Busana kebaya yang mempunyai sulaman menarik serta kain berkualiti mampu menyerlahkan keanggunan setiap wanita memakainya.

SUDAH menjadi lumrah wanita jika bercakap tentang keinginan untuk sentiasa kelihatan anggun dan bergaya.
Dalam acara tertentu seperti majlis keraian atau kenduri kendara, golongan wanita ini tentu sekali mahu tampil lebih cantik dan sopan. Antara banyak pilihan busana, pemakaian kebaya menjadi popular lebih-lebih lagi jika fabriknya berkualiti tinggi dan diserikan pula dengan sulaman halus lagi mewah.
Bagaimanapun, persoalan yang akan timbul setiap kali ingin mencari set lengkap kebaya yang menepati cita rasa masing-masing.
Idea dan pilihan bagi ciri yang diminati mungkin sedikit sebanyak dapat terjawab apabila seseorang mengunjungi laman web kingofkebaya.blogspot.com.
Pengendali blog berkenaan, Siti Zulaikhah Ahmad Azmi, 24, berkata, koleksi set kebaya yang dinamakan sebagai Fieyka Collection itu menawarkan jenis kain, corak dan kerja sulaman yang bervariasi.
“Walaupun dibawa khas dari Jawa Barat, Indonesia, baju kebaya mempunyai ramai penggemarnya di negara ini tidak kira dalam kalangan masyarakat Melayu, Tionghua, India ataupun Sikh,” katanya.
Set kebaya ditawarkan Siti Zulaikhah adalah tiga dalam satu iaitu baju, kain dan selendang. Ia didatangkan dengan harga berpatutan dari RM85 hingga RM120.
Siti Zulaikhah menambah, pelanggan yang ingin mendapatkan set kebaya boleh memilih pelbagai jenis material seperti sifon, baldu, semi sutera, renda, satin dan kapas dari blognya.

Katanya, setiap set kebaya tersebut juga mempunyai sulaman tangan yang halus buatannya. Sesetengahnya dijadikan motif khusus seperti bunga dan rama-rama untuk menambahkan imej elegan serta eksklusif.
Ditanya mengenai bagaimana boleh tercetus idea untuk membuka laman web set kebaya tersebut, Siti Zulaikhah berkata, beliau sendiri ialah peminat baju kebaya.
“Ketika mengunjungi Indonesia beberapa tahun lalu, saya mendapati baju kebaya di sana amat cantik dan menarik kerana kebanyakannya disulam serta dijahit tangan.
“Walaupun baju kebaya ini dijahit tangan dan corak sulamannya rumit, harganya lebih murah jika dibandingkan dengan yang terdapat di pasaran Malaysia,” kata pemegang ijazah sarjana muda perakaunan dari Kolej Taylor, Subang Jaya, Selangor.
Pada Oktober 2008, beliau mengambil keputusan nekad untuk mengembangkan capaian peminat-peminat baju kebaya di negara ini dengan membuka blog berkenaan.
“Saya merasakan baju kebaya ini mempunyai potensi yang besar dalam negara ini dan ingin menambah peminat-peminat kebaya dengan membawa khas set kebaya dari Indonesia ke sini.
“Selepas beberapa bulan membuka blog berkenaan, saya mendapati sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan malah ada penggemar dari Amerika Syarikat (AS) turut menempah set kebaya ini,” katanya sambil tersenyum.

Siti Zulaikhah menambah, beliau membawa masuk 200 pasang set kebaya berkenaan dengan pelbagai corak pada setiap bulan.
Katanya, beliau tidak mahu membawa masuk terlalu banyak bilangan set corak yang sama kerana mahu menjadikan set kebaya berkenaan sesuatu yang ekslusif kepada pelanggan-pelanggannya.
“Setiap corak dan set kebaya tersebut akan mendapat suntikan idea saya sebelum dibawa masuk ke negara ini untuk memastikan ia memenuhi cita rasa serta permintaan pelanggan.
Tambah beliau, setiap tempahan yang dilakukan melalui laman blog tersebut adalah berkonsepkan ‘siapa dulu dia dapat’.
Tambahnya, tempahan dari Semenanjung Malaysia akan menerima set kebaya mereka dalam masa satu hari tetapi di Sabah dan Sarawak ia akan mengambil masa yang lama sedikit bergantung kepada urusan pos.

Ditanya mengenai perancangan masa dekatnya pula, Siti Zulaikhah berkata, beliau akan mula memasarkan baju kebaya siap selepas ini.
“Strategi ini perlu dilakukan kerana tidak semua pelanggan yang mempunyai masa untuk menjahit set kebaya berkenaan.
“Saya berharap dengan adanya kebaya siap ini kelak, pelanggan-pelanggan dapat memilki serta memakai kebaya pilihan mereka dengan lebih cepat,” katanya.
-kosmo
puan kebaya apa lg yang dijual…n harga nya brp..bleh email kt saya bbrp contoh tak-maria penang