
KOS yang rendah dan kurangnya penguatkuasaan undang-undang menjadikan India sebagai ‘hab’ pelancongan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) yang semakin popular di dunia.
Semakin ramai pasangan dari luar negara yang ingin menimang cahaya mata mula beralih ke India selepas tertarik dengan tawaran tersebut.
Pelanggan-pelanggan dari luar negara tertarik dengan kos rawatan yang rendah serta kurangnya kawalan undang-undang berhubung penderma telur dan ibu tumpang.
Sebuah agensi kesihatan India, ISAR memberitahu bahawa terdapat sebanyak 400 klinik IVF di India dan dianggarkan sebanyak 30,000 rawatan kehamilan dilakukan pada setiap tahun.
Klinik-klinik tersebut juga aktif mengeluarkan iklan bagi menarik wanita-wanita untuk menjadi penderma telur dengan bayaran sebanyak AS$800 (RM2,858).
“India mempunyai undang-undang yang mesra pengguna dan tiada sekatan berhubung penderma telur dan ibu tumpang,” kata timbalan presiden ISAR, Manish Banker.
Menurutnya, di Britain undang-undang melarang pembayaran diberikan terhadap ibu tumpang dan klinik IVF hanya dibenarkan memasukkan dua embrio ke dalam uterus ibu untuk sekali rawatan.
Berbeza dengan India, sebanyak lima embrio dibenar dimasukan ke dalam uterus sekali gus mencerahkan peluang kehamilan.
Beberapa doktor memberitahu bahawa klinik yang menawarkan perkhidmatan IVF muncul seperti cendawan tumbuh lepas hujan kerana mendapat permintaan tinggi dari luar negara.
“Hampir separuh daripada pelanggan kami berasal dari luar negara,” kata pemilik klinik IVF di Mumbai, Aniruddha Malpani.
Kilinik Malpani itu dianggap antara terbaik di India dan setiap pusingan penuh IVF dikenakan bayaran sebanyak AS$4,500 (RM16,079) termasuk ubat-ubatan.
Jumlah itu jauh lebih murah berbanding kos perkhidmatan IVF di Amerika Syarikat (AS) yang menggenakan bayaran purata sebanyak AS$12,400 (RM44,309).
Malpani berkata, kebanyakan pelangan dari luar negara adalah pasangan yang berasal dari India yang mahu penderma dari negara itu.
“Mempunyai cahaya mata adalah satu isu emosi,” katanya.
Walaupun Malpani menawarkan perkhidmatan terbaik tetapi rawatan yang sama juga boleh didapati di beberapa klinik IVF di India dengan harga dua kali ganda lebih murah.
“Sikap masyarakat India berhubung menderma telur berubah dengan cepat.
“Tiga puluh tahun dahulu mereka tidak mahu mendermakan darah kepada orang asing tetapi kini semua itu telah berubah,” katanya.

Majoriti penderma telur di India adalah suri rumah dan dari keluarga miskin yang dibayar antara AS$120 (RM428) hingga AS$800 (RM2,858) bergantung kepada taraf pendidikan.
Namun, beberapa pengkritik berkata, kurangnya undang-undang di India mencetuskan isu kesihatan dan etika berhubung mengeksploitasi ibu tumbang.
Seorang doktor pakar di sebuah hospital di India, Puneet Bedi berkata, rawatan yang ditawarkan oleh klinik-klinik tersebut sangat teruk.
“Kebanyakan doktor mengambil jalan pintas dengan memasukkan banyak embrio daripada yang diperlukan sekali gus meningkatkan risiko terhadap ibu,” katanya. – AFP
-arkibkosmo