Matematik lebih menyeronokkan




Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela tetapi bagaimanakah ini boleh dilakukan?

fa 01.1 Matematik lebih menyeronokkan


KUNCI kepada kemahiran mengira bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah mengenali nombor-nombor asas dari satu ke lima sebelum memasuki peringkat lebih tinggi.

Ini termasuk menyusun nombor mengikut urutan, menghitung objek satu persatu atau menolak serta menambah nombor. Paling penting adalah bagaimana untuk meletakkan kemahiran ini ke dalam konteks pengiraan atau menyelesaikan sesuatu masalah sebenar.

Di sekolah, masalah matematik diajar menggunakan bahasa matematik dan kemahiran menyelesaikan masalah. Tetapi, apa yang lebih penting adalah mengajar anak tentang nombor dan matematik melalui kaedah yang lebih bermakna dan menyeronokkan.

Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa kemahiran mengira boleh dikaitkan dengan kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh si anak.

fa 01.2 Matematik lebih menyeronokkan

OBJEK-OBJEK yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mengajar anak tentang penambahan serta penolakan.

Berikut adalah beberapa idea bagaimana untuk membuatkan anak menikmati sesi ‘pengiraan’:

*** Tunjukkan kepada anak tentang apa sahaja yang bernombor di sekitar rumah atau ketika keluar bersiar-siar. Kalendar, jam dinding, telefon, rumah, bas dan nombor plat kereta adalah contoh terbaik untuk memberi anak perhatian positif terhadap segala yang berkait dengan nombor.

Pada mulanya anak akan mengenali ia sebagai angka sebelum memahami apa sebenarnya ia. Selepas itu, ia menyenangkan anda membantu anak melihat urutan serta membaca nombor-nombor tersebut.

*** Berikan anak pengenalan asas tentang masalah kiraan harian. Apabila membuat kek, anda boleh mengira bilangan telur, amaun gula pasir, berapa sudu teh air dan sebagainya.

Atau sewaktu membahagikan snek kepada rakan-rakan, anak anda boleh menjadi ‘tukang pengukur’ sama ada amaun yang diberikan sama rata. Mintalah anak membantu anda ketika menyediakan makan malam. Dia boleh diajar menghitung bilangan sudu dan garpu di atas meja.

Makanan sesungguhnya adalah insentif yang baik. Bijirin mahupun pasta kering boleh dikira sebelum dimakan. Ataupun anda boleh menghiaskan biskut-biskut mahupun mufin dengan kepingan gula yang cantik untuk dikira oleh anak.

*** Objek-objek asli seperti kulit kepah atau biji pokok ru juga merupakan satu kaedah menarik untuk digunakan sebagai bahan kiraan. Pastikan anak mengira satu-satu jenis objek pada sesuatu masa. Ini mungkin mengambil sedikit masa sebelum dia benar-benar mahir.

Tetapi, objek-objek yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mendidik anak tentang penambahan serta penolakan. Formula menambah dan menolak akhirnya akan dihafal oleh anak yang lebih dewasa bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah yang lebih kompleks dengan pantas.

Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela. Jika anak anda suka bermain dengan kereta, letakkan pelekat bernombor pada kereta atau minta anak untuk menyusun semula kotak-kotak kasut mengikut urutan nombornya. Perkara yang sama boleh dilakukan untuk keretapi.

*** Jika anak anda suka bermain permainan yang melibatkan watak, gunakan barang permainan atau telefon lama untuk ‘menelefon’ rakan-rakan, ahli keluarga yang lain, doktor atau sekadar menempah piza. Tuliskan nombor dalam buku ‘telefon’ tersebut.

*** Rekakan angka menggunakan adunan tepung atau guntingkan penyedut air untuk dijadikan lilin palsu di atas ‘kek’ bagi tujuan kiraan. Berlakonlah seakan anda adalah peniaga dengan menggunakan duit sebenar dan letakkan tanda harga pada makanan atau barangan mainan untuk tujuan jual beli.

*** Nyanyikan lagu yang melibatkan nombor sambil menghitung menggunakan jari, barang permainan atau binatang plastik. Berbincanglah dengan anak tentang urutan nombor sebelum dan selepas. Gunakan kad-kad bergambar sebagai bantuan.

*** Untuk anak yang lebih aktif, gunakan lukisan bernombor yang besar atas kad atau kertas untuk menarik perhatiannya. Pilihlah sebarang nombor dan mintanya menyebut nombor tersebut. Satu lagi alternatif lain adalah dengan melabelkan nombor pada kotak-kotak dan membiarkan anak membuang bola ke dalam kotak berbeza bagi mengumpulkan mata.

*** Dapatkan anak untuk bermain permainan klasik yang melibatkan pengiraan seperti ‘Pukul berapa sekarang?’ atau mengambil bahagian dalam permainan ‘ular dan tangga’.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.supernanny.com.

235 total views, 1 views today

Trackbacks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam