Perempuan, lelaki sekarang sama saja suka mengadu
SETIAP kali berjumpa, ada saja perkara yang hendak diadukannya. Kadangkala, benda kecil pun hendak dirungutkan. Apabila dilayan, makin panjang lebar pula ceritanya.
Dalam kehidupan harian, kita sering bertemu individu yang kuat mengadu. Sikap ini kadangkala merimaskan kerana kita terpaksa mendengar cerita yang mungkin tidak ada kena mengena dengan diri sendiri.
Bagaimana agaknya berdepan individu yang kuat mengadu? Persoalannya, antara lelaki atau wanita, siapa lebih kuat mengadu?
Jom berkongsi pandangan mereka…
Mohd Rashiman Rasit, 26
“Pada saya, dalam bab mengadu ini, wanitalah orangnya. Sebab wanita ini agak cerewet sikit. Ada saja yang tidak kena pada mata mereka.
Tapi, tidak dinafikan, ada juga lelaki yang suka mengadu setiap kali ada perkara dirasakan tidak betul. Jarang sekali lelaki mengadu mengenai hal yang remeh-temeh. Wanita saja yang selalu mengadu perkara remeh.
Lelaki, apabila mengadu, mereka fikirkan dulu apa yang mereka hendak adukan. Ini kerana mereka selalunya tidak mahu dilihat sebagai seorang yang suka melayan perkara yang remeh. Sedangkan wanita terus mengadu saja tanpa berfikir.”
Mohd Khushairi Azman, 24
“Ramai wanita suka mengadu kerana bagi mereka, beban masalah akan menjadi lebih ringan selepas mereka dapat meluahkan perasaan kepada seseorang… Biarpun ia bukan masalah serius.
Ada rakan atau pasangan yang boleh melayan kerenah individu kuat mengadu. Tetapi ‘berat’ jugalah kalau mereka suka mengadu mengenai perkara sama berulang kali. Jika pasangan yang memahami, mungkin masih boleh beri muka tapi bagi mereka yang tidak faham… alamat timbul masalah pula.”
Muhammad Bukharii Mohd Noh, 27
“Wanita, jiwa mereka lembut dan manja. Disebabkan itulah mereka cenderung mengadu mengenai pelbagai perkara. Setiap kali mengadu, mereka mahukan perhatian sebenarnya. Mereka hendak orang mendengar keluhan mereka.
Lelaki pula, kebanyakannya mempunyai ego yang tinggi. Jadi amat jarang melihat mereka mengadu. Kalau mengadu pun, ia lebih kepada bercerita masalah biasa. Contohnya, masalah di pejabat dengan rakan apabila minum bersama.
“Tapi, seelok-eloknya, jika ada teman yang mengadu, jadilah pendengar masalah mereka dan cubalah bantu untuk si dia bertenang.”
Intan Afidah Mohd Taip, 24
“Diakui, wanita golongan yang kuat mengadu. Setiap perkara yang terjadi atau dialami mesti hendak dikongsi. Mungkin kerana wanita lebih sensitif dan teliti dalam sesuatu perkara. Kadang-kadang mereka mengadu perkara yang wajar, tapi ada masanya perkara remeh pun hendak diadukan.
Lelaki juga mengadu tetapi dalam situasi tertentu saja. Selalunya, lelaki akan mengadu perkara yang mereka rasa perlu disuarakan.
Sifat wanita yang terlalu kuat mengadu ada kalanya menimbulkan salah faham dan membuatkan lelaki rimas. Namun, tiada salahnya jika mengadu sesuatu perkara yang munasabah dan perlu dibincangkan.”
Izwanna Sulaiman, 23
“Antara lelaki dan wanita, wanitalah yang boleh dikatakan paling kuat mengadu. Ini kerana mereka lebih emosional terutama apabila menghadapi masalah.
Tapi, jangan ingat lelaki tidak mengadu. Lelaki memang jarang mengadu, mereka lebih senang menyimpan masalah. Sekali mereka mengadu, panjang lebar pula ceritanya.
Wanita suka hendak mengadu terutama apabila ada yang melayan keluhan atau aduan mereka. Mungkin itu cara mereka meluahkan masalah ditanggung.”
Siti Khuzaimah Bujang, 23
“Sama ada lelaki atau wanita, kedua-duanya akan mengadu. Tetapi yang lebih banyak dilihat mengadu ialah wanita. Mereka tetap akan mengadu, tidak kira sama ada perkara kecil ataupun besar.
Ini mungkin kerana kebanyakan wanita mengharapkan kesempurnaan. Sehubungan itu, apabila ada perkara terkurang, mereka akan bercakap mengenainya.
Cara lelaki mengadu pula, mereka hanya meluahkan keluhan apabila bertemu rakan baik atau orang yang dipercayai saja. Jika tidak, mereka akan simpan saja kerana tidak mahu dianggap sebagai seorang yang lemah.”
-bharian