Gaji pakar IT tidak setimpal

Pekerja urus data sensitif bernilai jutaan ringgit lompat kerja

KEBANYAKAN syarikat di Malaysia memandang rendah potensi pakar keselamatan teknologi maklumat (IT) dengan menawarkan gaji yang tidak setimpal dengan tugas mereka.

“Mereka (syarikat) tidak menganggap pakar keselamatan IT sebagai aset yang mengawal keselamatan berbilion data bernilai jutaan ringgit berbanding syarikat di luar negara,” kata Pengarah Urusan HITB Jobs, David Michaux yang juga pemilik sidang keselamatan IT terbesar di Asia dan Timur Tengah, HITBSecConf.

Katanya, pakar keselamatan IT di negara ini dibayar berkali ganda lebih murah berbanding tenaga kerja sama di Timur Tengah dan ia sebenarnya tidak menepati standard global.

“Kita tidak mahu melihat Malaysia kehilangan pakar keselamatan IT berpotensi yang terpaksa berhijrah ke Timur Tengah kerana bayarannya lebih lumayan dan berbaloi,” katanya.

Menurut Michaux, faktor kesetiaan amat penting ketika membicarakan soal keselamatan IT kerana syarikat pastinya tidak mahu kehilangan tenaga kerja yang menguruskan pelbagai data sulit.

“Terdapat situasi di Malaysia menyaksikan pakar keselamatan IT melompat dari satu syarikat ke syarikat lain hanya kerana kenaikan gaji RM200 hingga RM300.

“Sedangkan individu terbabit mempunyai maklumat bernilai berbilion ringgit ketika mengawal sistem keselamatan di syarikat sebelumnya, malah mengetahui selok-belok dengan terperinci,” katanya.

Beliau berkata, negara luar mementingkan kesetiaan sebagai faktor utama sehingga sanggup menawarkan gaji lumayan untuk mengekalkan staf keselamatan IT.

“Syarikat juga perlu meneliti keupayaan pakar keselamatan IT terbabit dan bukan melihat kepada biodata permohonan kerja semata-mata,” katanya.

Baru-baru ini, HITB Jobs membuka anak syarikatnya di Malaysia, HITB Jobs (M) Sdn Bhd yang bertanggungjawab untuk mencari dan merekrut pakar keselamatan IT.

Syarikat terbabit akan mencari bakat baru dalam bidang keselamatan IT ketika sidang HITBSecConf yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

“HITB Jobs bertanggungjawab menilai keupayaan bakat dalam keselamatan IT bagi memastikan mereka benar-benar layak untuk berkhidmat,” kata Michaux.

-hmetro