Bola sepak di telefon pintar






PIALA Dunia merupakan pentas terbaik pemain-pemain antarabangsa menunjukkan bakat dan kemahiran individu untuk menggenggam piala berprestij tersebut sekali gus melakar sejarah tersendiri dalam sukan bola sepak.

Kemeriahan Piala Dunia 2010 tidak hanya dirasai pemain yang bertanding dalam kejohanan di benua Afrika itu, malah peminat fanatik di seluruh pelosok dunia turut berpesta.

Gelombang Piala Dunia sudah tentunya menghantui penggemar sukan bola sepak tanah air yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kelibat bintang ternama dunia.

Mereka sanggup bersengkang mata demi menyaksikan pasukan dan pemain kesayangan berentap meraih kejayaan dalam kejohanan yang bermula 11 Jun lalu sehingga 11 Julai ini.

Bahkan, kaki bola bukan sahaja menyaksikan perlawanan di rumah malah kedai mamak, warung, kopitiam dan pelbagai lokasi lain untuk merasai bahang Piala Dunia.

Bagaimanapun, tidak semua penggemar sukan bola sepak yang bertuah dapat menyaksikan setiap perlawanan dipancarkan secara langsung di kaca televisyen apabila dibatasi faktor kerja atau lokasi persinggahan anda seperti sewaktu pulang ke kampung tidak mempunyai siaran perlawanan Piala Dunia.

Interaktif alam maya

Senario ini bakal berubah apabila menggunakan inovasi terbaru ditawarkan All Asia Networks Plc. (Astro), Astro B.Player yang membolehkan pengguna menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi komputer dan telefon pintar.

Naib Presiden Perkhidmatan Jualan Penyiaran dan Perniagaan Baru Astro, Eric Foo, berkata, Astro B.Player adalah perkhidmatan inovatif terbaru ‘apps’ daripada Astro Beyond.

“Astro B.Player membolehkan pelanggan menyaksikan serta berinteraksi dengan kandungan Astro tanpa memerlukan televisyen tetapi menggunakan platform lain.

“Dengan menggunakan inovasi terbaru ini orang ramai boleh menyaksikan siaran langsung perlawanan, memuat turun nada dering, berita terkini dan video melalui laman web serta telefon pintar mereka di mana-mana sahaja,” katanya kepada Kosmo!.

Hanya lambat seminit

Eric menambah, Astro B.Player menggunakan teknologi kadar bit mudah suai (adaptive bitrate) yang mampu menukar keadaan atau bertindak balas terhadap rangsangan luar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitarannya.

SEKIRANYA anda bosan menunggu seseorang atau tersekat dalam kesesakan jalan raya, anda boleh melayari B.Player untuk menonton perlawanan atau melayari maklumat mengenai Piala Dunia.


Katanya, teknologi kadar bit mudah suai itu dapat memastikan kandungan yang ingin disampaikan khususnya video dioptimumkan sepenuhnya.

“Ia dapat mengenal pasti jalur lebar semasa pengguna, sekali gus memberi pengalaman menonton terbaik kepada mereka yang menggunakan laman web dan telefon pintar ini.

“Kelajuan sambungan Internet adalah berbeza mengikut jalur lebar rangkaian dan lokasi Teknologi ini dapat membantu memberi kepuasan kepada pelanggan dan orang ramai tidak kira di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.

Dia menambah, teknologi itu juga membolehkan pengguna menikmati pergerakan video lebih lancar dan berkualiti kerana tiada lengahan serta penyimpanan sementara data yang dilakukan terhadap laluan komunikasi data.

Bagaimanapun katanya, pengguna yang menggunakan laman web atau telefon pintar untuk menyaksikan perlawanan siaran langsung Piala Dunia akan mendapati siaran tersebut lambat satu minit daripada kaca televisyen mereka.

“Penggunaan Astro B.Player juga hanya boleh digunakan di negara ini sahaja disebabkan ciri-ciri keselamatan yang perlu ditekankan dalam inovasi terbaru itu.

“Ia hanya dapat mengenali alamat protokol Internet Malaysia untuk beroperasi dan jika pengguna berada di luar negara perkhidmatan ini tidak dapat digunakan mereka,” katanya.

Antara kandungan yang ditawarkan menerusi laman web menggunakan Astro B.Player ialah sorotan penting setiap perlawanan, jaringan gol, siaran ulangan, kad yang dikeluarkan pengadil, cubaan diselamatkan penjaga gol dan banyak lagi.

Selain itu, mereka yang menggunakan inovasi terbaru berkenaan dapat mengetahui maklumat mengenai setiap pasukan, jadual perlawanan, keputusan dan berita terkini mengenai Piala Dunia serta banyak lagi.

Inovasi interaktif

Eric menambah, inovasi terbaru laman web Astro B.Player mengetengahkan konsep interaktif kepada pengguna untuk memberi lebih kebebasan kepada mereka.

Katanya, pengguna juga berpeluang mengenali stadium-stadium yang terdapat di Afrika Selatan, legenda terkemuka Piala Dunia masa lampau, video jaringan gol terbaik Piala Dunia dan bermacam-macam lagi mengenai kejohanan berprestij itu.

“Kami turut menawarkan hiburan kepada pengunjung laman web ini seperti permainan bola sepak Micromedia Flash, bola sepak fantasi, wallpaper komputer dan peraduan mingguan dengan hadiah menarik.

“Inovasi tersebut ditawarkan melalui tiga kategori untuk mereka mendaftar iaitu pelanggan pakej sukan Astro, pelanggan Maxis dan orang ramai,” katanya.

PILIH apa medium alternatif anda sama ada melalui komputer atau telefon bimbit.


Menyentuh mengenai perbezaan tiga kategori tersebut, Eric berkata, bagi kategori pelanggan pakej sukan Astro dan Maxis, mereka dapat menikmati 64 perlawanan siaran langsung Piala Dunia.

“Bagi kategori orang ramai pula, ia agak berbeza sedikit kerana mereka hanya dapat menyaksikan 38 perlawanan yang disiarkan secara langsung,” ujarnya.

Mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan B.Player melalui telefon pintar, hanya boleh diakses menerusi talian Maxis sahaja.

“Kebanyakan telefon pintar boleh menggunakan inovasi terbaru ini sekali gus membolehkan mereka menikmati setiap perlawanan Piala Dunia,” ujar Eric.

Tegasnya, kelebihan inovasi terbaru itu adalah pengguna mempunyai kebebasan untuk merasai pengalaman siaran Astro di mana-mana sahaja tanpa batasan.

“Piala Dunia merupakan perintis kepada inovasi terbaru ini untuk melihat reaksi pelanggan dan orang ramai terhadap aplikasi kandungan B.Player.

“Kami akan memperluaskan penggunaan inovasi terbaru ini terhadap program-program dan kandungan sukan yang lain dalam masa terdekat,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi terbaru ini boleh melayari laman web www.astro.com.my.

-kosmo

Protozoa penyebab cirit-birit






CUKUP menakutkan apabila parasit halus menjadikan tubuh manusia sebagai perumah tanpa kita disedari.

Jika dahulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, kini jangkitan protozoa juga tidak harus dipandang ringan.

Malah, bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa menjadikan keadaan lebih serius.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.

“Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti parasit usus adalah agak tinggi,” katanya.

SELAIN usus besar, hati, limpa dan paru-paru sering menjadi perumah parasit jangkitan usus.


Protozoa pembunuh

Jelas Norhayati, infeksi protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan lemah dikenali melalui simptom cirit-birit berpanjangan, hilang selera makan dan turun berat badan.

Jelasnya, protozoa usus daripada jenis koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta kumpulan mikrosporida usus menjadi penyebab utama cirit-birit berpanjangan.

Norhayati juga menjelaskan, secara amnya, infeksi parasit usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak mempunyai gejala yang jelas.

“Oleh itu, kes-kes jangkitan ini jarang dikesan di pusat kesihatan dan hospital.

“Keadaan ini amat berbeza dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus seperti H1N1, di mana pesakit menunjukkan gejala,” jelasnya yang turut menyatakan infeksi ini melibatkan protozoa dan cacing tularan tanah (STH).

Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus.

NORHAYATI MOKTAR

Ujarnya, meskipun Malaysia merupakan negara membangun, masalah jangkitan parasit usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan.

Disebabkan sebaran parasit ini menular melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis manusia, taburan penyakit lebih banyak ditemui di kalangan penduduk yang tinggal di pedalaman yang tidak mempunyai sistem pembuangan najis yang baik serta bekalan air bersih seperti air sungai.

Ganggu tumbesaran

Tambah beliau, infeksi protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.

Jelasnya, terdapat beberapa mekanisme bagaimana parasit usus menyebabkan mulnutrisi terhadap kanak-kanak malah golongan dewasa.

“Selain mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan mengalami ciri-birit yang kronik, muntah dan sakit di bahagian abdomen.

“Kesan-kesan ini akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembagan fizikal dan mental kanak-kanak terbantut,” katanya.


PROTOZOA Giardia lamblia cysts di bawah mikroskop.

Dalam pada itu, kawalan dan pencegahan infeksi parasit usus mungkin memerlukan pendekatan yang baru kerana kajian terbaru membuktikan sumber infeksi protozoa spesies Giardia intestinalis bukan saja daripada manusia ke manusia tetapi melalui anjing dan roden.

“Walaupun jangkitan parasit usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan jarang diperkatakan umum, kawalan dan pencegahan harus dipertingkatkan kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang,” ujarnya.

-kosmo

Hampagas ergonomik





SURI RUMAH kini tidak lagi menganggap kerja pembersihan suatu yang melecehkan.

INOVASI peralatan penyedut hampagas jenama Dyson telah mendapat pengiktirafan pengguna seisi rumah di seluruh dunia bukan sahaja kerana ia menjimatkan kos, malah tiada sekatan dalam sedutan, berkeupayaan menyedut alergen dan mesra alam.

Bahkan, hampagas keluaran syarikat Dyson Limited ini mampu digunakan pada pelbagai permukaan lantai dan mudah dikendalikan oleh sesiapa sahaja.

Kini, penyedut hampagas daripada jenama yang berpangkalan di Britain itu boleh dimiliki isi rumah negara ini dengan enam varisi model iaitu DC22 Multi floor, DC23 Motorhead, DC24 All Floors, DC29 Allergy, DC31 dan DC31 Motorhead.

Kesemua model hampagas ini dilengkapi teknologi Root Cyclone yang membolehkannya menyedut habuk-habuk kecil dan alergen dengan lebih mantap dan berkesan berikutan ia tidak bergantung kepada penggunaan beg berbanding hampagas lain.

Teknologi tersebut hanya menggunakan udara berpusing dengan pantas untuk menyedut habuk-habuk dan mempunyai beberapa tapisan sebelum dimasukkan ke dalam bekas menyimpan habuk.

Penggunaan hampagas ini juga amat mudah kerana pengguna hanya perlu menekan butang untuk membuang segala habuk-habuk yang telah disedut ke dalam bekas yang disediakan.

Dengan pembangunan teknologi ini, pengguna juga dapat mengurangkan kos dan memulihara alam sekitar apabila tidak perlu lagi menukar ganti beg penuh dengan habuk-habuk ataupun yang telah rosak.

Reka bentuk futuristik dan ergonomik itu jelas menepati cita rasa pengguna. Ia turut menjadi aset bagi hampagas jenama Dyson ini malah merupakan sebuah gajet yang tahan lasak yang mampu beroperasi dengan baik sehingga 1,600 kilometer (km).

Model DC29 Allergy memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai penyakit asma dan alahan kerana ia berkemampuan menyedut habuk sehingga 0.5 mikron.

Dilengkapi penapis Aliran Angin Berprestasi Tinggi (HEPA) yang mampu menyedut habuk halus termasuk debunga, kulat dan bakteria, hampagas ini turut melepaskan udara lebih segar untuk membantu mereka mempunyai alahan.


DC23 ideal untuk pembersihan permukaan sukar termasuk permaidani bulu tebal dan juga di celah perabot.

Pemegang hampagas model ini juga amat ringan dan mampu diubah mengikut kesesuaian pengguna bagi memudahkan lagi mereka yang ingin membersihkan rumah ataupun pejabat.

Bagi model DC24 All Floors pula, ia dilengkapi dengan teknologi Ball yang memudahkan lagi pengguna mengendalikan hampagas tersebut menggunakan pergelangan tangan mereka.

Pengguna juga dapat menjimatkan ruang penyimpanan disebabkan model ini amat kompak dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Pemegangnya yang boleh dilaras turut memberi kelebihan kepada pengguna kerana ia boleh digunakan di ruang sempit dan tinggi.

Model DC22 Multi Floor yang hanya seberat tujuh kilogram (kg) bukan sahaja kecil tetapi didatangkan dengan sistem Telescope Wrap membolehkan pemegang dan hos mudah laras untuk memudahkan penyimpanan.

Ia juga dilengkapi dengan dua mod yang membolehkan hampagas ini digunakan dengan mudah pada permukaan lembut dan keras tanpa memberi kesan calar.

Bagi yang mempunyai haiwan peliharaan, DC23 Motorhead adalah hampagas sesuai untuk mereka menghilangkan bulu-bulu di celah permaidani, perabot dan lain-lain lagi.

Model ini didatangkan dengan kepala berus bermotor yang dapat menyedut habuk sehingga 0.07 mikron.

Sementara itu, mereka yang inginkan hampagas mudah alih model DC31 and DC31 Motorhead adalah jawapannya kerana mempunyai berat kurang daripada 1.5 kg.

Walaupun, model ini kecil dan kompak, ia turut didatangkan dengan motor digital Dyson yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga serta memberi kesan sedutan lebih berkuasa kepada pengguna.

Kesemua model ini boleh didapati di kedai-kedai elektrik terkemuka negara dan dijual pada harga RM839 sehingga RM1,859.

-kosmo

Genggaman kamkoder selesa





KEMASAN ergonomik dan warna menarik menjadi ciri tarikan awal siri ini.


TIDAK dinafikan, pandangan pertama merupakan tarikan penting sebelum seseorang pelanggan mendekati sesebuah produk elektronik yang dipamerkan di kedai.

Sudah menjadi kebiasaan, selepas berpuas hati dengan reka bentuk, produk tersebut perlu memenuhi spesifikasi yang dikehendaki pula.

Dua elemen penting ini seakan-akan sudah termaktub dalam setiap idea pemilihan produk. Justeru, tidak hairan produk kamkoder terbaru Samsung, SMX-C200 dan HMX-U20 dicipta bagi memenuhi kedua-dua elemen berkenaan.

Samsung SMX-C200 merupakan kamkoder yang diserikan dengan warna-warna terang sama ada merah, biru atau ungu yang berkilat bagi memenuhi motif yang mencipta efek elegan dan semula jadi.

Reka bentuk dan warna yang ditawarkan ini membuatkan kamkoder tersebut tidak akan membosankan penggunanya. Saiznya yang ultra kompak, ringan dan kontur organik begitu selesa di tangan, sekali gus mewujudkan perasaan yakin untuk setiap sesi rakaman.

Kelebihan Samsung SMX-C200 ialah lensa sudut EZ yang membenarkan posisi tangan yang selesa dan kelihatan natural melalui penyesuaian skrin LCD sehingga 25 darjah yang sejajar dengan lensa. Skrin LCD yang disesuaikan memberikan anda penglihatan yang jelas kepada subjek yang dirakam.

Selepas rakaman dibuat, kongsikan rakaman berkenaan di laman sosial YouTube dengan hanya satu sentuhan butang. Pilih sahaja fail yang diingini di skrin dan tekan butang muat naik. Fail berkenaan akan dihantar secara langsung ke YouTube tanpa kawalan ke atas komputer.

Salah satu ciri penting yang membuatkan Samsung SMX-C200 ialah ia dilengkapi dengan perisian PC terbina dalam iaitu intelli-studio 2.0. Apabila ia disambungkan ke komputer, perisian ini akan berfungsi secara automatik dan membenarkan anda melihat, menyunting atau berkongsi fail.

Rakaman juga lebih panjang dengan H.264 Codec yang membolehkan Samsung SMX-C200 merakam lebih 12 jam dengan video berkualiti tinggi menggunakan kad SD 32 gigabit. Ia memberikan ruang yang anda perlukan untuk menikmati rakaman tanpa tekanan.

Kemampuan merakam dengan masa panjang itu juga dipacu oleh kebolehan bateri yang tahan lebih lama. Melalui tenaga bateri yang dipertingkatkan secara efisien menggunakan penyelesai cip generasi kelapan, ia memberi pengguna lebih banyak masa untuk memainkan video iaitu selama dua jam 40 minit.

-kosmo

Jawapan kepada teknologi terkini




Rekaan serta teknologi Lenovo kini lebih menarik dan canggih.



Lebih ringan dan bergaya antara tarikan terbaru terhadap produk Lenovo terkini iaitu Thinkpad X201 dan tablet pintar Thinkpad 201.

Hanya seringan 3.52 paun dan berkuasa sehingga melebihi tiga gigahertz ia dicipta sebagai komputer riba yang teringan dengan mempunyai kuasa yang luar biasa.

Tidak seperti komputer riba saingannya, Thinkpad 201 pastinya mudah dibawa ke mana-mana di samping kuasanya yang menakjubkan.

Menurut Pengurus Negeri Lenovo, Khoo Hung Chuan, Thinkpad 201 dilengkapi teknologi pengkomputeran yang terkini dan memiliki ciri-ciri komputer Lenovo yang mudah dan menarik.

“Kami sentiasa memastikan penciptaan serta inovasi yang terbaru terhadap komputer kami untuk kepuasan sebenar pengguna.

“Oleh itu, kini kami mempersembahkan Thinkpad 201 sebagai produk komputer riba terbaik kami,” ujarnya.

Seterusnya tablet pintar Thinkpad 201, untuk tujuan perniagaan yang lebih mudah dan ringkas.

Memiliki skrin sesentuh selebar 12.1 inci pelbagai guna ia turut dilengkapi perkakasan Interface dan aplikasi Lenovo Simple Tap Navigation.

Selain itu tablet pintar tersebut dijana oleh Microsoft Windows 7 sebagai sistem operasi dan mempunyai kepelbagaian kegunaan melalui perisian Flash dan Java.

Bagi menjamin kepuasan menonton, skrinnya boleh digerakkan sehingga 185 darjah dan memiliki ruangan pandangan yang lebar.

Ia juga dilengkapi dengan alatan untuk tujuan keselamatan seperti pengesan cap jari, teknologi anti-pencuri dan cakera keras yang boleh merekod dengan sendirinya .

Antara kelebihan multimedia, terdapat mikrofon yang boleh membatalkan bunyi bising, pembesar suara stereo, kamera 2.0 megapiksel dan 54 milimeter kad Express bagi slot pembaca kad.

Seterusnya pengguna boleh melayari Internet melalui WiFi, 3G, WiMax, penyambung Internet Gigabit, dan Bluetooth.

-utusanmalaysia