Coklat dari rumah




in 03.1 Coklat dari rumah

BERMULA sebagai hobi, coklat Zahrah kini mempunyai peminat dalam kalangan komuniti Internet seluruh negara.


TIDAK pernah terlintas di fikiran Siti Zahrah Mat Zin, 35, bahawa dengan mempromosikan coklat buatan tangannya di blog, perniagaan secara sampingannya itu mampu bergerak lebih maju dan mempunyai tempahan berganda.

Tambahan pula, idea membuat blognya sendiri iaitu arahchocolate.blogspot.com itu bukan datang daripada dirinya sendiri, sebaliknya atas cadangan kakaknya yang mahu melihat perniagaan coklat dari rumah itu bertambah maju.

Dia sendiri tidak pernah begitu bersungguh-sungguh menjalankan perniagaan itu. Namun, dia mula terasa keseronokannya apabila banyak tempahan diterima secara dalam talian, termasuk mereka yang berminat untuk mengikuti kelas pembuatan coklat di rumahnya.

Hari demi hari, kesungguhan menjalankan perniagaan itu datang dengan sendirinya malah dia yang selesa dengan panggilan Arah sentiasa memikirkan corak atau kaedah baru supaya hasil coklatnya menjadi lebih menarik, kreatif dan bertambah lazat.

“Saya belajar membuat coklat sejak awal tahun lepas tetapi hanya pada Disember lalu saya membuat keputusan memulakan perniagaan ini, itu pun selepas mendapat nasihat dan galakan daripada kakak saya.

“Dia juga mencadangkan supaya saya mewujudkan sebuah blog berkenaan perniagaan ini agar lebih ramai orang tahu sekali gus memajukan perniagaan ini,” jelas setiausaha syarikat produksi ini.

Bercerita lanjut, sebelum memulakan blog, Zahrah menjalankan promosi secara konvensional, iaitu dengan membawa hasil coklatnya ke pejabat, atau menjadikannya sebagai buah tangan ketika bertandang ke rumah teman-teman.

“Dari situ, mereka mula mengetahui tentang perniagaan ini dan tempahan pun mula diterima.

“Selain itu, suami juga turut membantu dengan membawa coklat ini ke pejabat. Dari situ juga, saya mula membuat hasil coklat yang pelbagai bagi memenuhi cita rasa dan supaya nampak lebih menyelerakan,” katanya.

Aktiviti hujung minggu

Zahrah bertuah kerana mempunyai seorang suami yang ringan tulang dalam menyiapkan tempahan dan memberi idea-idea reka bentuk coklat yang baru.

Suaminya, Rozaimi Alias, 36, juga memberikan galakan sepenuhnya lantas membuatkan kerja-kerja membuat coklat lebih menyeronokkan.

in 03.2 Coklat dari rumah

TEMPAHAN dalam talian memberi lonjakan pendapatan yang signifikan buat perniagaan kecil-kecilan Zahrah.



“Kalau buat seorang diri memanglah bosan apatah lagi sekiranya banyak tempahan. Lagipun, saya berkerjaya dan hanya mempunyai masa terluang pada hujung minggu.

“Jadi, suamilah yang banyak membantu menyiapkan tempahan terutama tugasan yang memerlukan pewarnaan coklat dan penentuan corak coklat,” katanya.

Sementara itu, Zahrah sentiasa memantau maklum balas di blognya selain melayani tempahan melalui panggilan telefon.

“Kadang-kadang pelanggan datang sendiri untuk ambil tempahan dan kadang-kadang saya sendiri akan hantar kepada pelanggan sekiranya lokasi berhampiran dengan rumah atau pejabat.

“Selain itu, saya menggunakan perkhidmatan pos sekiranya pelanggan tinggal jauh. Itupun atas dasar persetujuan bersama. Kos penghantaran pos akan ditanggung oleh pelanggan,” katanya.

Tambah Zahrah, dia turut menganjurkan kelas bagi mereka yang berminat dengan yuran sebanyak RM180 untuk satu sesi penuh di rumahnya sendiri.

in 03.3 Coklat dari rumah


“Saya akan menyediakan semua kelengkapan dan hasilnya mereka boleh bawa balik ke rumah masing-masing.

“Selain itu, saya juga akan menyediakan nota-nota mengenai kaedah masakan, senarai kedai-kedai bakeri yang menjual bahan-bahan dan acuan coklat masakan dan sebagainya,” jelas ibu kepada tiga orang anak itu.

Pilihan corak

Pilih sahaja sama ada Lollichoc, Praline, Choc Oreo atau Choc Box, Zahrah akan menyediakan kesemuanya mengikut pilihan warna, perisa tambahan dan inti daripada pilihan kekacang.

“Kanak-kanak amat menggemari Lollichoc kerana bentuknya yang comel dan harganya juga tidak mahal kerana saya menjual dengan harga lebih murah untuk kanak-kanak iaitu sekitar 90 sen sebatang.

“Bagi pilihan corak Praline yang pelbagai, antaranya bentuk buah-buahan dan bunga, saya jual mengikut jumlah tempahan dan jenis coklat yang digunakan sama ada coklat putih, coklat gelap dan coklat susu atau coklat conventure yang lebih mahal,” katanya.

Menurut Zahrah, dia juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan pelanggan selalunya menempah Choc Box iaitu kotak coklat yang berisi pilihan coklat Praline yang pelbagai mengikut kehendak pelanggan.

“Choc Box mahal sedikit iaitu sekitar RM55 untuk satu kotak (516 gram) kerana ia diperbuat daripada coklat sepenuhnya dan cara membuatnya lebih rumit kerana mengambil masa lebih panjang dan perlu lebih berhati-hati.

“Choc Oreo pula lebih murah iaitu sekitar RM1.40 setiap satu tetapi dengan pembelian banyak, harga akan menjadi lebih murah. Pelanggan juga boleh memilih tema warna yang dikehendaki,” katanya.

Untuk itu, mereka yang berminat bolehlah melayari blog arahchocolate.blogspot.com untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perniagaan yang dijalankan ini atau menghubungi Zahrah di talian 013-369 2824.

-kosmo

304 total views, 4 views today

Comments

  1. hazlan bin kamilin says

    salam. saya ingin mengadakan kursus membuat coklat di tempat saya iaitu banting, kuala langat. prospek peserta adala suri rumah tangga dan belia yang berminat. berpa bayaran dan bagaimana dengan bahan untuk pembelajaran. adakah pihak puan sediakan atau pihak kami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam