Tidak perlu terburu-buru untuk mendapatkan bahan bacaan anak-anak. Dengan melayari blog milik seorang ibu muda, anda dapat membaca serba sedikit sinopsis buku cerita sebelum membuat keputusan untuk mendapatkannya.

MINAT membaca buku sejak kecil mendorong Hui Wearn Tuan, 32, memupuk sifat itu kepada dua cahaya mata kesayangannya. Dia berpendapat pada usia tiga bulan sebenarnya merupakan tempoh terbaik untuk anak dididik dengan minat membaca.
Keberkesanannya dapat dilihat apabila anak itu sendiri yang akan meminta ibu bapa membaca buku kepada mereka. Perkara itu akan terjadi sebaik sahaja mereka ingin tidur atau ketika bermain.
Persekitaran rumah yang dipenuhi dengan bahan bacaan ilmiah juga membuatkan anak-anak mudah terbiasa dengan tabiat membaca.
Disebabkan kedua-dua anak Wearn Tuan mempunyai minat yang sama, maka jumlah buku yang dapat dikumpul sehingga kini mencecah 300 buah.
Kesemua buku tersebut merupakan buku cerita kanak-kanak yang dipenuhi dengan pelbagai karakter kartun menarik. Setelah anaknya semakin membesar dan bilangan buku kian bertambah, Wearn Tuan mengambil keputusan untuk menjualnya menerusi blog.
Peringkat umur
“Buku kanak-kanak yang saya beli sesuai mengikut peringkat umur mereka. Tetapi, lama-kelamaan jumlah buku semakin banyak. Jadi, saya fikir ada bagusnya jika ia dijual pada harga yang lebih murah.
“Mulanya saya cadang mahu buka gerai kecil di bazar, tetapi disebabkan susah sebab ada anak, maka saya memilih untuk menghasilkan blog sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam tempoh hanya tiga bulan, Wearn Tuan cukup berpuas hati kerana dapat menjual lebih daripada 40 buah buku kanak-kanak. Dia langsung tidak menyangka buku yang dijualnya itu mendapat sambutan. Sejak itu, dia sentiasa mengemas kini blognya.
Blogger separuh masa itu pernah membuat iklan jualan buku melalui e-Bay selama dua tahun, tetapi sambutannya tidak sehebat blog. Ini kerana di laman blog, dia bebas mendekorasi dan menambah bahan. Misalnya, meletakkan sinopsis cerita atau memaparkan gambar menarik dengan lebih banyak.

Buku bernilai
Wearn Tuan yang juga seorang doktor gigi memberitahu, alasan pertama kenapa dia menjual buku adalah kerana setiap bahan bacaan mempunyai nilai tersendiri.
“Terutama apabila dilihat kepada penulisnya dan di mana ia diterbitkan, sama ada di dalam atau luar negara. Tahukah anda bahawa buku kanak-kanak lebih mahal berbanding harga bahan bacaan golongan dewasa,” ujarnya.
Justeru, dia tidak melepaskan peluang untuk turut serta sekiranya pengeluar buku membuat jualan gudang. Baginya, itulah masa untuk dia mendapatkan seberapa banyak buku cerita untuk anak-anaknya.
“Buku kanak-kanak memang mahal. Ia bukannya tebal sangat, tetapi disebabkan buku tersebut memaparkan banyak gambar dan warna, jadi nilainya lebih tinggi.
“Lebih-lebih lagi buku import yang boleh mencecah puluhan ringgit. Namun, anda akan berpuas hati apabila dibawa balik dan anak menyukainya,” tambah Wearn Tuan.
Antara penulis buku cerita kanak-kanak yang ada dalam simpanannya ialah Eric Carle, Judith Kerr, David Kirk, Lauran Child, Lusy Cousins, Oliver Jeffers dan banyak lagi.
Istimewanya lagi, setiap keluaran buku mempunyai siri yang membuatkan ibu bapa berminat untuk terus mendapatkannya. Malah setiap karakter yang dipamerkan juga mempunyai nama tertentu.
Ini bermakna kanak-kanak akan mudah mengingatinya dan akan meminta ibu bapa mereka untuk membelinya.
“Apabila anak-anak suka, mereka akan sentiasa meminta sama ada buku yang baru atau mengulang baca buku yang sama. Ini satu perkembangan yang bagus. Saya juga ada ramai pembeli yang sentiasa ingin mengikuti cerita daripada penulis yang sama,” jelasnya lagi.
Warna-warni
Menceritakan mengenai blognya, http://littleredreadingnook.blogspot.com, katanya, paparan laman yang menggunakan warna merah dan merah jambu benar-benar menarik perhatian ramai.
Sebaik sahaja anda klik laman itu, susunan yang kemas memudahkan mereka yang ingin mendapatkan buku-buku tersebut membuat pilihan. Di ruang atas, kotak tawaran buku-buku terbaru disediakan. Kemudian disusuli pula dengan status buku sama ada sudah terjual, ditempah atau masih belum dijual.
Selain itu, ada juga kategori bagi ibu bapa yang ingin membeli mengikut pilihan 21 jenis buku, selain papan susun suai, kad, DVD atau CD dan banyak lagi.
Bagi ibu bapa yang ingin memupuk minat membaca anak-anak, anda boleh melayari blog itu dan memilih judul buku bersesuaian dengan usia anak masing-masing.
-kosmo





