Pakej jalur lebar Maxis murah


AFIZULAZHA (empat dari kiri ) dan Nikolai Dobberstein (lima dari kiri) bersama maskot Maxis (duduk tengah) pada majlis pelancaran pakej jalur lebar terbaru Maxis di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Maxis Communications Bhd. (Maxis) melancarkan kempen jalur lebar terbarunya, Something for Everybody, sebagai usaha menyediakan pakej terbaik untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang berbeza.

Pengurus Besar Kanannya, Afizulazha Abdullah berkata, tawaran pakej yang bermula serendah RM8 sehari sehingga RM48 sebulan itu bertujuan untuk meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelanggan.

“Pakej jalur lebar ini direka untuk memenuhi corak penggunaan Internet di kalangan pengguna dan dalam masa yang sama akan memberikan penjimatan dengan kos efektif ketika melayari Internet dalam talian.

“Pelanggan hanya perlu bayar untuk apa yang mereka perlukan sahaja,” katanya pada sidang media sempena pelancaran kempen Something for Everybody di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Strategi dan Ketua Jalur Lebar Maxis, Dr. Nikolai Dobberstein.

Afizulazha menjelaskan, bagi pakej harian jalur lebar prabayar, kadar penggunaan bagi pakej sehari ialah RM8 dan pakej mingguan (tujuh hari) pula ialah sebanyak RM25.

Kelajuan bagi semua pakej tersebut adalah sama iaitu pada kadar kelajuan perpindahan data 7.2 megabit sesaat menerusi rangkaian kepantasan Maxis yang telah diluaskan.

-kosmo