United kembali ke takhta






LONDON – Manchester United kembali menerajui takhta Liga Perdana England selepas menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 di Old Trafford semalam.

Kemenangan tersebut menyaksikan United mengumpul 79 mata, dua mata meninggalkan Chelsea yang jatuh ke tangga kedua.

Begitupun, Chelsea diramal kembali menerajui carta liga sekiranya berjaya menewaskan Stoke City di Stamford Bridge malam ini.

Pada aksi semalam, Ryan Giggs terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat United apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh setelah Patrice Evra dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-58.

Namun, Spurs berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Ledley King minit ke- 70 sebelum Nani meletakkan United kembali di depan mene- rusi jaringan yang cukup mena- rik pada minit ke-81.


NANI meraikan jaringannya ketika United menentang Spurs pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford semalam. United menang 3-1.

Giggs melengkapkan hari gemilang United apabila menyumbat gol ketiga juga menerusi sepakan penalti selepas Nani dikasari dalam kotak penalti pada minit ke-86.

Pengurus United, Alex Fergu- son ternyata kagum dengan persembahan yang dipamerkan Nani dan menganggap jaringan yang dilakukan pemain antara- bangsa Portugal itu bertaraf dunia.

“Jaringan yang dilakukan Nani sememangnya memiliki kelas yang tersendiri dan itu sudah cukup bagi membuktikan kehe- batannya selaku pemain bola sepak,” jelas Ferguson.

Beliau turut mengesahkan Wayne Rooney tidak dapat diturunkan dalam baki dua perla- wanan liga selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika menjalani latihan Khamis lalu.

“Sukar bagi saya untuk menjelaskan mengenai kecederaan yang dialami Rooney itu kerana ia pasti mengambil masa dalam dua hingga tiga minggu untuk kembali pulih.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk memberinya peluang kembali beraksi sebelum perlawanan terakhir liga, namun hanya masa yang akan menentukan,” katanya.

Terdahulu, Rooney terpaksa diketepikan dalam masa beberapa minggu berikutan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara. – AFP

-kosmo

Penduduk Hulu Selangor mengundi hari ini





PETI-PETI undi disusun di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor bagi persiapan Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor hari ini.


HULU SELANGOR – Selepas berkempen selama seminggu yang menyaksikan pemimpin politik tertinggi negara turun padang ke kawasan Hulu Selangor, kira-kira 63,700 pemilih berdaftar mengundi hari ini bagi memilih Ahli Parlimen yang baru.

Kempen untuk memikat hati dan minda pengundi yang sedang berlangsung di seluruh kawasan sebesar saiz negeri Melaka dan bersempadan dengan Perak dan Pahang itu, tamat tengah malam tadi.

Pengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka di 48 pusat mengundi untuk memilih calon mereka, sama ada Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan, 44, daripada Barisan Nasional (BN) atau bekas Ahli Parlimen Kota Bharu dan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, 59, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pusat mengundi akan dibuka dari pukul 8 pagi dan ditutup 5 petang. Keputusan dijangka diketahui seawal 9.30 malam. Kira-kira 799 pengundi pos yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pekerja pilihan raya mengundi pada Khamis dan Jumaat lepas.

-kosmo

PELAYAN ROBOT




Pelayan robot sedang mengangkat makanan untuk dihantar kepada pelanggan yang sedang menunggu di restoran Lapassarada Thanapanth di Bangkok, semalam. – AFP


KEMAJUAN teknologi semakin hari semakin canggih. Di Thailand sebuah restoran menggunakan robot untuk menghidangkan makanan kepada pelanggan. Seorang pemilik restoran di Bangkok, Lapassarada Thanapanth telah menggunakan kemajuan teknologi robot untuk menyediakan ‘pelayan robot’ sepenuhnya bagi menghidangkan makanan kepada pelanggan. Ia merupakan restoran pertama di Thailand menggunakan teknologi robot Jepun dalam industri restoran. Di restoran itu, pelanggan yang ingin memesan makanan hanya perlu menyentuh skrin sentuh yang terletak di badan robot berkenaan dan robot berkenaan akan bertindak balas menghantar pesanan itu kepada tukang masak. Setelah tukang masak menyiapkan makanan yang dipesan, robot berkenaan akan menghantar makanan tersebut kepada pelanggan.

-utusanmalaysia

USM cipta pengesan DAGING BABI




PULAU PINANG 1 April – Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui kaedah mudah, murah dan cepat bagi membezakan antara daging ayam dengan daging babi.

Menggunakan alat ‘spectrophometer’ dan sejenis campuran gula dinamakan ‘ribose’, daging kedua-dua haiwan itu akan bertukar kepada warna tertentu apabila bertindak balas dengan bahan tersebut.

Profesor Azhar Mat Easa yang mengetuai kumpulan penyelidik itu berkata, proses ujian tersebut amat mudah dan boleh dilakukan di rumah jika mempunyai peralatan yang mencukupi.

Menurut beliau, seseorang hanya perlu mengambil secebis daging dan mencampurkannya dengan gula berkenaan untuk diuji.

“Campuran ini kemudian dipanaskan dalam suhu tertentu untuk menukarkan warnanya.

“Menggunakan alat ‘spectrophometer’, julat warna yang dihasilkan akan menentukan sama ada ia daging ayam atau daging babi” katanya pada sidang akhbar di USM di sini hari ini.

Azhar memberitahu, melalui ujian yang memakan masa tidak sampai dua jam itu, warna daging ayam akan bertukar gelap sedikit berbanding daging babi.

Katanya, sebenarnya terdapat peralatan sofistikated lain di pasaran yang boleh membuat uji kaji yang sama tetapi harganya tinggi hingga mencecah RM300,000.

“Harga tinggi mungkin membebankan pengusaha industri kecil dan sederhana khususnya yang terlibat dengan pemprosesan daging halal.

“Berbeza dengan produk kami, kos gula ribose ini adalah RM15 bagi empat gram manakala spectrophometer berharga serendah RM10,000,” ujarnya.

Katanya, hasil penyelidikan tersebut dibiayai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memperuntukkan geran berjumlah RM190,000.

“Produk ini memenangi pingat perak pada Ekspo Teknologi Malaysia baru-baru ini,” jelasnya.

Jelas Azhar, idea untuk menghasilkan rekaan tersebut tercetus berdasarkan satu kes pada 2007 apabila produk daging babi dari Australia yang dilabel halal didapati dijual di pasaran.

“Satu lagi kes yang serupa pernah berlaku di Singapura tidak lama dulu,” katanya.

-utusan malaysia

Pesawat pertama dari Frankfurt





SEBAHAGIAN daripada 338 penumpang pesawat MAS dari Frankfurt yang selamat tiba di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG – Pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa penumpang terkandas di Lapangan Terbang Frankfurt, Jerman selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Kesemua 338 penumpang itu menaiki pesawat MAS MH 001S yang merupakan syarikat penerbangan jarak jauh pertama dari Asia yang berlepas dari Lapangan Terbang Frankfurt pada pukul 11.40 malam kelmarin waktu Jerman ekoran arahan sekatan penerbangan di Eropah ditarik balik.

Pesawat yang tiba di KLIA pada pukul 5.30 petang itu turut membawa penumpang yang dipindahkan dari penerbangan Singapore Airlines dan Cathay Pacific.

Sejak seminggu lalu, operasi lapangan terbang serta penerbangan jarak jauh di seluruh dunia terjejas akibat gangguan penerbangan ekoran kebimbangan terhadap kemunculan kepulan awan debu dari gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland.

Ketika ini ratusan ribu penumpang perkhidmatan pengangkutan udara di seluruh dunia terkandas akibat pembatalan dan penangguhan jadual penerbangan ekoran sekatan dikuatkuasakan demi keselamatan penerbangan.

Pengarah Urusan MAS, Datuk Tengku Azmil Zahruddin berkata, pihaknya akan menyediakan penerbangan tambahan supaya penumpang yang terkandas di Kuala Lumpur atau Eropah dapat pulang ke destinasi masing-masing.

-kosmo