OMNIA dalam bahasa Latin bermaksud ’segalanya’ manakala dalam bahasa Arab pula membawa makna ‘keinginan.’ Menggabungkan pengertian kedua-dua bahasa itu, ia tentunya memberi gambaran jelas tentang kesempurnaan produk telekomunikasi keluaran syarikat pengeluar telefon bimbit terkenal, Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung).

Setelah cemerlang melengkapkan segala keinginan pengguna moden melalui model Omnia terdahulu, Samsung terus memperkukuhkan penjenamaan produk itu menerusi pengenalan Omnia II.

Telefon bimbit yang juga dikenali sebagai model i8000 itu masih mengekalkan kecemerlangan prestasi mobiliti semua dalam satu dari segi kandungan bisnes, kuasa, gaya dan pengalaman multimedia dinamik.

Menurut Pengarah Urusannya, Yoon Ki Heung, pengenalan model baru itu lebih memberi tumpuan kepada memperluaskan revolusi kandungan e-mel serta jangka hayat bateri yang lebih lama.

”Aplikasi yang ditawarkan sangat versatil dan mudah untuk dikendalikan sesuai dengan kehendak pengguna hari ini.

”Jadi, ia tentunya dapat memenuhi keperluan semua jenis pengguna untuk apa sahaja tujuan,” katanya pada pelancaran model telefon itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Telefon bimbit pintar Omnia II dibangunkan dengan sistem operasi Windows Mobile 6.1 Profesional yang boleh dipertingkatkan kepada Windows Mobile 6.5 apabila ia telah dilancarkan kelak.

Menarik mengenai fungsi paparannya, ia didatangkan bersama skrin AMOLED 3.7 inci iaitu yang terbesar di dunia dengan kelebihan resolusi kejelasan WVGA.

Antara muka penggunanya pula dilengkapi dengan teknologi sentuhan TouchWiz 2.0 untuk kemudahan pelaksanaan tugas yang lebih mudah dan pantas.

Melengkapkan keupayaan capaian internet pantas, model berkenaan disempurnakan dengan platform sambungan HSUPA 5.76 megabait sesaat (Mbps), HSDPA 7.2 Mbps dan Wi-Fi.

Bagi pengguna yang gemar bergambar, telefon ini mempunyai kamera lima megapiksel dengan ciri tambahan seperti pengesanan wajah, blog mobiliti dan kuasa LED berkembar.

Spesifikasi lain yang ditampilkan adalah seperti sambungan Bluetooth dan USB 2.0 serta memori binaan dalam 16 gigabait (GB) serta menyokong kad memori microSDHC sehingga 32GB.

Dengan segala kelebihan itu, Samsung Omnia II kini boleh boleh diperolehi dengan harga pasaran RM2,399.

-utusan




Share and Enjoy:
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google Bookmarks
  • LinkedIn
  • StumbleUpon
  • Technorati
  • TwitThis