Penyampai berita animasi





BERITA tidak baik buat penyampai berita di televisyen! Anda mungkin tidak perlu mencari kerja yang lain sekarang tapi masa depan kerjaya itu menjadi tanda tanya. Ini kerana, beberapa pelajar dan profesor di Northwestern University, Amerika Syarikat (AS) sedang mengusahakan penyampaian berita futuristik yang mungkin mencerminkan senario penyampaian berita pada masa akan datang.

Projek yang dinamakan News at Seven itu menggunakan satu program perisian menghasilkan persembahan penyampaian berita oleh penyampai berita animasi. Ia bercakap menggunakan teknologi text-to-speech.

Siaran berita boleh diubah suai berasaskan Internet itu rancak diusahakan di Intelligent Information Lab (InfoLab), McCormick School of Engineering and Applied Science, Northwestern University, Illinois sejak lebih tiga tahun lalu.

Pengkaji melakukan percubaan dengan mengeluarkan berita-berita tertentu, misalnya daripada web dan memadankannya dengan gambar dan video. Mereka juga menghasilkan skrip.


CONTOH beberapa penyampai animasi yang diusahakan oleh profesor dan pelajar dari Amerika Syarikat.


Penonton boleh memilih seleksi digital avatar (rupa penyampai berita animasi) atau mengubah suai penyampai berita mengikut kehendak mereka.

Bagaimanapun Pengarah InfoLab yang merupakan seorang profesor bidang kejuruteraan elektrik dan sains komputer, Kristian Hammond berkata, suara yang digunakan oleh avatar digital yang masih menjadi masalah buat masa ini.

“Proses pengumpulan maklumat nampak lebih baik daripada penyampaian,” kata Hommond kepada AFP.

“Suara penyampaian berasaskan komputer lazimnya buat masa ini tidak begitu berekspresi,” katanya. “Kekurangan itu yang membataskan prestasi sistem,” katanya.

Hammond berkata, projek itu telah menimbulkan minat daripada beberapa organisasi media. Bagaimanapun identiti media itu tidak didedahkan.

Robot bantu mengajar

SEBUAH robot humanoid terbaru telah diperkenalkan baru-baru ini di Miyashiro, Jepun. Robot yang berwarna coklat itu dikatakan dicipta untuk tujuan pendidikan.


BEBERAPA pelajar dari sebuah institut di Jepun mengamati rekaan robot berketinggian 162 sentimeter itu.

Robot yang mempunyai ketinggian 126 sentimeter itu kelihatan berlari di Microsoft Robotic Developer Studio. Ia memiliki 21 aktuator dan variasi sensor.

Robot tersebut dibangunkan oleh ZMP Inc and Nippon Institute of Technology. Ia menjadi alat bantu mengajar bagi guru-guru di samping mempunyai projektor di kepalanya.

Lelaki tangan robotik

SEORANG lelaki kudung, Pierpaolo Petruzziello telah mengambil bahagian dalam satu eksperimen yang mengagumkan oleh sekumpulan saintis Eropah. Saintis-saintis mendakwa mereka telah berjaya menghubungkan Petruzziello dengan sebuah tangan robotik menggunakan elektrod ke tubuh badannya.


PETRUZZIELLO bergambar dengan tangan robotiknya di Rom, Itali baru-baru ini.


Dengan itu, ia membolehkannya mengawal tangan robotik itu menggunakan fikirannya dan merasai sensasi lengan tiruan. Saintis berkata, itu adalah kali pertama seorang kudung dapat melakukan pergerakan yang kompleks menggunakan minda untuk mengawal tangan biomekanik yang dihubungkan ke sistem sarafnya.

Eksperimen itu telah berlangsung selama sebulan. Kejayaan eksperimen itu telah diumumkan dalam satu sidang media di Rom, Itali baru-baru ini.

-kosmo