Telefon ini bakal menghasilkan kuasa, fleksibiliti dan ruang untuk pengubahsuaian bagi manfaat pengguna dan penyedia khidmat selular.
![]() |
|
TELEFON pintar Mini 3 dipasarkan melalui China Mobile, sebuah syarikat telekomunikasi terbesar dunia dengan lebih daripada 500 juta pelanggan.
|
Platform Android mula menjadi pilihan pengeluar telefon pintar sebagai satu alternatif. Jika sebelum ini Windows Mobile menjadi pilihan utama kebanyakan pengeluar, kini mereka mempunyai satu pilihan yang tidak kurang hebatnya.
Populariti sistem operasi telefon bimbit milik Google itu bukan sahaja meningkat dalam kalangan pengguna, tetapi juga dalam kalangan pembangun aplikasi kerana konsep kod sumber terbuka (open source), membolehkan para pengaturcara dan individu berminat untuk memperbaiki atau membangunkan aplikasi baru Android.
Dell, salah sebuah pengeluar komputer terbesar di dalam industri teknologi maklumat turut tidak ketinggalan dalam menghasilkan telefon bimbit mereka.
Sungguhpun sebelum ini, mereka pernah menghasilkan Axim, PDA (Personal Digital Assistant) yang berjaya menawan hati golongan profesional, namun Dell tidak tergesa-gesa berhijrah ke dunia telekomunikasi ketika kebanyakan pengeluar lain berlumba-lumba menghasilkan telefon bimbit mereka sendiri.
Baru-baru ini, Dell mengumumkan rancangan mereka untuk memasuki pasaran telefon pintar dengan produk mereka yang bakal menggunakan platform Android.
Telefon yang dinamakan Mini 3 itu bakal menghasilkan kuasa, fleksibiliti dan ruang untuk pengubahsuaian bagi manfaat pengguna dan juga penyedia khidmat selular.

Dell turut mengumumkan persepakatan dengan dua operator perkhidmatan selular terbesar dunia, China Mobile dan Claro.
Selain itu, Dell merancang untuk memasarkan Mini 3 melalui China Mobile, syarikat telekomunikasi terbesar dunia dengan lebih daripada 500 juta pelanggan dan Claro yang memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 42 juta pelanggan di Brazil, sebagai sebahagian daripada rangkaian America Movil.
Dengan jumlah sasaran pengguna telefon bimbit yang begitu tinggi, Mini 3 dijangka mendapat pasaran yang lebih besar berbanding pengeluar lain.
Langkah memasuki pasaran itu merupakan satu tindakan yang penting untuk perniagaan konsumer global dan juga Dell. Penganalisis industri meramalkan menjelang 2014, lebih daripada 2 bilion pengguna akan mengakses Internet menggunakan peranti bergerak seperti telefon bimbit.
Awal tahun ini, Dell yang merupakan pengeluar komputer riba mini (netbook) pertama yang menggabungkan perkhidmatan 3G China Mobile terus mencatat jualan netbook tertinggi di China.
Telefon pintar Mini 3 seperti yang diumumkan oleh Dell bakal mempunyai skrin sesentuh berdefinisi tinggi (HD) berukuran 3.5-inci dengan sensor accelerometer dan papan kekunci maya yang terpapar pada skrin.
Selain itu, telefon tersebut juga bakal dilengkapi dengan ciri seperti telefon pintar biasa seperti kamera 3.1 Megapiksel, GPS, 3G, Bluetooth dan USB. Ia turut bakal menggunakan pelayar web dan aplikasi bergerak Google yang boleh dimuat turun secara percuma.

Apa yang nyata, Android mula menjadi platform pilihan beberapa buah syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Kira-kira sebulan lalu, Motorola turut melancarkan produk Android mereka yang diberi nama Droid.
HTC turut memilih Android dalam menghasilkan Droid Eris mereka. Tahun hadapan tentunya bakal memperlihatkan lebih banyak lagi telefon versi Android, menjadikan pasaran telefon pintar lebih kompetitif.
-kosmo
