Legasi kedai kopi Vienna




Meskipun Starbucks berjaya menembusi pasaran di Austria, namun ia tidak menjejaskan industri kedai kopi tradisi negara tersebut yang bertahan selama tiga kurun.

ru 04.1 Legasi kedai kopi Vienna

PENDUDUK Austria gemar menghabiskan masa dengan menikmati secawan kopi di kafe.


DENGAN tradisi kedai kopi selama tiga kurun, Vienna telah mula menarik rangkaian kedai kopi ala Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa tahun lalu. Tarikan itu bertentangan dengan segala jangkaan apabila kedua-dua pesaing berpotensi itu kelihatan seiring bersama.

Ibu negara Austria dengan populasi 1.7 juta penduduk itu mempunyai lebih 2,690 kedai kopi, daripada kafe-kafe lama yang mewah sehinggalah perniagaan kecil-kecilan di kawasan kejiranan dan bar-bar kopi trendy di pusat bandar, menurut Dewan Ekonomi Persekutuan Austria

Masyarakat Austria menghabiskan masa dengan menikmati secawan Melange atau Grosser Brauner, yang biasanya dihidangkan di atas sebuah dulang kecil bersama segelas air, sambil membaca akhbar atau berbual bersama rakan-rakan.

Starbucks pula berjaya memasuki pasaran Vienna pada tahun 2001 dan baru sahaja membuka cawangannya ke-13, sementara rangkaian kedai kopi dari India, Coffee Day telah melancarkan usaha niaga asingnya yang pertama di Vienna.

“Ia memperkayakan lagi pasaran. Kini, setiap pelanggan boleh pergi ke mana-mana kafe pilihannya sama ada kedai kopi tradisional Vienna yang moden atau ke Starbucks,” kata Pengurus Perhubungan Awam Starbucks di Austria, Reinhard Lischka.

Pengarah Pemasaran Serantau Starbucks, Cristina McDaniel pula berkata: “Ramai yang menganggap, tujuan Starbucks ke Vienna hanya untuk menjual kopi pada harga yang tinggi tetapi kami sebenarnya telah meraih rasa hormat dari segi kualiti kopi dan produk yang ditawarkan.”

Menurutnya, menu Starbucks juga menawarkan sajian Melange yang tipikal, kopi bersama susu panas dan buih.

“Kami mahu dilihat dan diterima seperti syarikat tempatan,” katanya.

Kegusaran awal bahawa rangkaian besar AS akan mengambil-alih pasaran dan menandakan berakhirnya tradisi minum kopi rakyat Vienna mulai hilang dan kafe-kafe yang membenarkan pek bawa pulang kini hidup aman bersama-sama ‘rakan’ mereka yang lebih tua.

Sebuah kafe legenda, Cafe Hawelka, yang tidak mengalami sebarang perubahan atau pembaikan sejak tahun 1945 masih menarik pelanggan tetap dan pelancong kerana persekitarannya yang berasap.

ru 04.2 Legasi kedai kopi Vienna

ARUS kemodenan tidak melenyapkan pasaran kafe-kafe lama di Vienna.


Melangkah masuk ke dalam kafe yang bercahaya suram, dengan perabotnya yang tidak berpadanan, meja bulat kecil dan kerusi kayu yang berkeriut di mana ruang yang terhad bermakna mereka yang saling tidak mengenali biasanya akan duduk bersama, seseorang pasti akan merasa seperti telah memasuki satu era berbeza yang mana artis dan penulis bertemu untuk berbicara mengenai falsafah dan seni.

Leopold Hawelka, 97, telah menguruskan kafe tersebut sejak tahun 1945. Beliau masih gemar duduk di tepi pintu dan menyambut pelanggannya seperti yang dilakukannya sejak dahulu lagi.

“Ia seperti sebuah ruang tamu dan kami mahu mengekalkannya,” kata cucu beliau, Amir, yang membantu menguruskan perniagaan kafe itu bersama ayah dan abangnya.

Lelaki itu berkata sambil merujuk kepada keaslian yang dimiliki oleh kafe tersebut yang dihiasi dengan gambar dan poster lusuh di dinding.

“Para pelancong tidak datang ke Vienna untuk pergi ke Starbucks. Mereka datang ke sini untuk merasai pengalaman minum kopi di kedai kopi Vienna yang tipikal.”

“Kerusi-kerusi di sini berusia satu kurun termasuk kelengkapan lain. Malah datuk saya juga akan mencecah usia 100 tahun tidak lama lagi,” ujar Amir.

Mengenai perubahan, katanya, kehadiran Starbucks hanya membuatkan kedai kopi di Vienna lebih istimewa dan anda sendiri boleh lihat perbezaannya.

Perkara yang sama dipersetujui oleh Guenter Ferstl, ketua dewan ekonomi kumpulan kedai kopi tersebut.

“Konsep dan rasa kopi jauh berbeza. Oleh itu, saya tidak melihat sebarang risiko yang menimpa perniagaan tradisional Vienna,” katanya.

Jika Starbucks menawarkan pelanggan minuman mengikut pesanan, perkhidmatan Internet wayarles percuma dan kek keju New York, perniagaan tradisional seperti Cafe Schwarzenberg yang elegan pula berbangga dengan pilihan surat khabar antarabangsa yang disediakan, kek Gugelhupf segar dan senarai wain, sementara para pelayannya yang memakai bow berjalan ke sana dan ke mari di atas lantai marmar.

Setiap satu mempunyai bahasanya yang tersendiri seperti Frappuccino, Verlaengerter (tambahan espresso), Einspaenner (espresso bersama krim putar) serta Kaffee Verkehrt (susu yang banyak dan sedikit kopi).

“Golongan muda diperkenalkan minuman kopi di Starbucks. Satu hari nanti, mereka akan duduk di kedai kopi Vienna. Saya melihat dari perspektif ini iaitu Starbucks mendidik generasi muda untuk meminum kopi,” kata lelaki itu.

“Tiada lagi komen-komen negatif terhadap Starbucks, namun ia masih satu topik perbincangan yang baik. Perbincangan adalah intipati dalam sebuah kedai kopi!” – AFP

-arkibkosmo

202 total views, no views today

Empat syarikat kutu pintar dipantau




ne 01.1 Empat syarikat kutu pintar dipantau

ANTARA laman web syarikat haram yang memanipulasi wang pos menerusi skim kutu pintar.

KUALA LUMPUR – Empat syarikat haram dikesan menjalankan aktiviti memanipulasi wang pos secara aktif melalui Internet atau dikenali sebagai kutu pintar bagi memperdaya orang ramai di seluruh negara.

Satu daripada syarikat itu mula beroperasi sejak Mac tahun lalu dan sehingga Mac tahun ini, ia telah berjaya mengutip RM33 juta daripada lebih 30,000 ahlinya.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Kanan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhd. Redzuan Abdullah kepada Kosmo! semalam.

ne 01.2 Empat syarikat kutu pintar dipantau


“SSM sedang mengadakan siasatan terhadap salah satu penganjur skim ini manakala tiga lagi masih dalam proses pemantauan untuk melihat operasi dan siapa yang terlibat.

“Kami juga sedang merekodkan kenyataan daripada syarikat ini sejak tiga minggu lalu untuk mengumpul bukti sebelum membuat pendakwaan terhadap penganjur terbabit,” katanya.

Menurut Redzuan, skim itu didapati melakukan kesalahan menguruskan perniagaan wang kutu tanpa lesen dan boleh didakwa di bawah Seksyen 3, Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

ne 01.3 Empat syarikat kutu pintar dipantau

-kosmo

110 total views, no views today

Antik bila berusia 50 tahun




ru 02.1 Antik bila berusia 50 tahun

KAMCHENG yang diperbuat daripada perak.


KURATOR Perbadanan Muzium Melaka, Mohd. Nasruddin Abdul Rahman berkata, definisi barang antik itu adalah sesuatu yang subjektif bergantung pada penilaian seseorang individu.

“Mengikut Akta Purba 1976, jika sesuatu barangan berusia melebihi 100 tahun dan mempunyai nilai sejarah, barulah ia disebut antik. Tetapi selepas Akta Warisan Kebangsaan 2005 digubal, barangan antik merujuk kepada barangan yang sudah melebihi usia 50 tahun.

“Bagaimanapun, antik dari segi artifak adalah sesuatu yang subjektif. Ia menjurus kepada barang lama yang sudah tidak digunakan lagi pada zaman sekarang serta telah dilupakan oleh masyarakat. Setiap barangan antik mempunyai nilai sejarah dan wang yang tinggi,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai definisi sebenar barang antik.

Di Malaysia, tiada sebarang halangan dikenakan kepada sesiapa yang berminat mengumpul barangan antik. Ia adalah hak seseorang individu. Cuma, Nasruddin mengingatkan supaya pengumpul barang antik perlu memastikan bahawa setiap barangan yang mereka peroleh tidak termasuk dalam senarai artifak atau barang antik yang dilaporkan hilang kerana kecurian dan yang berkaitan dengannya.

“Lebih elok lagi sekiranya setiap pengumpul mempunyai bukti pembelian barangan tersebut daripada mana-mana sumber untuk mengelakkan daripada mengalami situasi ‘terbeli barang antik yang dirompak’,” jelasnya.

Ditanya sama ada pihak muzium ada menyediakan peruntukan untuk membeli barangan antik yang dijual secara lelongan dalam sesuatu program, Nasruddin berkata memang ada tetapi ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia berkait rapat dengan perbendaharaan muzium.

“Kerajaan memang ada memperuntukkan sejumlah wang untuk pihak muzium membeli koleksi barang antik yang diakui kepentingannya untuk generasi masa depan. Namun, terdapat jawatankuasa yang akan meluluskan sesuatu pembelian setelah mengambil kira penilaian pakar dari pihak muzium.

“Biasanya kita akan membelinya daripada orang persendirian atau kedai menjual barang antik. Apa yang penting kita tidak mahu barang antik yang merupakan warisan negara terlepas ke luar negara kerana jika ini berlaku sukar untuk kita mendapatkannya semula.

“Contohnya beberapa koleksi barangan sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka yang banyak terdapat di Muzium Britain berbanding muzium di negara kita sendiri. Untuk itu, penting bagi muzium dan badan yang berkaitan melihat sendiri dan memiliki sesuatu barang antik tanpa melepaskannya kepada orang luar,” ungkap Nasruddin penuh makna.

-arkibkosmo

245 total views, 1 views today