Monthly Archives: November 2009

Siapa KAKI RUNGUT?

 Siapa KAKI RUNGUT?

Perempuan, lelaki sekarang sama saja suka mengadu

SETIAP kali berjumpa, ada saja perkara yang hendak diadukannya. Kadangkala, benda kecil pun hendak dirungutkan. Apabila dilayan, makin panjang lebar pula ceritanya.

Dalam kehidupan harian, kita sering bertemu individu yang kuat mengadu. Sikap ini kadangkala merimaskan kerana kita terpaksa mendengar cerita yang mungkin tidak ada kena mengena dengan diri sendiri.

Bagaimana agaknya berdepan individu yang kuat mengadu? Persoalannya, antara lelaki atau wanita, siapa lebih kuat mengadu?

Jom berkongsi pandangan mereka…

Mohd Rashiman Rasit, 26

“Pada saya, dalam bab mengadu ini, wanitalah orangnya. Sebab wanita ini agak cerewet sikit. Ada saja yang tidak kena pada mata mereka.

Tapi, tidak dinafikan, ada juga lelaki yang suka mengadu setiap kali ada perkara dirasakan tidak betul. Jarang sekali lelaki mengadu mengenai hal yang remeh-temeh. Wanita saja yang selalu mengadu perkara remeh.

Lelaki, apabila mengadu, mereka fikirkan dulu apa yang mereka hendak adukan. Ini kerana mereka selalunya tidak mahu dilihat sebagai seorang yang suka melayan perkara yang remeh. Sedangkan wanita terus mengadu saja tanpa berfikir.”

Mohd Khushairi Azman, 24

“Ramai wanita suka mengadu kerana bagi mereka, beban masalah akan menjadi lebih ringan selepas mereka dapat meluahkan perasaan kepada seseorang… Biarpun ia bukan masalah serius.

Ada rakan atau pasangan yang boleh melayan kerenah individu kuat mengadu. Tetapi ‘berat’ jugalah kalau mereka suka mengadu mengenai perkara sama berulang kali. Jika pasangan yang memahami, mungkin masih boleh beri muka tapi bagi mereka yang tidak faham… alamat timbul masalah pula.”

Muhammad Bukharii Mohd Noh, 27

“Wanita, jiwa mereka lembut dan manja. Disebabkan itulah mereka cenderung mengadu mengenai pelbagai perkara. Setiap kali mengadu, mereka mahukan perhatian sebenarnya. Mereka hendak orang mendengar keluhan mereka.

Lelaki pula, kebanyakannya mempunyai ego yang tinggi. Jadi amat jarang melihat mereka mengadu. Kalau mengadu pun, ia lebih kepada bercerita masalah biasa. Contohnya, masalah di pejabat dengan rakan apabila minum bersama.

“Tapi, seelok-eloknya, jika ada teman yang mengadu, jadilah pendengar masalah mereka dan cubalah bantu untuk si dia bertenang.”

Intan Afidah Mohd Taip, 24

“Diakui, wanita golongan yang kuat mengadu. Setiap perkara yang terjadi atau dialami mesti hendak dikongsi. Mungkin kerana wanita lebih sensitif dan teliti dalam sesuatu perkara. Kadang-kadang mereka mengadu perkara yang wajar, tapi ada masanya perkara remeh pun hendak diadukan.

Lelaki juga mengadu tetapi dalam situasi tertentu saja. Selalunya, lelaki akan mengadu perkara yang mereka rasa perlu disuarakan.

Sifat wanita yang terlalu kuat mengadu ada kalanya menimbulkan salah faham dan membuatkan lelaki rimas. Namun, tiada salahnya jika mengadu sesuatu perkara yang munasabah dan perlu dibincangkan.”

Izwanna Sulaiman, 23

“Antara lelaki dan wanita, wanitalah yang boleh dikatakan paling kuat mengadu. Ini kerana mereka lebih emosional terutama apabila menghadapi masalah.

Tapi, jangan ingat lelaki tidak mengadu. Lelaki memang jarang mengadu, mereka lebih senang menyimpan masalah. Sekali mereka mengadu, panjang lebar pula ceritanya.

Wanita suka hendak mengadu terutama apabila ada yang melayan keluhan atau aduan mereka. Mungkin itu cara mereka meluahkan masalah ditanggung.”

Siti Khuzaimah Bujang, 23

“Sama ada lelaki atau wanita, kedua-duanya akan mengadu. Tetapi yang lebih banyak dilihat mengadu ialah wanita. Mereka tetap akan mengadu, tidak kira sama ada perkara kecil ataupun besar.

Ini mungkin kerana kebanyakan wanita mengharapkan kesempurnaan. Sehubungan itu, apabila ada perkara terkurang, mereka akan bercakap mengenainya.

Cara lelaki mengadu pula, mereka hanya meluahkan keluhan apabila bertemu rakan baik atau orang yang dipercayai saja. Jika tidak, mereka akan simpan saja kerana tidak mahu dianggap sebagai seorang yang lemah.”

-bharian




Menjenamakan semula Hotlink

me 05.1 Menjenamakan semula Hotlink

Matthew Willsher ( kiri) menunjukkan logo Hotlink yang baru semasa majlis penjenamaan semula Hotlink di Kuala Lumpur.


Jika dulu sebut saja BlackBerry, tentu ada yang memikirkan berkali-kali untuk memilikinya terutama pengguna prabayar.

Memang ramai yang berminat tetapi memikirkan bil bulanan yang perlu dilunaskan, niat untuk memiliki BlackBerry dilupakan begitu saja.

Tapi kini semua pengguna sama ada prabayar atau pascabayar boleh memiliki BlackBerry apabila Maxis yang dalam proses penjenamaan semula Hotlink.

Pegawai Eksekutif Pemasaran Maxis, Matthew Willsher berkata, jenama Maxis mula dilancarkan pada 1995 manakala Hotlink empat tahun selepas itu.

Jenama Maxis amat berkaitan dengan aktiviti pascabayar, manakala Hotlink menjurus kepada prabayar.

Penjenamaan semula Hotlink membolehkan pihak Maxis memberikan imej yang konsisten antara Maxis dan Hotlink.

“Inilah masa memberikan kedua-dua jenama besar kami lebih rapat memandangkan mereka telah berada di pasaran lebih 10 tahun lalu,” katanya semasa majlis Penjenamaan Semula Hotlink di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Integrasi antara dua jenama yang berkaitan akan membawa kejayaan menerusi perkongsian identiti korporat dan juga menerusi elemen logo Maxis dalam logo Hotlink.

Selain itu kedua-dua jenama akan dibina pada nilai jenama Kreatif, Ringkas dan Boleh dipercayai tetapi dengan personaliti masing-masing.

Sebagai sebahagian integrasi, jenama Hotlink akan diperbaharui dan kempen penjenamaan semula jenama Hotlink dengan moto There’s always more with Hotlink.

Dalam Internet mudah alih, Maxis merupakan telco yang pertama menawarkan BlackBerry kepada pelanggan mudah alih dengan pakej perkhidmatan pilihan daripada e-mel kepada fungsi mesej sosial.

Pelanggan Hotlink boleh menikmati perkhidmatan BlackBerry daripada Maxis dengan pakej serendah RM28 sebulan.

Pengguna Hotlink boleh mendapatkan BlackBerry Curve 8520 pada harga istimewa RM899 dengan mana-mana pakej Perkhidmatan Internet BlackBerry.

-utusanmalaysia




Kesan bunyi multimedia cemerlang

me 02.1 Kesan bunyi multimedia cemerlang

SISTEM audio terbaru daripada Logitech menawarkan kesan bunyi 360 darjah.


PENGALAMAN mendengar muzik, menonton filem dan bermain permainan video pastinya tidak akan sempurna tanpa sokongan sistem audio terbaik.

Memberi peluang kepada pengguna menikmati pengalaman itu, syarikat pengeluar produk teknologi dan inovasi, Logitech telah menampilkan produk pembesar suara multimedia 360 darjah terbaru iaitu menerusi Z523 dan Z323.

Aplikasinya sangat sesuai digunakan tidak kira untuk komputer riba atau komputer peribadi selain menyokong sistem operasi Windows dan juga MAC.

Penyebaran bunyinya pula lebih konsisten, dinamik serta menjangkaui ruang yang luas dengan gangguan bunyi minimum.

Bagi model Z523, sistem pembesar suaranya dilengkapi dua subwoofer bergaya 6.5 inci yang dapat menjana kuasa sehingga 40 watt.

Menawarkan lebih fungsi, kedua-duanya juga didatangkan dengan integrasi jack RCA berkembar dan jack 3.5 milimeter untuk kemudahan sambungan kepada pemain cakera video digital (DVD), konsol permainan video dan juga iPod.

Sistem pembesar suara Logitech Z523 ditawarkan pada harga RM469 sementara Z323 RM259. Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada laman web www.logitech.com.my.




KL- Ipoh 1 jam 55 minit

in 01.1 KL  Ipoh 1 jam 55 minit


SELAMA ini, kereta api sering dilabel sebagai pengangkutan yang amat perlahan di negara ini berbanding dengan pengangkutan yang lain. Persepsi itu akan menjadi tidak begitu relevan apabila kereta api elektrik Electric-Train-Set (ETS) dijangka beroperasi April tahun depan. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menerima kereta api ETS pertama awal Disember ini.

Dengan kelajuan yang lebih tinggi dan reka bentuk lebih aerodinamik, ETS mampu menawarkan perjalanan yang lebih singkat. Perjalanan dari Kuala Lumpur (KL) ke Ipoh, Perak misalnya mengambil masa hanya satu jam 55 minit, satu jangka masa yang mungkin membuatkan anda berfikir dua kali untuk memandu kereta sendiri ke destinasi tersebut.

Jika sebelum ini, perjalanan dengan kereta api lokomotif diesel dari KL ke Ipoh mengambil masa hampir tiga jam atau pemanduan darat yang lain mengambil masa dua jam 30 minit, apa yang ditawarkan ETS kelak dilihat mampu mengubah senario perkhidmatan kereta api di Malaysia. Tidak mustahil akan wujud kelompok masyarakat yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di Ipoh atau sebaliknya.

Untuk permulaan, perkhidmatan kereta api ETS melibatkan perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban. Ia bakal dipanjangkan ke laluan Ipoh-Padang Besar di Perlis serta Seremban-Gemas di Negeri Sembilan apabila landasan berkembar elektrik di laluan itu siap pada tahun 2013. ETS mampu menawarkan perkhidmatan pada kelajuan 140 kilometer sejam (140kmj).

in 01.2 KL  Ipoh 1 jam 55 minit

REKAAN dalaman ETS yang lebih selesa dan kondusif berdasarkan ilustrasi.


Tren elektrik itu menggunakan motor elektrik dan mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan tren lokomotif diesel. Ia lebih lancar, mesra alam, lebih senyap dan lebih laju.

“Kami melihat terdapat permintaan perkhidmatan kereta api yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Misalnya, untuk laluan Ipoh-KL pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, tiket selalunya habis dijual. Kami merasakan pengenalan perkhidmatan ETS kena pada masanya kerana pasaran ini boleh dikatakan sudah ada,” kata Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan kepada Infiniti ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Ia mampu menjimatkan perjalanan selama satu jam berbanding dengan perkhidmatan kereta api biasa sebelum ini,” tambahnya sambil menjelaskan sistem ETS adalah dari Jepun tetapi pembinaan kereta api dilakukan di Korea Selatan. Perkhidmatan kereta api ETS akan dimulakan setelah lima buah kereta api ETS yang datang secara berperingkat diterima KTMB.

Aminuddin bagaimanapun menjelaskan ETS bukanlah kereta api elektrik pertama KTMB. KTMB telah mula menggunakan kereta api elektrik iaitu Electric Multiple Unit (EMU) sejak tahun 1995 dan ia kebanyakannya digunakan dalam perkhidmatan KTM Komuter.

“Tetapi ETS lebih laju, lebih hebat dan lebih aerodinamik daripada EMU. ETS juga digunakan untuk perjalanan yang lebih jauh. Jika EMU hanya tiga gerabak, ETS lebih panjang dengan menawarkan enam gerabak. Kami berharap dengan ETS, kami dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai,” katanya.

in 01.3 KL  Ipoh 1 jam 55 minit

AMINUDDIN menjangkakan ETS bakal menaikkan imej KTMB dan pencetus perubahan awal kepada senario pengangkutan kereta api perjalanan jauh di Malaysia.


Tambah Aminuddin, ETS mempunyai reka bentuk dalaman yang menarik, dilengkapi pendingin hawa, televisyen LCD, ciri mesra pengguna kurang upaya dan ciri keselamatan Automatic Train Protection System.

“Untuk memastikan pemandu sentiasa peka dalam pemanduan, pemandu ETS dikehendaki menekan satu butang setiap 30 saat bagi menunjukkan mereka sedang memberikan sepenuh konsentrasi. Sekiranya mereka tidak menekan butang itu, tren akan bergerak perlahan dan berhenti,” kata Aminuddin sambil memberitahu ETS berkapasiti 350 penumpang.

Cuma, disebabkan ETS berkelajuan tinggi dan menggunakan landasan elektrik maka orang ramai yang tinggal berdekatan landasan kereta api elektrik perlu mempertingkat tahap waspada. Dengan penggunaan tenaga elektrik sebesar 25 kilowatt, ia boleh memberikan renjatan elektrik yang amat teruk sekiranya kanak-kanak bermain layang-layang dan ia tersangkut di pencawang elektrik landasan.

Kos pembinaan landasan berkembar elektrik juga tinggi. Disebabkan itu, peluasan landasan berkembar elektrik ke seluruh Semenanjung Malaysia juga perlu dinilai berdasarkan keperluan. Bernama pernah melaporkan, KTMB melabur sebanyak RM15.7 bilion bagi keseluruhan projek ETS yang melibatkan landasan keretapi sepanjang lebih 700 kilometer.

“Ini semua bersifat timbal balik. Kami ingin memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan efisien kepada pengguna dan kami mahu membuat kehidupan orang ramai lebih mudah. Justeru, pelaburannya juga perlu setanding. Bayaran tambangnya juga perlu dinaikkan sesuai dengan kemudahan yang diberikan. Bagaimanapun, kami belum menetapkan tambang yang bakal dikenakan untuk ETS,” katanya sambil turut menjelaskan perkhidmatan kereta api di negara ini dilihat lebih terkehadapan berbanding dengan kebanyakan negara jiran.

Katanya, KTMB menjangkakan ETS bakal menarik perhatian lebih ramai golongan profesional dan ahli perniagaan untuk menggunakan perkhidmatan kereta api.

in 01.4 KL  Ipoh 1 jam 55 minit

GAMBAR ilustrasi menunjukkan rekaan dalaman ETS yang mesra pengguna termasuk golongan kurang upaya.


“Berasaskan kemudahan yang lebih selesa dan perkhidmatan yang lebih laju, ia boleh menarik lebih ramai komuniti profesional dan ahli perniagaan yang sering berulang-alik ke destinasi-destinasi terlibat,” katanya.

Seiring dengan imej ETS yang moden, Aminuddin berharap ETS dapat meningkatkan imej KTMB.

“Saya berharap ETS dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai. Dengan imej baru ini, KTMB dapat mencetuskan budaya kerja yang lebih proaktif, dinamik dan mesra pelanggan,” ujarnya.