SEORANG lelaki melayari internet di Jakarta, semalam. |
Langkah bertujuan menjamin kesopanan umum, kekang kesan negatif
JAKARTA: Indonesia mempertimbangkan cadangan menyekat laman internet yang melanggar ‘kesopanan umum’ dan keperibadian, mencetuskan kritikan daripada penulis blog serta pengguna laman web.
Kerajaan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono kini beralih tumpuan kawal selia kepada internet selepas menyasarkan filem dan buku yang dikecam pengkritik ia seperti kembali ke era diktator ‘Order Baru’ Presiden Suharto.
“Objektif utama kami adalah mudah. Kami mahu meminimumkan kesan negatif dibawa internet,” kata jurucakap kementerian teknologi maklumat dan komunikasi, Gatot Dewabrata kepada AFP tanpa menerangkan kesan.
“Ada sejumlah besar pelanggaran oleh pengguna internet di Indonesia. Kami tidak berniat untuk ke belakang tetapi kami tidak mahu rakyat berpendapat kerajaan mengabaikan perkara seperti pornografi dalam internet.”
Susilo menyokong undang-undang antipornografi oleh Parlimen pada 2008.
Undang-undang berkenaan diluluskan walaupun mendapat bantahan meluas disokong oleh kumpulan konservatif termasuk Partai Keadilan Sejahtera (PKS).
PKS kini menguasai kementerian komunikasi dalam kerajaan pakatan yang mengangkat sumpah lewat tahun lalu selepas pemilihan semula Susilo.
Hampir 8,000 penduduk menyertai satu kumpulan Facebook membantah rancangan sekatan terhadap internet. Mengikut peraturan tertentu rangka baru itu, pengguna Facebook juga akan berhadapan sekatan menggunakan laman sosial itu.
Peraturan baru akan menjadikan ia sesuatu yang salah untuk mengedar atau menyediakan kemudahan bagi pornografi atau perkhidmatan perjudian, perkara yang menyebarkan rasa benci atau ancaman agama dan sebarang berita yang membawa kepada salah tanggapan. ? AFP
-bharian
