BAGAIKAN stigma – wanita sering dikaitkan dengan aktiviti membeli-belah. Tidak percaya, lihat saja senario di pusat beli-belah sekarang. Perhatikan, siapa paling ramai? Dari gedung pakaian, butik kasut hinggalah kaunter penjagaan diri, semuanya dimonopoli wanita.
Bagi segelintir wanita, beli-belah jadi terapi terbaik. Bukan saja menunggu karnival jualan murah, ada kalanya keinginan wanita untuk berbelanja tidak mengira tempat, masa dan ketika.
Lelaki pula lain kisahnya. Ramai lelaki tidak suka membuang masa di pusat beli-belah. Ambil mana yang berkenan, bayar dan pulang. Banyak faktor menjadikan lelaki pasif ketika berbelanja. Antaranya menganggap pembelian itu suatu pembaziran, terlampau berhati-hati dan berfikir panjang hingga akhirnya terbantut hasrat berbelanja.
Namun ada juga lelaki yang sanggup berbelanja sakan untuk kereta kesayangan atau gajet elektronik – tepuk dada tanya selera.
Menyentuh soal menabung pula, siapa lebih mementingkan simpanan masa depan? Siapa lebih cekap menguruskan kewangan, mengatur perbelanjaan dan memastikan wang tunai khusus untuk waktu kecemasan tidak pernah disentuh?
Ikuti komen lelaki dan wanita …..
Norfazlina Abdullah, 23“WANITA lebih mengawal kewangan kerana hal ehwal perbelanjaan banyak diuruskan wanita. Apatah lagi bagi wanita yang tidak berkerja, banyak urusan kewangan diserahkan kepada mereka terutamanya untuk membeli barang keperluan rumah.Sedangkan lelaki hanya memberi wang. Susah senang, wanita yang harus menguruskan kewangan keluarga.”
Musliha Ibrahim, 22“LELAKI lebih bijak dalam mengurus kewangan serta sukar berbelanja sesuatu yang difikirkan tidak perlu. Wanita pulang mudah berbelanja barangan yang belum tentu penting untuk dirinya. Bagi saya, wanita hanya mula menabung apabila keadaan memerlukan.
Norashikin Mohd Nazair, 20“TENTULAH lelaki yang lebih berjimat kerana wanita sendiri bernafsu sembilan dan tabiat membeli belah sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup wanita.Bagi saya, lelaki lebih berfikir panjang dan tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu promosi.”
Mohd Ridzuan Ahmad, 23“JIKA hendak diikutkan, wanita yang bijak menabung sedangkan lelaki hanya mula menabung untuk memenuhi sesuatu komitmen seperti berkahwin. Jika tidak terikat dengan komitmen, lelaki banyak menghabiskan duit kepada kenderaan dan gajet peribadi.”
Aizil Azlan Saadon, 32“BAGI saya, terpulang kepada individu itu sendiri. Tidak kiralah lelaki atau wanita yang bijak menabung. Mungkin andai lelaki tidak menabung tetapi pasangannya suka menabung… Beruntunglah hubungan seperti itu. Tetapi jika kedua-dua mereka bukan jenis suka menabung, alamat parahlah hubungan.”
Mohd Izwan Hassan, 26“LOGIKNYA, lelaki lebih cenderung menabung kerana mengawal semua perbelanjaan. Apatah lagi, tabiat lelaki yang tidak suka membeli-belah membolehkan wang disimpan.Wanita pula, cenderung berbelanja dan mudah terpengaruh dengan promosi jualan murah.”-bharian