
MALAYSIA mempunyai banyak perayaan dan hari cuti yang wajar dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik.
Sudah pasti setiap percutian itu wajar dirakamkan agar ia mampu menjadi kenangan indah.
Kehadiran rangkaian lapan model kamkoder baru oleh Panasonic bertepatan dengan masanya kerana dengan reka bentuk kompak, bergaya serta mempunyai ciri-ciri rakaman mudah, sesiapa sahaja mampu menggunakannya tanpa sebarang kesulitan.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn. Bhd., Tony Endoh berkata, rangkaian kamkoder berdefinisi tinggi (HD) memaparkan tiga model kompak dan bergaya iaitu model HDC-HS60, HDC-TM60 dan HDC-SD60. Ia sesuai untuk penggunaan yang mudah tanpa menjejaskan kualiti HD.

Selain itu katanya, lima kamkoder berdefinisi standard (SD) iaitu SDR-H95, SDR-H85, SDR-S50, SDR-T55 dan SDR-T50 direka mudah alih dengan ketahanan tinggi dan mempunyai ciri-ciri yang mengagumkan untuk membantu merakam video kualiti dengan mudah seperti mod aktif untuk fungsi penstabil imej optikal.
“Barisan model kamkoder dengan SD untuk tahun 2010 sesuai untuk kesemua pengguna kerana ia menawarkan reka bentuk yang kompak, bergaya dan serba boleh termasuk keupayaan zoom, rakaman mudah, muat naik dan ulang tayang mudah.
“Ciri-ciri kesemua model ini memberi pengalaman rakaman video yang mudah dan menyeronokkan,” tambahnya. Buat masa ini Panasonic masih belum menetapkan harga sebenar kamkoder tersebut.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Panasonic Malaysia, Siaw Yee Yen berkata, model kamkoder dengan SD tersebut direka untuk kemudahan dibawa ke mana-mana, tahan lasak dan berprestasi tinggi.
“Kamkoder ini mungkin bersaiz kecil tetapi mempunyai ciri-ciri yang menakjubkan, antaranya 33mm sudut lebar dan 78x zoom ultra berkuasa yang memberikan kebebasan merakam video pada jarak jauh atau dekat.
“Model-model ini juga mempunyai ciri-ciri untuk membantu kualiti rakaman lebih mudah, termasuk mod aktif untuk penstabil imej optikal lanjutan yang boleh membantu mengurangkan efek kabur walaupun zoom dipanjangkan atau apabila pengguna sedang bergerak,” katanya.
![]() |
|
MOD penstabil imej optikal lanjutan membantu mengelakkan imej kabur ketika zoom dipanjangkan.
|
Selain itu, model SDR-H85, merakam pada cakera padat 80 GB atau pada kad memori SDXC, SDHC atau SD.
“Model SDR-T50 (4 GB) atau T55 (8 GB) menyimpan imej dalam memori sedia ada atau pada kad memori SDXC, SDHC, atau SD. Model SDR-S50 pula menggunakan media rakaman kad memori SDXC, SDHC atau SD,” katanya.
Sementara itu katanya, tiga kamkoder definisi tinggi 1080p pula bersesuaian dengan format kad memori SDXC baru kerana ia memberi kapasiti lebih besar dan kelajuan lebih pantas berbanding kad lain yang berada di pasaran.
“Tiga model kamkoder HD penuh mempunyai reka bentuk yang kompak dan bergaya dengan 35x zoom dan lensa sudut lebar iaitu HDC-HS60, HDC-TM60 dan HDC-SD60 dengan resolusi 1920 x 1080.
“Ia merupakan resolusi standard yang paling tinggi dalam pasaran kamkoder HD, sekaligus memberi keseronokkan rakaman video,” katanya.
Kad memori
SDXC merupakan kad memori SD generasi baru, dengan tahap lebih tinggi untuk menyimpan data dari 32 GB sehingga dua terabait.
Menurut Yee Yen, kad memori SDXC 64 GB Panasonic mempunyai kapasiti 64 GB yang sangat ideal untuk rakaman video berdefinisi tinggi, video biasa atau gambar biasa.
“Kad memori SDXC 64 GB boleh merakam video dalam mod HA (kualiti video tertinggi) sehingga 8 jam 30 minit apabila digunakan dengan kamkoder terbaru HDC-TM55,” katanya.
-kosmo
