Rekaan produk terkini…..

Gelang tangan pengesan stres

JIKA kestabilan emosi penting untuk anda ketika melakukan urus niaga dalam talian, Rationalizer mungkin salah satu inovasi yang anda perlukan. Ini kerana, ia akan mengingatkan anda agar berehat apabila berasa stres.

Prototaip alat itu didedahkan oleh sebuah syarikat di Belanda, Philips Electronics dan ABN AMRO baru-baru ini. Alat itu disasarkan untuk mengesan tahap stres individu yang terlibat dalam urus niaga dalam talian.

Dengan menggunakannya, anda tahu bila waktunya anda perlu mengambil angin di luar, berehat dan menilai kembali tindakan.


ALAT ini membolehkan pengguna memastikan mereka bertindak secara rasional.


Alat berupa gelang yang dinamakan EmoBracelet itu mengesan stres dan ia berfungsi bersama-sama dengan sebuah mangkuk yang dinamakan EmoBowl. EmoBowl akan berubah warnanya dari kuning ke merah apabila emosi pemakai gelang itu mengalami tekanan.

Para pengkaji di Philips, pembuat barangan elektronik konsumer terbesar Eropah berkata, pelabur-pelabur perumahan selalunya tidak bertindak secara rasional.

“Tabiat mereka dipengaruhi oleh emosi terutama rasa takut dan terburu-buru, yang mana ia menjejaskan keupayaan mereka untuk bertindak secara objektif dan berfakta,” kata mereka.

Meskipun tidak terlibat dalam pengeluaran produk itu, Geert Christiaansen, ketua pembangunan bisnes di Philips Design berkata, prototaip itu adalah sebahagian daripada usaha Philips untuk membantu manusia menangani stres dan teknologi itu boleh diperluaskan untuk kegunaan lain.

Motosikal kenderaan peribadi

SYARIKAT pemotoran Jepun, Honda Motor mempamerkan model kenderaan peribadi elektrik terbaru EV-MONPAL dalam prebiu media di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

HONDA Motor mempamerkan kenderaan peribadi elektrik EV-MONPAL di Tokyo, Jepun baru-baru ini.



Produk yang kelihatan seperti motosikal itu mempunyai rekaan unik dan comel.

Disifatkan sebagai konsep model, Honda Motor mengumumkan barisan produk automobil dan motosikal konsep modelnya itu di Pertunjukan Motor Tokyo ke-41.

Telefon bimbit Armani

SELAMA ini, anda mungkin lebih mengenali Giorgio Armani sebagai jenama rekaan fesyen, tetapi tahukah anda ia kini mengeluarkan telefon bimbit?

TELEFON bimbit Giorgio Armani dilancarkan di Milan, Itali baru-baru ini.



Telefon Armani tersebut telah dilancarkan di Milan, Itali baru-baru ini. Ia dibangunkan bersama Samsung dan Microsoft dan dipertontonkan kepada umum oleh syarikat jenama fesyen terkemuka dari Itali itu.

Mempunyai rekaan yang bergaya, telefon bimbit itu disasarkan untuk melengkapi cita rasa pereka fesyen masa kini.

-kosmo




Gaji pakar IT tidak setimpal

Pekerja urus data sensitif bernilai jutaan ringgit lompat kerja

KEBANYAKAN syarikat di Malaysia memandang rendah potensi pakar keselamatan teknologi maklumat (IT) dengan menawarkan gaji yang tidak setimpal dengan tugas mereka.

“Mereka (syarikat) tidak menganggap pakar keselamatan IT sebagai aset yang mengawal keselamatan berbilion data bernilai jutaan ringgit berbanding syarikat di luar negara,” kata Pengarah Urusan HITB Jobs, David Michaux yang juga pemilik sidang keselamatan IT terbesar di Asia dan Timur Tengah, HITBSecConf.

Katanya, pakar keselamatan IT di negara ini dibayar berkali ganda lebih murah berbanding tenaga kerja sama di Timur Tengah dan ia sebenarnya tidak menepati standard global.

“Kita tidak mahu melihat Malaysia kehilangan pakar keselamatan IT berpotensi yang terpaksa berhijrah ke Timur Tengah kerana bayarannya lebih lumayan dan berbaloi,” katanya.

Menurut Michaux, faktor kesetiaan amat penting ketika membicarakan soal keselamatan IT kerana syarikat pastinya tidak mahu kehilangan tenaga kerja yang menguruskan pelbagai data sulit.

“Terdapat situasi di Malaysia menyaksikan pakar keselamatan IT melompat dari satu syarikat ke syarikat lain hanya kerana kenaikan gaji RM200 hingga RM300.

“Sedangkan individu terbabit mempunyai maklumat bernilai berbilion ringgit ketika mengawal sistem keselamatan di syarikat sebelumnya, malah mengetahui selok-belok dengan terperinci,” katanya.

Beliau berkata, negara luar mementingkan kesetiaan sebagai faktor utama sehingga sanggup menawarkan gaji lumayan untuk mengekalkan staf keselamatan IT.

“Syarikat juga perlu meneliti keupayaan pakar keselamatan IT terbabit dan bukan melihat kepada biodata permohonan kerja semata-mata,” katanya.

Baru-baru ini, HITB Jobs membuka anak syarikatnya di Malaysia, HITB Jobs (M) Sdn Bhd yang bertanggungjawab untuk mencari dan merekrut pakar keselamatan IT.

Syarikat terbabit akan mencari bakat baru dalam bidang keselamatan IT ketika sidang HITBSecConf yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

“HITB Jobs bertanggungjawab menilai keupayaan bakat dalam keselamatan IT bagi memastikan mereka benar-benar layak untuk berkhidmat,” kata Michaux.

-hmetro




Ramalan gajet 2010

Apakah gajet atau teknologi yang dijangka meraih perhatian dunia pada tahun depan?


TELEFON 4G dikatakan mempunyai keupayaan menghantar dan menerima data pada kelajuan yang belum pernah dirasai sebelum ini. Ia dikatakan mampu mencapai kelajuan lebih daripada 10Mbps dengan purata kelajuan di antara 3 hingga 6Mbps.


SYARIKAT yang berteraskan teknologi hari ini tidak boleh lagi bergantung kepada kejayaan semalam. Pilihan yang ada cuma dua, sama ada tenggelam atau meneruskan renangan dalam dunia teknologi yang bergerak pantas. Produk baru untuk tahun baru harus sentiasa dititikberatkan.

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum kita memasuki tahun 2010. Ada antara teknologi yang sedang dibangunkan diharap dapat dipasarkan sebelum penghujung 2010. Ambil contoh teknologi kamera digital pintar yang sedang dibangunkan oleh Hewlett-Packard. Ia dikatakan mampu membuat terjemahan imej yang diambil kepada beberapa bahasa.

Telefon Motorola

Ciri ini amat berguna untuk mereka yang sering ke luar negara. Jika bahasa yang digunakan pada papan tanda jalan tidak difahami, anda cuma perlu menghalakan lensa kamera ke arah papan tanda tersebut dan menekan butang alih bahasa. Kemudian kamera tersebut akan memberitahu mesej yang tertulis kepada bahasa yang kita fahami.

Telefon bimbit yang bukan sekadar berfungsi sebagai telefon sahaja diramal akan semakin bertambah menjelang 2010. Motorola dilapor bakal mengeluarkan telefon bimbit yang mampu memberikan pengalaman seumpama teater rumah dengan sistem bunyi surround. Telefon tersebut dikatakan mampu memuat turun video berdefinisi tinggi. Selain dilengkapi dengan projektor mikro membolehkan tayangan filem dipaparkan pada permukaan rata.

Sungguhpun ramai yang mungkin mempersoalkan yang komputer riba dengan dua skrin LCD tidak begitu praktikal, namun tidak dapat dinafikan kekemasan dan reka bentuk komputer riba Canova dari V12 Designs. Meskipun komputer riba dengan ciri skrin sentuhan sudah terdapat di pasaran, tetapi komputer riba dwiskrin dengan fungsi skrin sesentuh pastinya akan menjadi peneraju gajet masa hadapan.


KOMPUTER riba dengan dua skrin LCD yang dibangunkan oleh Valerio Cometti.


V12 Designs merupakan sebuah firma reka bentuk industri Itali dan diasaskan oleh Valerio Cometti yang dilapor sedang membangunkan komputer riba dwiskrin sejak empat tahun yang lalu. Rekaan itu dikatakan menyokong input pelbagai sentuhan dan perisian papan kekunci, membolehkan papan kekunci dipaparkan pada skrin. Cometti kini sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat untuk bersama-sama membangunkan dan sekali gus memasarkan komputer riba tersebut.

Khabar angin berkisar tentang Projek Microsoft Pink telah tersebar luas di Internet dan dikatakan bakal muncul sekitar 2010. Ia didakwa sebagai kod nama untuk telefon Zune yang dipercayai bakal memasuki pasaran penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Telefon yang bakal membawa jenama Microsoft dan bercirikan perkhidmatan telefon bimbit premium itu seperti kedai video Zune serta menawarkan langganan dan jualan muzik. Malah, telefon itu juga mempunyai ciri sentuhan skrin untuk menjadi pesaing iPhone.

Microsoft 2010

Telefon generasi keempat (4G) pula dijangka menemui pengguna bagi menggantikan telefon 3G yang telah berada di pasaran sejak beberapa tahun lalu. Telefon 4G dikatakan mempunyai keupayaan menghantar dan menerima data pada kelajuan yang belum pernah dirasai sebelum ini. Ia dikatakan mampu mencapai kelajuan lebih daripada 10Mbps dengan purata kelajuan di antara 3 hingga 6Mbps.

Perisian Microsoft Office juga dijangka bakal memperkenalkan pengganti Office 2007 pada tahun hadapan, Microsoft 2010. Menurut Microsoft, ciri tambahan yang terdapat pada aplikasi pejabat terbaru itu adalah untuk membolehkan tugasan dibuat dengan lebih efisen. Ia menggunakan aplikasi web yang membolehkan tugasan boleh diakses di mana-mana selain untuk membuat gabungan kerja menjadi lebih mudah.

Lebih menarik lagi, Office 2010 juga bakal diperkenalkan seiring dengan versi online untuk aplikasi Word, Excel, PowerPoint dan OneNote. Ia juga sesuai digunakan dengan pelayar web Internet Explorer, Firefox dan Safari, menjadikannya boleh digunakan dari mana-mana komputer yang mempunyai capaian Internet.

-kosmo




Rakyat Malaysia belanja RM15j sehari untuk rokok

WALAUPUN penggunaan tembakau di negara maju sudah berkurangan, keadaan sebaliknya berlaku di negara membangun. Contoh di Malaysia apabila statistik menunjukkan ketagihan merokok di kalangan rakyatnya yang berumur 15 tahun dan ke atas terus meningkat daripada 21 peratus pada 1985 kepada 31 peratus pada 2000.

Persatuan Perubatan Malaysia bertajuk “Action on Smoking and Health” melaporkan terdapat kira-kira 3.5 juta perokok di negara ini. Separuh daripada mereka menghisap rokok hampir 10 batang sehari.

Laporan itu juga menganggarkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM15 juta sehari untuk rokok dan dalam masa setahun, mencecah sehingga RM6 bilion.

Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok sendiri, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia.

Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan merokok dan penagihan tembakau yang lain bertanggungjawab terhadap satu kematian dalam setiap 10 orang dewasa di seluruh dunia – kira-kira 5 juta kematian setahun.

Selain memberi kesan kepada kesihatan perokok individu, tabiat merokok juga boleh memberi kesan negatif kepada generasi akan datang. Antara contoh yang perlu diberi perhatian adalah seperti di bawah:

  • Satu kajian yang dijalankan di kalangan 5,000 lelaki Cina menunjukkan bahawa 60 peratus daripada mereka yang merokok lebih daripada sekotak sehari berkemungkinan mengalami disfungsi ereksi atau ‘mati pucuk’ berbanding mereka yang tidak pernah merokok.
  • Wanita yang merokok lebih berkemungkinan mengalami kesukaran untuk mengandung, komplikasi ketika hamil dan risiko keguguran yang lebih tinggi.
  • Satu kajian dijalankan di Pusat Biologi Perinatal di California menemui bukti bahawa wanita yang terus merokok ketika hamil memberi kesan negatif pada jantung janin.
  • Menurut kajian yang dijalankan di Finland mendapati asap daripada rokok boleh merosakkan fungsi arteri kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam jurnal Persatuan Jantung Amerika, Circulation, membabitkan 400 kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun. Selain itu, asap daripada rokok juga menyebabkan masalah jangkitan saluran pernafasan dan masalah telinga. Serangan penyakit itu lebih teruk dan kerap di kalangan kanak-kanak yang menghidap asma. Semua ini menunjukkan kesan rokok bukan terbatas kepada generasi semasa, tetapi harus ditanggung oleh generasi yang akan datang. Malah, WHO menganggarkan bahawa ketagihan tembakau akan membunuh kira-kira 10 juta orang setahun menjelang 2020, dengan 70 peratus kematian berlaku di negara membangun.

    Sungguhpun pelbagai usaha dilakukan di seluruh negara oleh kerajaan dan pakar penjagaan kesihatan profesional, ketagihan tembakau (sebahagian besarnya dalam bentuk rokok) di negara ini tetap pada angka yang membimbangkan.

    Memang tidak dapat dinafikan amat sukar bagi kebanyakan orang untuk berhenti merokok kerana ia bukan ketagihan fizikal semata-mata. Walaupun nikotin adalah punca utama ketagihan rokok, tabiat menghisap rokok juga satu ritual atau amalan psikologi dan emosi bagi kebanyakan perokok.

    Namun, ada cara yang berkesan untuk membantu perokok menghentikan tabiat merokok. Ia dengan menggabungkan rawatan seperti terapi penggantian nikotin (NRT)dan perubahan gaya hidup. Apa yang utama kesungguhan dan keazaman untuk berhenti merokok. Untuk maklumat lanjut mengenai usaha menghentikan tabiat merokok, sila ke laman web www.iwanttoquitsmoking.com.my

    -BHARIAN
    -Artikel ini adalah inisiatif kesihatan masyarakat yang disokong oleh Johnson & Johnson.




  • Jual beli lagu menerusi Internet

    PENJUALAN lagu secara digital sama ada menerusi Internet mahupun nada dering bukan perkara baru dalam bidang muzik tempatan dan antarabangsa. Berbeza dengan penjualan album yang belum mencatat jualan memberangsangkan, penggunaan digital turut menjadi sumber pendapatan kepada penyanyi serta komposer terbabit.

    Melihat kepada potensi Internet sebagai platform penjualan lagu dengan meluas merangkumi perhubungan antarabangsa, satu portal muzik yang dikenali 2crank.com diperkenalkan. Portal ini yang boleh dilayari menerusi laman web di www.2crank.com menyediakan perkhidmatan muat turun dan muat naik lagu untuk dipaparkan kepada semua pengguna.

    Komposer, Fauzi Marzuki yang bertindak sebagai perunding portal ini menyatakan matlamat membangunkan kemudahan ini untuk menarik minat ramai komposer sama ada profesional atau amatur untuk menjual dan membeli pelbagai lagu. Sejak diperkenalkan sebulan lalu, portal ini menarik minat lebih 1,500 ahli yang berdaftar.

    Katanya, banyak kelebihan yang diperoleh menerusi portal ini apabila komposer berpeluang menjual lagu mereka kepada umum untuk meraih keuntungan manakala mereka yang berminat pada sesebuah lagu juga boleh membeli secara muat turun dengan mudah. Setiap lagu dikenakan bayaran AS$0.50 (RM1.80).

    “Portal ini memudahkan pengguna untuk mencari lagu penyanyi yang mereka suka. Malah, peluang ini terbuka kepada komposer baru yang turut dikenali sebagai komposer indie untuk memasarkan lagu baru mereka kepada khalayak.

    “Bagi menentukan sama ada lagu itu bukan ciplak, kami mempunyai empat mentor yang diketuai saya sendiri bertanggungjawab meneliti setiap lagu yang dimuat naik adalah karya asli. Mentor ini terdiri daripada komposer berpengalaman yang akan menentukan lagu itu boleh dijual atau sebaliknya.

    “Sebenarnya lagu yang mengambil lapan bar pada melodi asal sesebuah lagu, ia masih boleh dianggap sebagai karya baru jika diadun semula dengan melodi lagu lain. Jika diikutkan komposer terkenal juga mengambil sedikit melodi lagu lain sebelum ia diolah mengikut kreativiti sendiri untuk mencipta lagu baru.

    “Pada saya, tidak timbul soal ciplak lagu menerusi portal ini kerana jika ia berlaku, penjualan lagu itu akan diberhentikan serta-merta. Untuk satu lagu yang dimuat naik, ia akan terus dijual, tetapi mentor akan meneliti lagu berkenaan,” katanya.

    Berdasarkan kajian ketika proses merangka portal ini yang mengambil masa setahun manakala pembikinan perisian pula dibuat dalam jangka masa enam bulan, Fauzi mendapat respons positif daripada segelintir komposer indie yang berminat untuk memasarkan lagu mereka di portal ini. Katanya, setiap lagu yang dinyatakan dalam portal ini akan disenarai mengikut ranking yang mempunyai maklumat jumlah dimuat turun serta komen komposer mahupun syarikat rakaman yang berminat untuk membeli.

    Fauzi menyatakan matlamat untuk menarik minat 50,000 ahli di seluruh dunia dalam tempoh setahun portal ini beroperasi manakala 10,000 ahli di negara ini untuk tempoh sebulan. Sebagai permulaan, portal ini mensasarkan pengguna dari negara Asia seperti Indonesia, China dan India.

    Bagi M Nasir, dia menyokong pelaksanaan portal ini yang dijangka menarik lebih ramai komposer baru yang berbakat untuk menjual karya mereka. Katanya, dia juga berminat menghantar lagunya menerusi portal ini dan berharap ia menjadi platform pada pencarian lagu baru dengan lebih mudah.

    -hmetro