
BERADA dalam radius pusat bandar Johor Bahru, Taman Rekreasi Hutan Bandar menjadi sebuah lokasi ideal untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga mahu pun rakan-rakan.
Terletak lebih kurang dua kilometer dari pusat bandar raya, taman rekreasi yang menyediakan pelbagai kemudahan itu meliputi kawasan seluas 20.23 hektar. Kedudukannya pula berada di persimpangan Jalan Tasek Utara dan Jalan Yahya Awal.
Dengan rimbunan pohon-pohon menghijau, ketenangan air tasik yang mendamaikan, kolam mandi kanak-kanak dan kemudahan rekreasi yang menyeluruh membuatkan pengunjung tidak sabar untuk meneroka kawasan tersebut.

Menyelusuri sejarah awalnya, taman awam terbesar di Johor Bahru itu mula dibina pada 1993 oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Ia turut mendapatkan khidmat rundingan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sementara itu, sebahagian kos pembangunan taman rekreasi tersebut telah dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan. Secara keseluruhan, konsep perancangan dan reka bentuk taman itu berteraskan struktur topografi, sumber air, flora dan fauna yang diadun sempurna dengan ruang aktiviti serta kemudahan tertentu.
Bagaimanapun, pihak pemaju mengekalkan rupa bentuk asal dengan penebangan pokok dilakukan pada tahap paling minimum.
Kaedah itu berjaya menghasilkan persekitaran hijau, pemandangan indah dan nyaman serta mempunyai nilai-nilai estetik.

Terdapat enam kemudahan utama yang disediakan di sini antaranya Laman Tembusu, Kawasan Tasik Tujuh, Laman Permainan Kanak-Kanak, Taman Orkid atau Jewel House, Laman Ekologi dan Medan Selera Atap Berlian.
Salah seorang pengunjung cilik, Muhammad Mutawalli Sya’rawi Mohd. Azhar, 8, berkata, hampir setiap minggu dia bersama keluarga akan datang beriadah Hutan Bandar.
Menurut Mutawalli Sya’rawi, dia paling gemar aktiviti mandi-manda kerana kawasan kolam mandi kanak-kanak turut disediakan.
“Air kolam itu sangat sejuk dan jernih. Saya dan adik-adik biasanya akan berendam sehingga dua jam di dalam kolam. Memang seronok,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.
Tambahnya, sebelum mandi mereka akan bermain-main di sekitar Laman Permainan Kanak-Kanak. Selepas penat bermain, barulah dia akan terjun ke kolam mandi.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Rozila Abas, 34, memberitahu, taman rekreasi tersebut memberi peluang kepada orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi.
Apa yang penting ujarnya, pengunjung harus menyedari peranan mereka dalam memelihara persekitaran agar sentiasa bersih dan selesa.
Pengunjung contohnya boleh membawa makanan, tetapi jangan sampai sisa-sisa bekalan yang dibawa ditinggalkan begitu sahaja.
“Bagi saya, taman rekreasi ini sesuai untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang menyihatkan,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.
-kosmo
One thought on “Rekreasi di Hutan Bandar”