Pemain MP3 kalis air




SARUNG perakam video di dasar laut.



MEMILIKI pemain muzik digital atau MP3 adalah suatu keperluan masa kini sama ada ia merupakan pemain MP3 tunggal atau yang terdapat di dalam telefon bimbit multimedia.

Bagaimanapun seperti biasa, kebanyakan pemain MP3 di pasaran tidak cukup lasak untuk membolehkan anda menggunakannya dalam sebarang cuaca terutama ketika anda ditimpa hujan atau sedang berenang!

Sehubungan itu, terdapat beberapa syarikat telah memperkenalkan pemain MP3 kalis air atau sarung untuk membungkus telefon atau pemain MP3 itu.

Sony misalnya memperkenalkan Sony Waterproof Walkman W250 yang boleh tahan siraman hujan atau percikan air tetapi produk itu tidaklah sampai boleh dibawa untuk menyelam.

Pemain muzik digital ini sememangnya sesuai untuk mereka yang sering beriadah di luar seperti jogging, menyertai maraton, memanjat bukit dan sebagainya yang sudah tentu mereka sentiasa terdedah kepada perubahan cuaca panas dan hujan, termasuk percikan peluh.

Apa yang menarik mengenai Walkman ini ialah satu ciri dikenali sebagai Smart Mood yang mana lagu-lagu yang dimainkan dalam rentak yang sama untuk meneruskan mood pengguna.

Sememangnya, pemain MP3 ini sangat sesuai untuk kaki sukan yang sering berlatih di gimnasium, padang atau berjogging kerana anda boleh melekatkannya di telinga dan kemudian melakukan apa sahaja aktiviti dengan bebas.

Seperti kebanyakan pemain MP3 lain, Walkman W250 juga boleh memainkan pelbagai format muzik digital seperti MP3, WMA, AAC dan sebagainya.

Selepas dicaj selama tiga minit (caj cepat), pemain MP3 ini boleh memainkan muzik tanpa henti selama tiga jam! Menarik bukan?

Walkman W250 mempunyai empat warna untuk dipilih seperti hitam, hijau, merah jambu dan putih. Produk yang akan dilancarkan bulan depan ini juga menawarkan dua pilihan versi iaitu sama ada dengan storan 2 Gigabait (GB) atau 4GB.

Menyelam bersama iPod

Bagi kaki selam dan pemilik pemain multimedia iPod nano, tentu gembira apabila mengetahui sebenarnya mereka boleh menyelam sambil memainkan muzik atau merakam video ketika menyelam bersama gajet tersebut.

Sarung dikenali sebagai H2O Audio Capture Waterproof Case itu direka untuk membolehkan iPod nano dengan Video (generasi kelima) dibawa menyelam ke dalam air sehingga kedalaman 3.6 meter.

Menggunakan fon telinga H2O (yang dijual berasingan), anda tentu seronok apabila berada di dalam air kerana diiringi muzik kegemaran dan juga boleh mengambil video pemandangan indah di dasar laut.

Penggunaan bahan polikarbonat tahan lasak juga membolehkan iPod anda dilindungi ketika jatuh atau calar. Ia juga mempunyai klip pengikat lengan untuk membolehkannya dipasang di lengan, dimasukkan ke dalam beg sandang atau diklipkan di basikal.

Produk ini dijual dengan harga AS$80 (RM256) di laman web www.h2oaudio.com/.

Syarikat yang sama juga memperkenalkan sarung atau bekas pelindung kalis air untuk telefon bimbit, iPhone, iPod touch atau pemain MP3 bersaiz besar.

Sarung dikenali sebagai Amphibx Waterproof Armband dari H2O ini bersaiz 100 mm tinggi, 60 mm lebar dan 18 mm dalam.

Seperti juga sarung iPod nano tadi, anda boleh mendengar muzik atau merakam video ketika sedang menyelam sedalam 3.6 meter apabila menggunakan sarung ini.

Pemain MP3 terapung

Jika kita mengetahui Speedo sebagai pengeluar baju sukan renang paling popular di dunia, syarikat itu juga sebenarnya mempunyai pemain MP3 kalis air untuk mereka yang suka menjalankan sukan air sambil mendengar muzik.

Produk dikenali sebagai Aquabeat itu dikeluarkan oleh Iriver dengan mempunyai storan 1GB, memainkan muzik sembilan jam untuk sekali caj, mempunyai tiga warna dan berat 35 gram.

Pemain MP3 ini dan fon telinganya boleh dibawa menyelam sehingga tiga meter dan ia boleh terapung di dalam air untuk memudahkan anda mencari jika terjatuh.

Produk ini dijual dengan harga AS$145 (RM464) dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di laman web www.speedoaquabeat.com/.

-utusanmalaysia

148 total views, 1 views today

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam