![]() Zalila Atan |
Undang malapetaka atau kebaikan kepada pengguna wanita?
AWAS kasanova Facebook! Tajuk akhbar mengenai lagak seorang lelaki dari London digelar ‘The Sperminator’ yang menggunakan laman Facebook bagi memperdaya wanita sehingga hamil menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan wanita di alam siber.
Menggunakan rayuan ‘Seratus juta sperma masuk ke dalam rahim dan hanya satu yang menjadikan kamu. Maknanya, kamu adalah yang terbaik’ menjadi senjata bagi Dominic Baronet untuk terus menjerat mangsa.
Namun begitu, selepas satu demi satu rekod buruk Facebook tersebar, laman jaringan sosial itu kekal fenomena pilihan ramai orang ketika ini untuk bersosial selepas Friendster, MySpace dan blogging.
Malah, ketika artikel ini ditulis, statistik diperoleh daripada CheckFacebook.com mencatatkan laman itu mempunyai seramai 316.4 juta ahli di seluruh dunia, dengan 1.08 peratus iaitu kira-kira 3,425,300 pengguna adalah dari Malaysia.
Statistik sama juga menunjukkan peratusan pengguna wanita dari negara ini melebihi jumlah pengguna lelaki iaitu sebanyak 1,723,360 berbanding 1,678,140 pendaftar lelaki.
![]() |
| Natalie Hang |
Kelompok pengguna berusia 18 hingga 24 tahun paling kerap melayari laman ini diikuti 33.9 peratus atau 1,148,660 pelayar berumur 24 hingga 34 tahun.
Bagi Natalie Hang ,24, gadis manis kacukan Cina Inggeris, pengalaman berkawan dengan seorang jejaka di Facebook amat menakutkan untuk diingati semula. Perkenalan berlaku secara tidak sengaja ketika menemani rakan yang menerima rawatan akibat kemalangan ketika menunggang basikal mempertemukan beliau dengan seorang jejaka Irish di sebuah hospital di London.
“Kami hanya berborak santai sambil dia sendiri menunggu untuk mendapatkan rawatan kerana berdepan masalah alkohol, tapi ketika itu, memang tiada apa yang meragukan mengenai lagaknya.
“Malah, saya akui begitu senang berbual dengannya. Ketika pertemuan singkat itu, dia sempat mengenalkan diri dan meminta mencarinya di Facebook,” kata Natalie sambil mengakui jejaka dikenalinya itu mempunyai perawakan menarik.
Tidak terlalu rapat mengenali, tetapi Natalie mengakui sering berhubung dengan lelaki itu menerusi Facebook. Bagaimanapun, suatu hari, Natalie tergerak hati untuk membuat carian nama lelaki itu di Internet dan mengejutkan apabila carian menunjukkan lelaki itu sebenarnya mempunyai rekod jenayah melampau.
“Namanya agak jarang digunakan ramai orang dan saya percaya dia adalah penjenayah itu dan berdasarkan cerita dia dengan laporan keratan akhbar berkenaan, membuat saya terus mengesyaki rakan Facebook saya itu seorang yang ‘bermasalah’,” katanya.
Keratan akhbar itu memberitahu, rakan dikenalinya itu yang tinggal merempat mempunyai rekod jenayah, menyerang dan merompak seorang pelancong gay dari Kanada serta dikatakan mempunyai sejarah penyakit mental.
Daripada artikel sama yang masih boleh dibaca di Internet, mangsanya itu diserang dengan batu dan tong pemadam api, diikat separuh bogel menggunakan pakaian dan bidai di sebuah bilik hotel yang menjadi persinggahan mereka selepas bertemu di bar gay.
“Kemudian, mangsa diikat pula dengan wayar telefon sebelum diugut supaya mendedahkan nombor pin kad bank sebelum mencederakan diri sendiri menggunakan kaca,” katanya yang terus menyekat akses akaun Facebook daripada terus dikunjungi lelaki itu kerana bimbang maklumat mengenainya ada tertera di laman berkenaan.
Bagaimanapun, di sebalik pengalaman menakutkan itu, Natalie berkata, beliau mengakui Facebook adalah medium komunikasi paling mudah untuk meluaskan pergaulan, malah turut menggunakan kaedah sama berhubung bersama rakan lama yang tinggal berjauhan.
“Peluang ditipu dan berdepan bahaya tidak hanya di Facebook kerana di luar juga penuh dengan pancaroba, namun sebagai seorang wanita, kita tidak harus lalai dalam aspek keselamatan diri.
“Di Facebook ada pengaturcara yang boleh dikawal pemilik akaun dan jika kita mengenali seseorang yang mempunyai niat tidak baik atau boleh mengundang bahaya kepada diri, semuanya boleh diatasi atas kesedaran sendiri,” katanya.
Peluang berhubung dengan rakan sekolah lama
LAIN ceritanya bagi tenaga pengajar Institut Kemahiran Mara Jasin, Zalila Atan, 35, yang mula berjinak-jinak dengan dunia Facebook kira-kira sebulan lalu kerana katanya laman jaringan sosial terbaru didaftarkan selepas MySpace menemukannya dengan ramai kawan yang sudah lama terputus hubungan.
“Saya mendaftar pun selepas tidak tahan diejek rakan yang mengatakan laman MySpace hanya untuk golongan tua, tapi selepas membuka akuan Facebook, saya benar-benar tidak sangka dapat bertemu semula kawan lama ketika sekolah.
“Tidak setakat itu, kami juga telah sepakat menganjurkan majlis perjumpaan semula rakan-rakan dari Sekolah Menengah Ayer Tawar selepas Aidiladha nanti,” kata ibu muda kepada tiga anak itu gembira.
Sehingga kini, Zalila mempunyai seramai 83 orang kawan siber terdiri daripada rakan yang dikenali di Yahoo Messenger (YM), kawan sepejabat dan kenalan lama dari zaman persekolahan.
“Seronok betul dapat jumpa kawan-kawan lama ketika sama-sama bersekolah dulu. Ada yang sudah lebih 15 tahun tidak bertemu muka dan itu yang paling ditunggu kerana tidak sabar hendak melihat perubahan diri mereka,” katanya sambil tertawa.
Bagaimanapun, tidak pernah membiarkan diri terleka dengan kecanggihan teknologi sementelah beliau sendiri mempunyai suami dan anak-anak, malah Zalila pastikan tidak sewenang-wenang mengesahkan permintaan ‘friend request’ daripada individu yang tidak dikenali.
“Saya juga tidak berani menerima pelawaan rakan yang dikenali di YM untuk bertemu, bukan kerana sombong, tapi sekadar beringat, bimbang juga terjadi apa-apa yang tidak diingini.
“Tetapi kalau berjumpa beramai-ramai diiringi keluarga masing-masing mungkin boleh dipertimbangkan, itupun mungkin selepas lama mengenali antara satu sama lain,” jelasnya.
Tidak sekadar seronok bertemu rakan lama menerusi Facebook, Zalila berkata, di situ juga beliau dapat mengimbau kembali kenangan sewaktu muda melalui foto lama yang dimuat turun oleh kawan-kawan lama.
“Ada juga yang memasukkan gambar kahwin selain gambar lama ketika tengah comot dulu. Itu yang paling kelakar, boleh dijadikan bahan cerita saat bertemu mereka nanti,” katanya sambil tertawa.
FAKTA
Pengguna Facebook seluruh dunia : 316,402,840
Top 10
1. Amerika Syarikat 94,748,820
2. United Kingdom 22,261,080
3. Turki 14,215,880
4. Perancis 13,396,760
5. Kanada 13,228,380
6. Itali 12,581,060
7. Indonesia 11,759,980
8. Sepanyol 7,313,160
9. Australia 7,176,640
10. Filipina 6,991,040


Pingback: IMCurtain.com
facebook is quite addictive in the beginning..
but it gets bored as time passes by.. =P