Rencana bedah 3D
SEKUMPULAN doktor dari Switzerland kini melakukan bedah siasat atau autopsi tanpa membedah tubuh si mati. Ini kerana mereka menggunakan pengimbas tiga dimensi (3D) yang boleh mengesan sehingga 80 peratus punca kematian berdasarkan laporan Reuters baru-baru ini.
Michael Thali, seorang profesor di University of Berne, Switzerland dan rakan-rakan sekerjanya telah membangunkan satu sistem yang dinamakan virtopsi. Ia sebenarnya telah digunakan sejak tahun 2006 untuk memeriksa si mati yang mati secara mengejut atau punca yang aneh.
“Tanpa membuka atau memotong tubuh badan, kami boleh mengesan 60 hingga 80 peratus kecederaan dan punca kematian,” terang Thali yang berdiri di sebelah pengimbas itu di makmalnya.
Kelebihan autopsi maya itu ialah ia bersifat digital, mempunyai rekod tetap yang dicipta untuk membolehkan perkongsian menerusi Internet.

Semasa autopsi yang mengambil masa kira-kira 30 minit, si mati diletakkan di atas meja pemeriksaan manakala permukaan pengimbasnya yang lebih besar daripada kotak dihubungkan dengan lengan robotik yang menjejaki kontur seluruh tubuh.
Dua juruteknik yang berpakaian kot putih kemudian menggunakan komputer untuk menilai penemuan.
“Pada masa ini hanya kami di dunia ini yang menggabungkan imbasan permukaan dengan imbasan bergema magnetik CT, bedah siasat angiografi dan bedah siasat biopsi,” kata Thali yang memberitahu kos pemasangannya lebih daripada AS$1.98 juta (RM6.7 juta).
Pengimbas CT membentuk imej kecederaan tengkorak manakala pengimbas magnetik mengeluarkan imej-imej tisu yang lebih halus, kata Thali. Angiografi pula memberikan visual dalaman kapilari darah.
“Ia mempunyai kelebihan yang besar kerana anda tidak perlu merosakkan tubuh si mati dan anda boleh melihatnya dalam bentuk 3D dan lakukan analisis,” kata Thali.
Baju dalam golf
ANDA seorang wanita yang gemar bermain golf tetapi sering kesibukan? Inovasi terbaru dari syarikat terkemuka pembuatan baju dalam ini pasti mengujakan.
Triumph baru-baru ini memperkenalkan sejenis baju dalam yang membolehkan ia ditukar menjadi ‘permaidani golf.’ Produk itu dinamakan ‘make-the-putt bra’.

Pakaian tersebut memiliki slot yang menyembunyikan bahagian tee golf dan bukaan gulungannya boleh menjadi permaidani lembut.
Produk itu dipamerkan di ibu pejabat syarikat tersebut di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Katil tukar kerusi roda
SYARIKAT pembuatan mesin di Jepun, Japan Logic Machine baru-baru ini mempamerkan mesin terbarunya berupa katil yang boleh berubah menjadi kerusi roda.

Dicipta khusus untuk penjagaan warga emas dan kurang upaya, katil itu dikendalikan robot yang dinamakan Yurina.
Produk itu dipamerkan di Pameran Robot Antarabangsa di Tokyo, Jepun dan kira-kira 200 pembuat robot menyertai pameran selama empat hari itu.
Ingat yang dicintai, kurang sakit
KATA orang, cinta itu menyakitkan. Tetapi, ia juga membuatkan manusia berasa lebih baik.
Dalam satu kajian terbaru, para pengkaji telah mengenakan rangsangan haba kesakitan sederhana pada lengan 25 orang wanita. Dalam satu sesi mereka dikenakan rangsangan itu sambil memegang tangan teman lelaki mereka, sementara sesi yang lain mereka dikehendaki memegang tangan lelaki yang tidak dikenali atau memegang bola. Wanita-wanita itu melaporkan mereka kurang berasa sakit apabila memegang tangan teman lelaki.
Dalam ujian kedua pula, mereka dikenakan rangsangan yang serupa tapi kali ini mereka tidak perlu memegang tangan teman lelaki, lelaki asing atau bola. Sebaliknya, mereka hanya diberikan gambar teman lelaki, lelaki asing dan kerusi.

Kajian mendapati melihat foto teman lelaki mereka boleh menyebabkan mereka berasa kurang sakit berbanding foto yang lain.
Pengkaji-pengkaji dari Amerika Syarikat (AS) itu berkata, kajian tersebut mencadangkan nasihat praktikal: Jika anda mengalami tekanan atau kesakitan, dan anda tidak mempunyai tangan seorang yang anda cintai untuk dipegang, sekurang-kurangnya dapatkanlah fotonya.
Kajian tersebut bagaimanapun berskala kecil dan lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk lebih mengesahkannya dan mendalami mengapa keputusan sebegitu diperoleh. Kajian itu diperincikan dalam jurnal Psychological Science.
-kosmo