‘JihadJane’ rekrut pejuang di AS, Eropah




pix_gal0

WASHINGTON: Pendakwa Amerika Syarikat semalam mendedahkan seorang wanita warga negara itu yang beroperasi secara online menggunakan nama ‘JihadJane’ melakukan usaha untuk merekrut pejuang jihad di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia dalam cubaan melancarkan serangan pengganas.

Pihak berkuasa Amerika berkata penduduk Pennsylvania berusia pertengahan itu, Colleen LaRose, yang ditahan Oktober tahun lalu, menghabiskan masa lebih setahun dalam rangkaian internet bersama bakal penyerang di seluruh dunia.

“Dia cuba merekrut lelaki dan wanita, mengumpul wang dan malah bersetuju melakukan pembunuhan seorang penduduk Sweden, berjanji hanya kematian akan menghalangnya,” kata kertas pendakwaan yang didedahkan pihak berkuasa semalam. Jabatan Kehakiman mendedahkan kertas pendakwaan itu beberapa jam selepas polis Ireland menahan tujuh orang yang dituduh berkomplot membunuh seorang pelukis kartun berbangsa Sweden.

“Dia berdepan dakwaan bersubahat menyediakan sokongan material kepada pengganas, bersubahat membunuh di negara asing, membuat kenyataan palsu kepada pegawai kerajaan dan cuba mencuri identiti,” kata pendakwaan.

LaRose, dilahirkan pada 1963, juga dituduh merekrut wanita ‘yang memiliki pasport dan berupaya melakukan kunjungan ke sekitar Eropah untuk menyokong jihad ganas,’ serta mencuri sebuah pasport Amerika ‘dan menukar atau cuba menukarnya dalam cubaan membantu tindakan keganasan antarabangsa.’

Tuduhan itu mendakwa dia menerima dua mesej pada Mac 2009 dari seorang individu di negara Asia Selatan mengarahkannya membunuh seorang penduduk Sweden tidak dinamakan.
“Bunuh dia…ini yang saya katakan kepada anda,” kertaas pendakwaan itu memetik satu mesej sebagai berkata. “Bunuh (individu) dengan cara keseluruhan orang kafir seluruh dunia akan takut.” – AFP

-bharian