membantu perokok menghentikan tabiat merokok. Ia dengan menggabungkan rawatan seperti terapi penggantian nikotin (NRT)dan perubahan gaya hidup. Apa yang utama kesungguhan dan keazaman untuk berhenti merokok. Untuk maklumat lanjut mengenai usaha menghentikan tabiat merokok, sila ke laman web www.iwanttoquitsmoking.com.my

    -BHARIAN
    -Artikel ini adalah inisiatif kesihatan masyarakat yang disokong oleh Johnson & Johnson.