Peminta derma berleluasa


PEMINTA derma dikatakan dari pertubuhan kebajikan tertentu menunggu orang yang keluar masuk bank.

Sanggup jadi ‘jaga’ bank untuk minta sumbangan orang ramai

SEREMBAN: Walaupun bukan pada Ramadan, tetapi kumpulan peminta sedekah dan pemungut derma didapati menjadikan bank sekitar Senawang dan Ampangan, dekat sini sebagai ‘lubuk’ untuk meneruskan kegiatan itu.

Tinjauan mendapati mereka bertindak seperti ‘pengawal kedua’ di bank berkenaan apabila ‘membuka kaunter’ dengan duduk berdekatan pintu masuk bagi meminta derma dan meraih simpati orang ramai, bermula dari bank beroperasi hingga ditutup.

Mereka menggunakan alasan kononnya derma itu dikutip untuk pembinaan masjid, surau, madrasah atau sekolah agama tetapi menghairankan sebahagian besar kawasan berkenaan terletak di kawasan utara.

Namun, tiada siapa yang tahu kebenaran di sebalik dakwaan itu atau ia hanya dijadikan alasan mereka untuk mengambil kesempatan atas sikap pemurah dan penyayang rakyat negeri ini yang sememangnya suka menderma.

Persoalannya, mengapa kumpulan itu meminta derma di sini, atau tiada dermawan di kawasan mereka, atau mungkin penguatkuasaan di negeri ini yang kurang tegas menyebabkan mereka bebas menjalankan aktiviti itu?

DENGAN berbekalkan dua kerusi, dan satu tabung derma, peminta derma akan menunggu penderma sejak pagi sehingga tamat waktu operasi bank.

Walaupun ada di kalangan pelanggan bank yang bersimpati dengan menghulurkan derma, tetapi tidak kurang juga di kalangan pelanggan yang kurang menyenangi kegiatan itu kerana merimaskan dan mengganggu mereka untuk berurusan.

Rafidah Mohd Raoh, 33, berkata perbuatan kumpulan berkenaan meminta derma di bank mencemarkan imej agama Islam dan seolah-olah agama suci itu menggalakkan umatnya meminta sedekah.

“Kumpulan ini sering memaksa pengunjung bank untuk menderma dengan mengeluarkan kata-kata yang membuatkan pengunjung terpaksa menderma.

“Cara mereka ini mengelirukan kerana walaupun ada maklumat pertubuhan yang mereka wakili di tabung derma, namun orang awam tidak tahu, sama ada pertubuhan itu wujud atau sengaja diwujudkan demi mengaut keuntungan,” katanya.

Katanya, sepatutnya ada cara yang lebih beradab untuk meminta bantuan dan bukannya seperti mengemis dengan menghantar orang menunggu di pintu bank walaupun tujuannya baik untuk meminta sumbangan pembinaan masjid atau surau.

Mohd Nor Adzmi Abdullah, 27, berkata kumpulan peminta derma ini didapati mempamerkan surat pengesahan dan sokongan dari pihak berkuasa agama bagi meyakinkan orang ramai, tetapi tidak pasti sama ada ia tulen atau palsu.

“Sikap prihatin penduduk menyebabkan ‘jaga bank’ kedua ini berleluasa meminta derma. Selalunya, kita hanya memberi dan tidak pernah mempersoalkan dari mana mereka datang dan adakah kumpulan itu diberi kelulusan untuk meminta derma.

“Biasanya mereka ini akan menggunakan alasan agama untuk meraih simpati dan meyakinkan orang ramai supaya menderma,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kegiatan kumpulan berkenaan, sama ada perbuatan mereka ini sah di sisi undang-undang atau mereka hanya ingin mengaut keuntungan dengan cara yang mudah.

“Perbuatan mereka ini mendatangkan perasaan marah dan mengganggu orang awam yang berkunjung ke bank. Tidak salah mereka meminta derma, tetapi biarlah dengan kaedah yang betul dan sah disisi undang-undang,” katanya.

-bharian