Krisis kewangan tingkatkan jualan basikal di Taiwan





DUA wanita berbasikal di Taipei, Taiwan.


TAIPEI – Sejak enam bulan lepas, Wayne Hsu mengayuh basikal selama 45 minit setiap hari ke pejabat dan gembira melakukannya kerana dia dapat mengurangkan kos petrol.

Petugas sektor penerbangan di daerah Taoyuan, utara Taiwan itu menyumbang kepada peningkatan orang ramai yang memilih untuk berbasikal berbanding memandu kereta berikutan kenaikan inflasi dan kemelesetan melanda pulau itu.

“Mengayuh basikal merupakan satu cara senaman murah dan saya menggalakkan rakan-rakan sekerja dan bos supaya mengikuti jejak langkah saya,” katanya.

Minat orang ramai yang semakin meningkat dengan aktiviti berbasikal menjadi pemangkin kepada industri pengeluaran basikal tersebut di Taiwan.

Sebelum ini, pulau itu adalah pengekport basikal terbesar di dunia tetapi penjualan menjadi lemah sejak pertengahan tahun 1990-an ekoran kenaikan kos menyebabkan kilang-kilang basikal berpindah ke tanah besar China. Kini China merupakan pembekal basikal murah utama dunia manakala Taiwan kekal sebagai pengeluar produk yang lebih mahal seperti basikal lumba dan gunung yang berharga sekitar AS$222 (RM783).

Setakat ini belum ada maklumat rasmi berhubung jumlah penjualan basikal di pasaran tempatan tetapi badan-badan pemantau industri menganggarkan ia dijual sekitar satu juta kepada penduduk Taiwan pada tahun lepas.

“Perniagaan berkembang pada tahun lalu dan tahun ini merupakan tahun terbaik,” kata jurucakap syarikat pengeluar utama basikal dunia, Giant Inc., Jeffrey Sheu.

Penjualan basikal keluaran Giant pada Ogos dan September lepas masing-masing meningkat 27 dan 35 peratus kepada AS$120 juta (RM423.5 juta) dan AS$126 juta (RM444.6 juta).

“Pekerja-pekerja kami terpaksa bekerja lebih masa bagi memenuhi permintaan yang meningkat,” tambahnya.

Menurut Sheu, ketika inflasi meningkat dan pasaran kewangan kian runtuh, pengeluaran basikal dan perniagaan-perniagaan yang membantu orang ramai berjimat-cermat semakin popular apabila rakyat mula mengurangkan perbelanjaan mereka.

Seorang peminat aktiviti berbasikal di ibu kota Taipei, Ed Lu berkata, mengayuh basikal membantunya untuk memenangkan fikiran.

“Jika lebih ramai orang mula berbasikal dan tidak berkereta, kita dapat meningkatkan kualiti udara di bandar-bandar selain mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.

Pemikiran pemuda itu membayangkan peningkatan tahap kesedaran orang ramai dalam memulihara alam sekitar sekali gus mendorong kepada peningkatan jualan basikal di Taiwan. – AFP

-arkibkosmo

Layari internet baik untuk otak





GOLONGAN berusia emas gemar melayari internet untuk mendapatkan berita semasa.

LOS ANGELES – Mereka di peringkat umur pertengahan dan warga emas yang melayari internet dikatakan dapat membantu meningkatkan kemampuan serta kekuatan otak individu.

Pengkaji Universiti California, Profesor Gary Small dalam kajian dimuatkan American Journal of Geriatric Psychiatry, mendapati internet merangsang pusat otak yang berfungsi mengawal manusia untuk membuat keputusan dan aktiviti pergerakan.

Penemuan ini dapat membantu mereka pada peringkat umur tersebut kerana usia lanjut menyebabkan pengurangan aktiviti sel yang memungkinkan pretasi otak merosot.

Small memberitahu, aktiviti seperti teka silang kata dapat membantu meminimumkan impak otak selain melayari internet yang mempunyai banyak permainan berkaitan dengan minda. – Agensi

-kosmo

Mudah mengurus kehidupan harian




pengguna sentiasa di hadapan dengan Sony Ericsson Naite.


Adakah anda seorang yang sibuk dan sentiasa berada di luar kawasan? Jika jawapannya ya, mungkin anda memerlukan Sony Ericsson Naite yang boleh meningkatkan mutu gaya hidup. Gajet berkenaan membolehkan anda sentiasa berada di hadapan dengan membantu memberikan pilihan hijau dengan akses segera tanpa mengorbankan inovasi dan reka bentuk. Hanya dengan menekan satu butang untuk mengakses mesej, kalendar, laman sesawang, kontak atau apa saja yang anda selalu gunakan. Membeli jambangan bunga, mengubah temu janji atau menghantar e-mel kepada rakan handai dan taulan malah sahabat sekali pun dengan hanya satu sentuhan butang. Perayauan kelajuan tinggi dan akses dengan hanya satu klik kepada pencarian Google bermakna anda berada di atas talian di mana saja anda berada dan panggilan video membolehkan anda bersemuka dengan kawan dan keluarga pada bila-bila masa. Salah satu pengasas telefon Green Heart yang dilancarkan oleh Sony Ericsson, Naite juga termasuk elektronik, manual in-phone yang menggantikan versi kertas, menjimatkan sehingga 90 peratus penggunaan kertas dan memberikan keselesaan di mana saja anda berada. e-manual juga mengurangkan kesan pengangkutan produk akhir dengan pembungkusan kompak. Diperbuat daripada 50 peratus plastik kitar semula, Naite menggunakan pengecas kuasa rendah yang paling efisien diperkenalkan di pasaran. Terima kasih dengan inovasi berkenaan yang mengurangkan jejak karbon dioksida (CO2) Naite sebanyak 15 peratus. Pengurus Besar Sony Ericsson Malaysia, Alex Wong berkata Naite merupakan telefon yang bukan saja membantu anda menguruskan kehidupan dan kerja malah membenarkan pengguna membuat pilihan lebih ekonomik dengan pengecas berkuasa rendah dan mengurangkan kesan alam sekitar. “Menuju ke arah hijau tidak bermakna pengguna perlu berkorban gaya malah kami mereka telefon dengan ciri yang mengagumkan seperti kelajuan tinggi 3G dan desktop aktif bagi membantu pengguna menguruskan kehidupan mereka yang sentiasa sibuk,” katanya. Naite juga melibatkan aplikasi Ecomate bagi membantu pengguna membuat pilihan ke arah hijau dalam kehidupan seharian selain pengiraan jejak karbon bagi menunjukkan pengguna berapa banyak CO2 yang dijimatkan apabila mereka berjalan kaki berbanding memandu kereta. Naite menyokong GSM/GPRS/EDGE 850/900/1800/1900 dan telah berada di pasaran dengan harga runcit RM599 serta boleh dipilih warna Vapour Silver atau Ginger Red. -utusanmalaysia

Matematik lebih menyeronokkan




Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela tetapi bagaimanakah ini boleh dilakukan?



KUNCI kepada kemahiran mengira bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah mengenali nombor-nombor asas dari satu ke lima sebelum memasuki peringkat lebih tinggi.

Ini termasuk menyusun nombor mengikut urutan, menghitung objek satu persatu atau menolak serta menambah nombor. Paling penting adalah bagaimana untuk meletakkan kemahiran ini ke dalam konteks pengiraan atau menyelesaikan sesuatu masalah sebenar.

Di sekolah, masalah matematik diajar menggunakan bahasa matematik dan kemahiran menyelesaikan masalah. Tetapi, apa yang lebih penting adalah mengajar anak tentang nombor dan matematik melalui kaedah yang lebih bermakna dan menyeronokkan.

Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa kemahiran mengira boleh dikaitkan dengan kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh si anak.


OBJEK-OBJEK yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mengajar anak tentang penambahan serta penolakan.

Berikut adalah beberapa idea bagaimana untuk membuatkan anak menikmati sesi ‘pengiraan’:

*** Tunjukkan kepada anak tentang apa sahaja yang bernombor di sekitar rumah atau ketika keluar bersiar-siar. Kalendar, jam dinding, telefon, rumah, bas dan nombor plat kereta adalah contoh terbaik untuk memberi anak perhatian positif terhadap segala yang berkait dengan nombor.

Pada mulanya anak akan mengenali ia sebagai angka sebelum memahami apa sebenarnya ia. Selepas itu, ia menyenangkan anda membantu anak melihat urutan serta membaca nombor-nombor tersebut.

*** Berikan anak pengenalan asas tentang masalah kiraan harian. Apabila membuat kek, anda boleh mengira bilangan telur, amaun gula pasir, berapa sudu teh air dan sebagainya.

Atau sewaktu membahagikan snek kepada rakan-rakan, anak anda boleh menjadi ‘tukang pengukur’ sama ada amaun yang diberikan sama rata. Mintalah anak membantu anda ketika menyediakan makan malam. Dia boleh diajar menghitung bilangan sudu dan garpu di atas meja.

Makanan sesungguhnya adalah insentif yang baik. Bijirin mahupun pasta kering boleh dikira sebelum dimakan. Ataupun anda boleh menghiaskan biskut-biskut mahupun mufin dengan kepingan gula yang cantik untuk dikira oleh anak.

*** Objek-objek asli seperti kulit kepah atau biji pokok ru juga merupakan satu kaedah menarik untuk digunakan sebagai bahan kiraan. Pastikan anak mengira satu-satu jenis objek pada sesuatu masa. Ini mungkin mengambil sedikit masa sebelum dia benar-benar mahir.

Tetapi, objek-objek yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mendidik anak tentang penambahan serta penolakan. Formula menambah dan menolak akhirnya akan dihafal oleh anak yang lebih dewasa bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah yang lebih kompleks dengan pantas.

Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela. Jika anak anda suka bermain dengan kereta, letakkan pelekat bernombor pada kereta atau minta anak untuk menyusun semula kotak-kotak kasut mengikut urutan nombornya. Perkara yang sama boleh dilakukan untuk keretapi.

*** Jika anak anda suka bermain permainan yang melibatkan watak, gunakan barang permainan atau telefon lama untuk ‘menelefon’ rakan-rakan, ahli keluarga yang lain, doktor atau sekadar menempah piza. Tuliskan nombor dalam buku ‘telefon’ tersebut.

*** Rekakan angka menggunakan adunan tepung atau guntingkan penyedut air untuk dijadikan lilin palsu di atas ‘kek’ bagi tujuan kiraan. Berlakonlah seakan anda adalah peniaga dengan menggunakan duit sebenar dan letakkan tanda harga pada makanan atau barangan mainan untuk tujuan jual beli.

*** Nyanyikan lagu yang melibatkan nombor sambil menghitung menggunakan jari, barang permainan atau binatang plastik. Berbincanglah dengan anak tentang urutan nombor sebelum dan selepas. Gunakan kad-kad bergambar sebagai bantuan.

*** Untuk anak yang lebih aktif, gunakan lukisan bernombor yang besar atas kad atau kertas untuk menarik perhatiannya. Pilihlah sebarang nombor dan mintanya menyebut nombor tersebut. Satu lagi alternatif lain adalah dengan melabelkan nombor pada kotak-kotak dan membiarkan anak membuang bola ke dalam kotak berbeza bagi mengumpulkan mata.

*** Dapatkan anak untuk bermain permainan klasik yang melibatkan pengiraan seperti ‘Pukul berapa sekarang?’ atau mengambil bahagian dalam permainan ‘ular dan tangga’.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.supernanny.com.

Kamera digital dengan WiFi




Keupayaan wayarles pula membolehkan kamera Samsung CL80 disambungkan terus ke mana-mana rangkaian WiFi atau hotspot tanpa memerlukan kehadiran komputer.


MODEL terbaru keluaran Samsung, CL80 bakal menarik perhatian penggemar fotografi.

KAMERA digital mendapat sambutan yang begitu hangat dalam kalangan pengguna seluruh dunia. Ini kerana keupayaannya untuk menyimpan gambar yang diambil terus ke dalam storan kamera tanpa memerlukan filem.

Apa yang lebih menjadi tarikan ialah keupayaannya untuk memindahkan gambar dalam format digital terus ke komputer tanpa perlu mengimbasnya terlebih dahulu – sesuatu yang perlu dilakukan apabila menggunakan kamera biasa.

Pemindahan foto digital ke komputer lazimnya memerlukan sambungan USB dari kamera. Namun, kecanggihan teknologi hari ini membolehkan kita melakukan pemindahan tersebut tanpa memerlukan kabel. Sungguhpun teknologi ini telah wujud sejak beberapa tahun lalu, tetapi ciri-ciri itu hanya terdapat pada kamera DSLR profesional yang berharga sehingga puluhan ribu ringgit.

Samsung memberikan peluang kepada pengguna biasa untuk merasai teknologi ini menerusi model terbaru keluaran mereka, Samsung CL80. Kamera itu dijangka akan menembusi pasaran gajet peringkat pertengahan dan ke atas. Dilengkapi dengan sensor 14 megapiksel, kamera itu mampu merakam imej yang jelas dan terperinci sekali gus membolehkan gambar yang diambil dicetak sebesar poster.

Dilengkapkan dengan tujuh kali pembesaran optikal dan lensa sudut lebar 31-217mm, CL80 membolehkan pengguna mengambil gambar pada jarak yang dekat. Ciri penstabilan imej pula memberikan fleksibiliti ketika mengambil gambar, khususnya kepada mereka yang mempunyai masalah tangan yang bergetar.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan skrin sesentuh AMOLED bersaiz 3.7 inci, ukuran yang agak besar untuk sebuah kamera yang agak kecil. Ciri-ciri lain seperti keupayaan merakamkan video berdefinisi tinggi (HD) sehingga resolusi 720p dan output HDMI untuk ditonton dalam resolusi penuh pada TV berdefinisi tinggi (HDTV). Samsung CL80 menggunakan MicroSD sebagai medium storan bagi menyimpan semua gambar dan video yang dirakamkan.

Kamera ini masih didatangkan dengan sambungan USB 2.0 seperti yang terdapat pada kebanyakan kamera digital lain.

Keupayaan wayarles pula membolehkan kamera itu disambungkan terus ke mana-mana rangkaian WiFi atau hotspot tanpa memerlukan kehadiran komputer.


KAMERA ini dilengkapi dengan tujuh kali pembesaran optikal dan lensa sudut lebar.

Ciri muat naik segera yang unik membolehkan pengguna berkongsi terus gambar yang diambil menerusi laman perkongsian gambar seperti Flickr dan Picasa serta laman jaringan sosial seperti Facebook tanpa perlu disimpan terlebih dahulu ke dalam komputer.

Bagi yang gemar berkongsi klip video yang dirakamkan, Samsung CL80 membolehkan video memuat naik terus ke laman YouTube secara terus.

Album Pintar pada kamera ini pula memudahkan penggunanya melihat simpanan gambar dengan pantas dan menyusun atur gambar mengikut kehendak pengguna termasuk berdasarkan padanan wajah, warna, kandungan dan kesukaan.

Kamera itu dipertontonkan di Pameran Pengguna Elektronik (CES) di Amerika Syarikat pada bulan ini sebelum memasuki pasaran dunia elektronik.

-kosmo