
SETIAP kali berlangsungnya Piala Dunia, para peminat bola sepak mula berpusu-pusu menampilkan pelbagai fesyen menarik semata-mata untuk menyambut kehebatan sukan nombor satu dunia itu.
Tidak kira usia dan jantina, masing-masing mempunyai idea sungguh luar biasa. Ia bagi memberi semangat kepada pasukan yang disokong.
Biasanya kemeriahan itu dapat disaksikan beberapa minggu sebelum berlangsungnya pembukaan perlawanan. Peminat bola sepak mula turun padang dengan imej berwarna-warni mengikut cita rasa tersendiri.
Antara fesyen yang paling jelas diperagakan oleh para peminat dari seluruh dunia adalah kaca mata bersaiz besar dengan memilih rekaan berdasarkan pasukan pilihan masing-masing.
Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Afrika Selatan bukan sahaja sebagai medan untuk merebut kejuaraan sebaliknya para peminat turut bertungkus-lumus menampilkan gaya yang mampu menarik perhatian umum.
Begitulah kehebatan bahang Piala Dunia apabila ruang dalam dan luar stadium dipenuhi dengan daya kreativiti penonton.
Sebilangan peminat menghasilkan kaca mata tersebut berdasarkan bentuk bendera negara yang disokong. Mereka akan memastikan kaca mata itu sentiasa dipakai setiap kali menonton perlawanan bola sepak.
Selain itu, ada juga antara mereka memilih untuk menggayakan kaca mata berbentuk tulisan 2010 dengan angka kosong itu dijadikan sebagai cermin.
-kosmo